ILMU UNTUK SEMUA

>> Wednesday, June 9, 2010




Kini zaman sudah berubah. Manusia sudah mampu berfikir dengan baik, hinggakan pelbagai teknologi dan aneka produk terhasil. Semuanya adalah kerana manusia telah menguasai ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu pengetahuan, mungkin kita masih berada di arena Paleolitik, Neolitik ataupun purbakala.

Bercawat dan hidup secara nomad.

Dahulu ketika umat Islam terbelenggu Jahiliyyah, penguasaan terhadap ilmu pengetahuan terabai. Manusia tidak mementingkan ilmu, tetapi lebih cenderung mengamalkan budaya Hedonisme melampau. Bahkan sehingga menganggap wanita adalah pemuas nafsu semata-mata. Mereka dipijak, ditindas, malah langsung tidak dipandang oleh kaum lelaki.

Dewasa ini, manusia kembali mengulangi perkara yang sama. Istilah lebih tepat ialah golongan Jahiliyyah Moden. Lupakan agama (Faktanya, golongan Komunis mengamalkan cara hidup tidak mempercayai kewujudan Tuhan), pincanglah dunia. Ya, pincang segala-galanya.

Islam hadir membawa panji kegemilangan. Wanita Islam adalah seiring lelaki dalam proses menuntut ilmu. Mereka layak mengejar cita-cita dan ilmu pengetahuan tanpa perlu dihinakan. Pokok pangkalnya, sesiapa saja mampu memperolehi ilmu jika rajin berusaha ke arah itu.

Suka saya membawa pandangan Syeikh Athiah Saqar dalam kitabnya Fatawa Wa Ahkam Lil Mar’ah al-Muslimah berkenaan perspektif Islam dalam bab yang akan diperkatakan.



HAK WANITA KELUAR MENUNTUT ILMU

Apakah hukum suami menghalang isterinya daripada menuntut ilmu di Masjid atau majlis ilmu?

Jawab Syeikh Athaih Saqar, adalah wajib wanita itu keluar mencari ilmu. Sekiranya tidak berupaya memperolehi ilmu (dengan cara seperti sebelum ini), maka ia menjadi tanggungjawab suami dan walinya (jika belum berkahwin, wali sewajarnya memberi pendidikan terhadap anak perempuan). Sekiranya wanita itu keseorangan, dia boleh mempraktikkan kaedah lainnya seperti membaca buku-buku, mendengar radio (televisyen, internet dll).

Begitu juga semasa era nubuwwah, wanita-wanita Islam ketika itu keluar mencari ilmu dengan bersunguh-sungguh. Menurut riwayat sejarah, wanita-wanita itu sangat berkeinginan untuk menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW sendiri. Mereka menghadiri majlis ilmu yang khusus diadakan untuk para muslimah tanpa kehadiran lelaki.

Ummul mukminin – Saidatina A’isyah r.a memuji wanita-wanita dari kalangan kelompok Ansar kerana keinginan mereka yang tinggi untuk menuntut ilmu. Kata beliau:

Ya, wanita, wanita Ansar, malu tidak menghalang mereka daripada faqih dalam agama.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Iktibar daripada kata-kata ini ialah – dalam proses menuntut ilmu kita sewajarnya menghilangkan rasa malu berlebihan yang terbeban. Terkadang ada di kalangan wanita (termasuk lelaki) hari ini sedikit egois ketika berbicara soal menuntut ilmu. Sangkaannya umur adalah batas pembeza dalam menuntut ilmu.

Bahkan menganggap bahawa tidak patut mempelajari sesuatu dari kalangan generasi yang lebih muda. Rasa bagai tercalar maruah dengan status yang dimiliki. Sementalah beliau juga adalah dari golongan terpelajar, maka kuat lagilah egois yang berakar.

Lalu masalah ini dibiarkan terpendam sendiri, lebih rela jahil daripada mengikis rasa malu yang tak bertempat.


PENTINGNYA LELAKI BERILMU

Kenapa pentingnya seorang lelaki memiliki ilmu?

Telah berbicara ulama’ dalam masalah ini, bahawa sesungguhnya seorang lelaki WAJIB mengajarkan isterinya kadar ilmu agar lebih benar dalam beribadat kepada Jalla Wa’ala. Kejahilan seorang suami memungkinkan institusi keluarga menghampiri gaung neraka, nauzubillahhi minzalik.

“Macammana saya nak solat, mak ayah pun tak pernah solat. Saya tak pandai ambil wudhuk.” Kata seorang kanak-kanak berterus terang. Saya pernah mendengar pengakuan ini dan ianya adalah realiti!

Seandainya seorang suami merasa dirinya tak berilmu, maka wajib lelaki itu membenarkan isterinya supaya keluar menuntut ilmu ke tempat-tempat majlis ilmu yang diperakui kesahihannya. Tidak harus suami menghalang isterinya mendapatkan secebis mutiara ilmu.

Alangkah romantiknya jika si suami turut bersama-sama berpimpin tangan ke majlis sebegitu sekerap mungkin. Malah mungkin lebih romantik jika suami sendiri yang mengajar isterinya menuju ke syurga dan selalu duduk di taman-taman syurga. Pasti mahligai bahagia berpanjangan selama-lamanya. Insha’Allah.

Justeru, mari sama-sama menghidu bau taman syurga sepuas mungkin!

___________________________

p/s :Niatkan segala perbuatan yang dilakukan ikhlas semata mata kerana Allah sekalipun ia adalah rutin harian.Membaca adalah salah satu perbuatan dan rutin bagi pelajar yang menempuh peperiksaan, tetapi bila membaca dan disertakan dengan niat dihati yang ikhlas kerana Allah taala, ianya akan membuahkan hasil yang lebih lumayan untuk dituai nanti.Kerana disitu terdapat hikmah KEBERKATAN.

[ Moga Allah kurniakan kekuatan untuk terus mendalami ilmu dan menempuh peperiksaan kepada sahabat yang masih berbaki lagi peperiksaannya.Ameen ]

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP