ROMANTIK TAQWA

>> Tuesday, June 22, 2010



“Assalamualaikum ….” Jauh terdengar suara seseorang memberi salam.Saya menoleh kebelakang untuk melihat gerangan empunya salam.

“Waalaikumussalam wbth….ape kabar bang?”.Tangan dihulur kepadanya tanda hormat.Kaki saya sudahpun menyarungkan sepatu yang diletakkan di pintu belakang masjid.Dia adalah seorang kenalan dan juga penduduk taman yang berdekatan.

“Bila balik?lama tak jumpe..cuti ke sekarang?”.

“Aah ..sekarang cuti semester.Balik ni pun cuti panjang,tapi macam tak cuti..sibuk sana sini”.Tangan saya masih didalam genggamannya.

“sibuk ke sekarang?kalau tak sibuk nak cakap sekejap ”kaki yang tadi bersepatu,ditanggalkan semula.Kami duduk di tepi beranda masjid sambil mengambil angin petang lepas asar.Kadang terasa tenang bila berada dalam keadaan seperti itu.Dapat juga menghilangkan kerinduan pada suasana di Jordan.Maklumlah sudah menjadi penempatan ke dua selepas Malaysia tanah air tercinta,bumi barakah Jordan itu ibarat rumah kedua dan medan ilmu untuk mendidik dan melatih diri ini.

“Berapa lama balik?”

“ Tiga bulan ”.saya menjawab ringkas dalam senyuman.

“Tadi abang kata ade benda nak bincang,tentang apa ye ?? “.Saya memulakan bicara sambil membetulkan kedudukan dengan bersila.

“Nak mintak doa skit.”

“Doa apa tu ?”

“Doa untuk perlembutkan hati isteri”

Huh,saya tergelak kecil mendengar permintaan dari seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan 30 an itu.Pada tanggapan saya,mungkin dia baru sahaja mendirikan rumah tangga kerana sebelum saya berangkat meninggalkan rumah untuk kejordan,dia masih single.Terbias wajah keresahan di raut mukanya bersama keluhan berat.

Tanpa membuang masa,saya membacakan sepotong hadis sebelum memberikan doa seperti yang dipinta.Moga dengan berkat doa itu,terlerai sedikit masalah yang dihadapinya.Sengaja saya tidak bertanya dengan lebih mendalam tentang masalah yang dihadapinya.Risau takut akan mengguris dan membuatkan dirinya tidak senang.Cukup sekadar membantu dengan apa yang patut sahaja.Dari tafsiran luar dan raut mukanya saya dapat mengagak ada sesuatu yang melanda dalam dirinya.

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya (isterinya) dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku (isteriku)”
(Riwayat Ibnu Majah)

“Ada masalah dengan isteri kot”.Terdetik dalam hati kecil saya.Mungkin ada masalah dengan pasangan hidupnya.Biasalah,masalah yang mendewasakan dan mengajar erti sabar dan cekal dalam mengaharungi sebuah kehidupan.Tanpa dugaan , hidupterasa ‘tawar’.

RESAM BERUMAHTANGGA

“Adatlah tu ada clash antara suami isteri”.Saya berfikir sendirian.

Salah satu kaedah yang terbaik untuk kita selaku hamba adalah dengan memohon petunjuk dan bantuan dari Allah dalam segala masalah lebih lagi dalam soal menjaga masjid yang sedang dibina.Sikap dan cara perlu disesuaikan dengan si dia agar kehidupan seharian adalah hari-hari yang bahagia dan bukan hari yang merimaskan dek kerana serabut dengan cara dan sikap yang tidak serasi diantara satu sama lain.

Sebagai suami,mereka telah diletakkan satu tanggungjawab dan amanah yang besar untuk dipikul dengan sebaik mungkin.Meniti perjalanan berumahtangga memang memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran agar tidak tergelincir dari tujuan asal yang ditetapkan Allah iaitu mawaddah dan rahmah didalamnya.Jika masing-masing diantara suami mahupun isteri tiada kesefahaman dan toleransi yang sempurna,maka ianya akan membawa kepada keruntuhan rumah tangga malah lebih teruk lagi akan membawa kepada penceraian.’Nauzubillahiminzalikk’

“Ntah lah ,kadang-kadang tu rasa ‘tok cekak doh’(penat) untuk fikir masalah ini”.Dia mengadu sambil melontarkan pandangannya kearah padang masjid.

“Sabar dan cuba pulihkan keadaan.Ujian dalam berumahtangga biasa lah tu”.Saya cuba untuk menenangkan emosinya agar teguh kembali sebagai seorang lelaki.

Hanya itu yang saya mampu ucapkan kepadanya.Tidak layak rasanya untuk memberi motivasi yang matap dan bercakap panjang tentang soal berumahtangga.Pengalaman hidup pun belum cukup untuk dikongsi bersama yang lain,apatah lagi jika mahu bercakap dalam soal rumahtangga seperti ini.Walaupun dalam kecetekan ilmu yang ada dan pengalaman yang tidak seberapa,saya cuba juga untuk berkongsi pandangan bersamanya walaupun ia adalah sedikit berat untuk diceritakan.

“Cuba beli buku agama atau buku panduan rumah tangga.Tak pun,abang ni kurang romantik kot dengan isteri,kalau abang ada skill romantik mesti cair lah punye.”.Saya cuba berjenaka untuk mengelak sedikit kegugupan dalam diri.Terdengar suara tawa kami diberanda masjid Ar-rahman yang sedang dalam pembaikian itu.Agak lucu pula bila difikirkan balik dengan apa yang diucapkan.Entah macam mana gurauan itu boleh terkeluar dari mulut saya.Malu.

ROMEO YANG ROMANTIK

Bila berbicara soal romantik,kebanyakan masyarakat memandang persoalan ini dengan kaca mata masing-masing.Apakah yang dikatakan romantik hanya sekadar mengucapkan kata-kata cinta dan sayang,sedangkan perilakunya tidak menunjukkan bukti.Atau sekadar membelai dan sebagainya.Ada sesetengah dari suami sudah beranggapan ianya sudah memadai dengan hanya ungkapan dihujung bibir sahaja dan ada juga yang berfikir ianya adalah sikap yang berlebihan.Bukankah pernikahan adalah salah satunya untuk berkasih dan bermesra sesama suami dan isteri.Ianya tidak menjadi kesalahan kerana si dia(isteri) sudah menjadi yang halal untuk diri si suaminya.

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan kepada si suami bersikap romantik bahkan ianya dituntut walaupun pasangan itu sudah menjangkau ke alam nenek dan datuk sekalipun.Pernah sekali saya terjumpa , pasangan yang sudah lewat umurnya dan mungkin sudah mendapat title datuk dan nenek berjalan sambil berpegangan tangan .Umur tua mereka tidak menjadi penghalang untuk bermanja dan bermesra sebagai suami isteri.Susah senang dalam hidup dikongsi bersama.

Bersikap romantik adalah salah satu cara untuk membahagiakan pasangan masing-masing.Romantik adalah satu simpulan bahasa yang sejati menjadi warna kedamaian perjalanan sebuah keluarga SAMARA (sakinah,mawaddah,rahmah).Mencipta romantik bererti mengemudi semaksimun mungkin keluarga sebagai tempat menyenangkan bagi setiap penghuninya.

Hal itu dapat diikhtiarkan dengan komitmen yang penuh untuk menjaga cinta yang halal.Diantara caranya adalah selalu melakukan tindakan romantik yang dapat menyubur,menjaga cinta serta kasih sayang.Romantik merupakan ukuran atau tahap yang perlu ditonjol selari dengan komitmen yang dibangunkan dalam keluarga,yakni tanggungjawab kita untuk selalu tertib dalam mematuhi segala aturan Allah SWT.Inilah landasan prinsip keluarga dalam islam.Keluarga islam tidak hanya bebekal cinta yang berbuah romantik sahaja tetapi juga berbekal taqwa yang berbuah komitmen.

Contoh yang boleh kita ambil untuk menjadi teladan dan panduan dalam membina keluarga islam atau baitul muslim adalah melalui keperibadian seorang nabi iaitu Rasulallah SAW.Tidak hanya dalam perkara spiritual sahaja yang baginda tekankan, malah baginda adalah seorang pemimpin,ayah dan suami yang bersifat cekal dan romantik.Baginda mengayuh roda keluarga dengan bekalan iman,sabar,taqwa dan cinta.

Jika kita meneliti dan menelusuri sirah baginda dalam mendidik isterinya,beliau adalah seorang insan yang amat sempurna.Keintiman hubungan diantara para isterinya menjadi penghias dalam keluarga baginda.Dikisahkan pada suatu hari,isteri-isteri Rasulallah berkumpul dihadapan baginda.Salah seorang dari isteri baginda bertanya,

“Duhai rasulallah,di antara isteri-isterimu ini,siapakah yang paling disayangi olehmu ?”

Semua yang hadir terdiam.Menanti penuh harapan jawapan dari Rasulallah SAW.Hati mereka berdebar,khuatir jika bukan nama mereka yang disebut sebagai isteri yang paling dicintai oleh manusia pilihan itu.Perasaan kecewa mula membenih,resah menerpa bersama kekhuatiran.Perasaan lembut dan halus dari para ummul mukminin berubah menjadi sensitif dan perasaan itu muncul tanpa disedari.

Disisi mereka,suami yang dicintai mereka tidak langsung menjawab.Hanya senyuman kecil merekah di bibir sucinya itu.Kemudia ia berkata,

“Aku akan memberitahu jawapannya kepada kalian nanti”

Setelah itu,tanpa diketahui oleh isteri-isteri baginda,Rasulallah SAW memberi sebentuk cincin kepada setiap dari isterinya seraya berpesan agar tidak memberitahu kepada isteri-isteri yang lain.Selang beberapa ketika,isteri – isteri Rasulallah SAW berkumpul lagi dan mengajukan soalan yang sama.Rasulallah SAW dengan penuh bijaksana menjawab,

“yang aku paling sayangi adalah yang ku berikan cincin padanya”.

Semua isteri Rasulallah SAW tersipu malu.Semuanya tersenyum puas kerana menyangka hanya dirinya saja yang mendapat cincin dan merasakan bahawa dirinya tidak terasing.Begitulah cara seorang nabi menjaga hati dan mendidik para isterinya.Suami yang berhadapan dengan sifat cemburu dan kerenah isteri amatlah perlu mencontohi didikan yang ditunjukkan oleh baginda agar dapat mengawal dan membentuk sebuah keluarga yang didalamnya terdapat kasih sayang yang melimpah ruah.

Masih ada amalan-amalan lain yang boleh dilakukan untuk mendapatkan suasana romantik seperti yang dicontohkan oleh Rasulallah SAW.Beliau selalu berpegangan tangan dengan Aisyah r.a ketika didalam rumah.Baginda juga acap kali memotong kuku isterinya,mengajak isterinya besiar – siar ditaman untuk menambah kasih sayang diantara mereka.

Rasulallah SAW juga selalu memanggil isteri-isterinya dengan panggilan yang menyenangkan dan membuat hati mereka berbunga-bunga seperti humaira’(wahai pipi yang kemerah-merahan).Inilah contoh panggilan yang selalu diucapkan tatkala memanggil Aisyah r.a

Begitulah diantara sedikit contoh yang ditunjukkan oleh Rasulallah selaku suami yang perlu bersikap romantik dan memiliki sifat kasih sayang kepada seorang perempuan yang bergelar isteri.Jika diteladani dan dipraktikkan cara dan skill yang dibuat oleh baginda,saya yakin kebanyakan isteri akan menjadi seorang isteri yang solehah dan penyayang.

Terkadang golongan hawa khusunya isteri memang memerlukan belaian dan sentuhan manja oleh suaminya,tidak sama pula dengan sifat lelaki yang kasar dan gagah bak seorang panglima Melaka di zaman lampau.Rasullallah SAW adalah pemimpin ummah dan panglima di medan peperangan,tetapi baginda juga adalah seorang suami yang romantik dan penyayang kepada para isterinya bila berada dirumah.Dalam kegagahan jasmani ada kehalusan jiwa.Juga tidak boleh diabaikan didikan agama kepada isteri dan anak-anak agar keluarga yang dibina selari dengan kehendak syariat islam dan mampu mengasilkan ‘alfateh’ yang mampu menegakkan kembali kegemilangan islam.Oleh itu,berusahalah untuk menjadi suami yang terbaik agar mampu mendidik isteri yang solehah dan melahirkan pejuang agama.

Kearah membentuk para abi yang bijak mendidik dan bersifat romanTIKUS.Sayangi keluarga disitu bahagia.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP