MENYINGKAP IMAN PADA SELIMUT SUBUH

>> Friday, September 3, 2010



Inilah ujian yang sesungguhnya. Ujian yang sangat sulit, namun bukan satu hal yang mustahil. Nilai tertinggi dalam ujian ini bagi seorang laki-laki adalah solat Subuh secara rutin berjemaah di masjid. Sedangkan bagi wanita, solat Subuh tepat pada waktunya di rumah. Setiap orang dianggap gagal dalam ujian penting ini, manakala mereka solat tidak tepat waktu, sesuai yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Sikap manusia dalam menunaikan solat fardhu cukup beragam. Ada yang mengerjakan sebahagian solatnya di masjid, namun meninggalkan sebahagian yang lain. Ada pula yang melaksanakan solat sebelum habis waktunya, namun dikerjakan di rumah.

Dan, Ada pula sebahagian orang yang mengerjakan solat ketika hampir habis batas waktunya (dengan tergesa-gesa). Yang terbaik di antara mereka adalah yang mengerjakan solat fardhu secara berjemaah di mushala,surau atau masjid pada awal waktu.

Rasulullah s.a.w. telah membuat klasifikasi yang dijadikan sebagai tolak ukur untuk membezakan antara orang mukmin dengan orang munafik. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. Bersabda:

” Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya’ Dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, niscaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak".

Apabila Rasulullah s.a.w. meragukan keimanan seseorang, beliau akan menelitinya pada ketika solat Subuh. Apabila beliau tidak mendapati orang tadi solat Subuh (di masjid), maka benarlah apa yang beliau ragukan dalam hati.

Di sebalik pelaksanaan dua rakaat di ambang fajar ini, tersimpan rahsia yang menakjubkan. Banyak permasalahan yang bila dirujuk, bersumber dari pelaksanaan solat Subuh yang diringan-ringankan. Itulah sebabnya, para sahabat Rasulullah saw. sekuat tenaga agar tidak kehilangan waktu emas itu.

Pernah suatu hari, mereka terlambat salat Subuh dalam penaklukan benteng Tastar. ‘Kejadian’ ini membuat seorang sahabat, Anas bin Malik r.a. selalu menangis bila mengingatnya. Yang menarik, ternyata Subuh juga menjadi waktu peralihan dari era jahiliyah menuju era tauhid. Kaum ‘Ad, Tsamud, dan kaum penderhaka lainnya, dilibas azab Allah swt. pada waktu Subuh.

Seorang penguasa Yahudi berkata: “Kami baru takut terhadap umat Islam jika mereka telah melaksanakan solat subuh seperti melaksanakan solat Jumaat.”

“Sungguh masjid-masjid di seluruh penjuru dunia ini merintih pedih dan mengeluh kepada Allah kerana dijauhi oleh majoriti kaum muslimin ketika solat subuh sedang dilaksanakan. Kalau bukan kerana ketentuan Allah bahawa benda-benda mati itu tidak bisa bicara, tentu manusia dapat mendengar suara rintihan dan gemuruh tangis masjid-masjid itu mengadu kepada Rabbnya Yang Agung”.

Memang, tanpa solat Subuh secara berjemaah, umat Islam tidak lagi berwibawa. Tak selayaknya kaum muslimin mengharapkan kemuliaan, kehormatan, dan kejayaan, bila mereka tidak memperhatikan solat ini.

Bagaimana orang-orang muslim tidur di waktu Subuh, lalu dia berdoa pada waktu Dhuha atau waktu Zhuhur atau waktu petang hari (Asar), memohon kemenangan, keteguhan dan kejayaan di muka bumi. Bagaimana mungkin?

Sesungguhnya agama ini tidak akan mendapatkan kemenangan, kecuali telah terpenuhi semua syarat-syaratnya. Yaitu dengan melaksanakan ibadah,akidah, berakhlak mulia, mengikuti ajaran-Nya, tidak melanggar larangan-Nya, dan tidak sedikit pun meninggalkannya, baik yang ringan apalagi yang sangat penting.

Subhanallah! Allah s.w.t. akan mengubah apa yang terjadi di muka bumi ini dari kegelapan menjadi keadilan, dari kerusakan menuju kebaikan. Semua itu terjadi pada waktu yang mulia, ialah waktu Subuh. Berhati-hatilah, jangan sampai tertidur pada saat yang mulia ini.

Allah s.w.t. akan memberikan jaminan kepada orang yang menjaga solat Subuhnya, yaitu dibebaskan dari seksa neraka jahanam. Diriwayatkan dari Ammarah bin Ruwainah r.a., ia berkata:

Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan masuk neraka, orang yang solat sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam matahari.”

Solat Subuh merupakan hadiah dari Allah s.w.t., tidak diberikan, kecuali kepada orang-orang yang taat lagi bertaubat. Hati yang diisi dengan cinta kemaksiatan, bagaimana mungkin akan bangun untuk solat Subuh? Hati yang tertutup dosa, bagaimana mungkin akan terpengaruh oleh hadith-hadith yang berbicara tentang keutamaan solat Subuh?

Orang munafik tidak mengetahui kebaikan yang terkandung dalam salat Subuh berjemaah di masjid. Sekiranya mereka mengetahui kebaikan yang ada di dalamnya, niscaya mereka akan pergi ke masjid, bagaimanapun keadaannya, seperti sabda Rasulullah saw.: ” Maka mereka akan mendatanginya, sekalipun dengan merangkak.”

Cuba kita bayangkan ketika ada seorang laki-laki yang tidak mampu berjalan, tidak ada orang yang membantu memapahnya. Dalam keadaan yang sedemikian rupa, ia bersikap keras mendatangi masjid dengan merangkak dan merayap di atas tanah untuk mendapatkan kebaikan yang terkandung dalam salat Subuh berjemaah.

Sekiranya kita saksikan ada orang yang meninggalkan solat Subuh berjamaah di masjid (dengan sengaja), maka kita akan mengetahui betapa besar musibah yang telah menimpanya.

Rakan-rakan semua, artikel ini bukan untuk menuduh orang-orang yang tidak menegakkan solat Subuh di masjid dengan sebutan munafik.

Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan keadaan setiap muslim. Namun, sebaiknya hal ini dapat dijadikan sebagai bahan pembaiki bagi setiap individu (kita), orang-orang yang kita cintai, anak-anak, serta sahabat-sahabat kita. Sudahkah kita solat Subuh berjamaah di masjid atau musalla secara istiqamah?

Jika seseorang meninggalkan solat Subuh dengan sengaja, maka kesengajaan tersebut adalah bukti nyata dari sifat kemunafikan. Barang siapa yang pada dirinya terdapat sifat ini, maka segeralah bermuhasabah dan bertaubat. Mengapa? Karena dikhuatiri akhir hayat yang buruk (su’ul khatimah) akan menimpanya.

Nauzubillah minzalik!

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah s.a.w. mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” Jika Rasulullah s.a.w. yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah s.w.t. kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah s.w.t. Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (al-Kahfi 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah s.a.w, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”Begitulah keistimewaan solat Subuh.

Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh?

Diceritakan satu ketika Rasulullah s.a.w. solat subuh di masjid Nabawi. Begitu pulang beliau mendapati puterinya Siti Fatimah masih tidur. Maka beliau pun membalikklan tubuh Fatimah dengan kakiknya, kemudian berkata: “Hai Fatimah, bangun dan saksikanlah rezeki Robbmu, kerana Allah s.w.t. membagi-bagi rezeki para hamba antara salat subuh dan terbitnya matahari”. ( HR.Baihaqi ).

Dilain waktu Rasulullah s.a.w. menjadi imam solat subuh, Beliau tidak melihat Ali bin Abi Thalib RA. Khuwatir menantunya ini sakit, beliau langsung menuju rumahnya. Ketika bertemu dengan Siti Fatimah, mendapat penjelasan bahawa sangat asyiknya Ali, suaminya beribadah malam, maka solat subuh dilakukan di rumah. Rasulullah s.a.w. kemudian berkata: “Solat subuh yang dilakukan secara berjemaah (di masjid), lebih bagus daripada ibadah yang dilakukan seseorang sepanjang malam di rumah”.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahwa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Barangsiapa yang melaksanakan solat isya’ secara berjemaah , maka ia seperti solat malam separuh malam. Dan barangsiapa yang melaksanakan solat subuh secara berjemaah, maka ia seperti solat malam satu malam penuh”. Sehingga Ibnu Umar r.a.d. pun menegaskan: “Sungguh, aku boleh melaksanakan solat subuh secara berjemaah, itu lebih aku sukai daripada solat malam semalam suntuk”. Sudah pasti yang paling baik adalah istiqamah solat malam di rumah sesuai kemampuan dan ditutup dengan solat subuh secera berjemaah di masjid.

Ayuh! rakan-rakan semua, marilah kita solat subuh di masjid secara berjemaah. Semuga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk mengamalkannya. Penuhkan masjid diwaktu solat subuh supaya orang kafir akan gerun dengan kehebatan umat Islam. InsyaAllah kalau kita sama-sama berusaha kearah itu, tidak mustahil panji-panji Islam akan subur menghijau dibumi Allah ini.

Tiada yang mustahil dan kita tidak perlu ragu-ragu dengan pertolongan Allah s.w.t., insya'allah.

Read more...

MALAM SERIBU BULAN



Sudah hampir sebulan ramadhan datang mengunjungi kita.Tetamu mulia ini sentiasa dirindui akan kehadirannya.Hembusan bayu ramadhan datang menyapa diri dan mendamaikan jiwa-jiwa mukmin.Para penghuni syurga terpinga-pinga dengan hembusan ‘muthirah’ yang menerpa ke pintu syurga yang kini dibuka seluas-luasnya.

Manakala dibumi pula,suasana keimanan mewarnai iman para mukmin dan mukminat.Kemanisan iman begitu mudah dirasai dan suara merdu para imam mudah sekali menyentuh jiwa.Allah yang maha Rahman semakin mewah melimpahkan rahmat dan ihsanNya.

Ibn Abbas r.a berkata,bahwa beliau mendengar Rasulallah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadhan.Apabila tiba malam pertama dari bulan ramadhan ,akan ada satu angin yang akan berhembus dari bawah Arasy yang dinamakan ‘muthirah’.Lalu bergeseranlah daun-daun pepohon syurga.Maka akan kedengaranlah suatu bunyi yang amat merdu sekali yang tidak pernah didengari bunyi yang semerdu itu daripada sebelumnya.Kemudian muncullah bidadari-bidadari syurga sehingga mereka berhenti di anjung syurga.Mereka kemudian menyeru,”adakah sesiapa yang ingin meminang kami agar Allah menghawinkan dengan kami?”kemudian mereka berkata lagi,”wahai Ridhwan penjaga syurga! Malam apakah ini?”.Ridhwan menjawab,malam ini ialah malam pertama daripada ramadhan,dibukakan semua pintu-pintu syurga untuk ummat Muhammad s.a.w.”

Begitulah yang berlaku disyurga bila tibanya Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.Di alam dunia para muslim meyambutnya dengan begitu meriah sekali untuk mengambil segala kurniaan yang diberikan oleh Tuhan sekelian alam.

Ramadhan.

LEBIH BAIK DARI SERIBU BULAN

Salman r.a menceritakan bahawa Rasulallah bersabda ‘’Wahai manusia,telah datang kepadamu bulan yang agung lagi diberkati.Satu bulan yang terdapat didalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan’’.Demikianlah bagaimana Rasulallah s.a.w mengkhabarkan kepada kita para ummatnya betapa begitu istimewa dan hebatnya malam yang dijanjikan oleh Allah itu.Betapa sungguh kerugian kepada sesiapa yang mensia-siakan kesempatan kunjungan bulan mulia ini kerana bersama-samanya datang satu malam yang dinamakan Lailatulqadar .Satu malam yang penuh dengan dengan kemuliaan dan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Sungguh bertuah kepada mereka yang mendapat taufik dan menyedari akan keistimewaan dan kelebihan yang terdapat padanya dan berlumba-lumba untuk beribadah pada malam tersebut.Hanya dengan satu malam al-qadr ini keuntungannya dan fadhilatnya menyamai kebaikan selama 83 tahun 4 bulan.Fadhilat ini telah diberitahu oleh Allah,pencipta seluruh alam.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-quran) ini pada malam al-qadar dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran lailatulqadar?.Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan.Pada malam itu,turun para malaikat dan jibril dengan izin tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya ).Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar” [al-qadr 1-5]

HANYA TERISTIMEWA UNTUK UMMAT MUHAMMAD

Allah s.w.t telah mengkhususkan satu surah didalam alquran bagi menerangkan berkenaan lailatulqadar ini.Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulallah pernah bersabda yang menyatakan bahawa al-qadar ini hanyalah diberikan kepada ummat Muhammad s.a.w sahaja.Alangkah besarnya nikmat dan alangkah beruntungnya kepada sesiapa yang mencari keredhaan Allah dimalam istimewa ini.

Rasulallah s.a.w juga menyatakan bahawa kemuncak kepada kemulian yang akan diperolehi seseorang hamba yang tekun beribadah pada malam al qadr ini adalah mendapat keampunan sepenuhnya terhadap dosa yang menyebabkan seseorang itu menjadi bersih sebersihnya.
Amatlah malang jika kita diizinkan untuk bertemu Ramadhan yang penuh keberkatan ini,hanya membiarkan lailatulqadar berlalu tanpa kita mendapatkan manfaat kerohanian yang melimpah ruah.Satu kerugian yang tidak dapat dibayangkan !


IKTIKAF

Manifestasi keimanan dan ihtisab ini telah ditunjukkan oleh Rasulallah s.a.w dan para sahabat dalam kehidupan mereka,lebih-lebih lagi dalam kehidupan ramadhan mereka.Pagi dan petang ramadhan mereka,siang dan malam juga ramadhan mereka.Segalanya menunjukkan apakah yang dikatakan berpuasa pada siangnya dan mendirikan ibadah pada belah malamnya pula.Kehidupan suci murni Rasulallah dan para sahabat adalah neraca kita dalam menilai dan memadu ramadhan kita.

Bagi mendapat manfaat dan kemuliaan yang terkandung dalam Ramadhan dan lailatulqadar,maka antara sunnah yang paling utama adalah beriktikaf di masjid.Rasulallah pernah beriktikaf dimasjid sebulan penuh dalam bulan ramadhan.Baginda juga beriktikaf selama 20 hari dan adakalanya juga baginda akan beriktikaf selama 10 hari terakhir di bulan ramadhan untuk mendapat ganjaran lailatulqadar yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Alangkah malangnya umat ini,amalan pada akhir 10 Ramadhan inilah yang paling kita abaikan di tanah air kita Malaysia.Kalau begitu keadaan, bagaimana kita akan beroleh malam yang istimewa,lailatulqadar.Jadi marilah sama kita berusaha dengan beribadah dengan seikhlas hati dan sebanyak mungkin pada malam-malam Ramadhan yang masih berbaki ini.Moga-moga kita tergolong dalam golongan kolompok yang mendapat kebaikan seribu bulan itu yang akan diberikan oleh Allah s.w.t kepada hamba yang mencarinya.

Insya’allah ta’ala.

‘Lailatul qadri khairum min alfi syah’

Read more...

CERITA PENDEK BUAH LIMAU

>> Thursday, September 2, 2010


“Begitulah agungnya sifat Rasulallah S.A.W walaupun diperlakukan sedemikian.Moga-moga dengan tazkirah subuh yang ringkas ini dapat dijadikan contoh untuk kita membentuk akhlak seperti nabi”.Ustaz Hassan mengakhiri tazkirah subuh dengan meninggalkan cerita yang cukup membuatkan kerinduan yang sudah sekian lama ini makin bertambah.

Para jemaah bersalaman dan terus pulang ke rumah masing-masing.

Saya melangkah pulang kerumah sambil menghirup udara subuh yang sejuk pagi itu.Perjalanan ditemani lampu jalan yang hanya samar menerangi laluan yang berturap dengan tar.Setiap kali kaki melangkah maju kehadapan,setiap kali itulah bertambahnya rasa betapa ingin sekali untuk berjumpa insan mulia yang bernama Muhammad S.A.W itu.

Alangkah bertuahnya jika dapat bertemu dengan si pemilik akhlak yang mulia ini walaupun hanya sekadar dapat menatap wajahnya.Pasti kerinduan ini sedikit terubat walaupun tidak dapat menghilangkan kesemua rindu yang tersimpan dihati.

Sirah Rasulallah S.A.W yang disampaikan dalam tazkirah subuh masih lagi terngiang telinga saya.

……………………………………….

Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti tergiur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.

Hadiah itu dimakan oleh baginda Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan senyuman. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.

Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak heran dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan senyuman Rasulullah menjelaskan 'tahukan kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam saat saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada diantara kalian akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. sebab itu saya habiskan semuanya'.

Begitulah akhlak rasullullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang yang bukan islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berhasil. Rencananya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW. Subnahallah..

Ringkas yang menambah rindu.Duhai kekasih Allah, adakah dikau tahu betapa ku merindui mu.

Read more...

BERIMAN UNTUK BERUBAH

>> Wednesday, September 1, 2010


“Azfar,aku nak mintak tolong skit boleh?..”.suara sahabat lama kedengaran di hujung talifon.

“Insyaallah boleh,tapi dengan syarat jangan suruh aku pegi beli barang di bulan sudah la”.Saya bergurau.

“Ape pulak pegi bulan…hahaha”.tertawa.

Kami sama tergelak dalam perbualan talifon.sudah lama tidak menghubunginya dan bertanya khabar.Hampir sejam bersembang dari satu tajuk ke tajuk lain hingga panas telinga pun tidak terasa.Kesempatan yang ada di Malaysia digunakan sebaik mungkin untuk menghubungi para sahabat yang sudah lama terputus berita.

“Azfar,minta tolong kau bagi nasihat sikit”.

“Nasihat ape man?”.Saya mengulangi soalan tadi.

“Nasihat kepada kat aku.Aku nak ubah sifat la azfar”.

“hah,nak ubah sifat?kau nak baiki ape man?semua dah sempurna aku tengok?kau biar betul man”.Saya sedikit kebingungan.

“Bukan ubah sifat fizikal la”.Suaranya sedikit tinggi.

“Owh,maaf la man.Aku tak faham tadi.Ingatkan kau nak ubah sifat ape tadi”. Saya hampir tergelak. pelik dan lucu pula bila terfikir semula.

“Kau nak ubah sifat macam mana man?cuba bagi tahu aku.Insyallah kalau aku mampu tolong”.

“Tunang aku cakap aku ni ego”.Suaranya kedengaran sedikit perlahan.

Huh,terkejut jugak bila mendengar apa yang diperkatakan.mungkin ada sedikit perselisihan diantara mereka berdua.

“Jadi,apa yang aku boleh bantu kau man?”.

“Aku pun tak tahu nasihat apa yang patut ana mintak dari kau.Aku rasa betullah tunang aku cakap pasal sifat dan sikap aku”.

“Man,kau cuba ubah perlahan-lahan.Insyallah lama-lama nanti hilanglah sifat panas baran kau yang lama tu.”

“Aku dah cuba,tapi dia masih cakap aku ni garang dan ego.Aku pun tak tahu kenapa”.Terdengar suaranya yang sedikit sedih dan kecewa.

“Man,garang tu sifat sinonim dengan orang lelaki.kalau lembut je,jadi lelaki auww la jawabnya”.Saya cuba bergurau untuk menceriakan keadaan kembali.

“Tapi man,dengan syarat ‘garang bertempat’,bukan ‘garang ego’.Kalau sifat kita garang orang memang susah nak suka ,bila tak suka mana nak ada minat,bila tiada minat cinta pun apatah lagi”.

“cuba baiki perlahan-lahan sifat baran yang ada dalam diri kau.Perbaiki dan didik sifat hati kita sendiri.Kita sendiri yang tahu siapa diri kita.Kalau betul kau masih lagi dengan sifat yang dulu,aku rasa sudah sampai masanya kau buang sifat itu.Aku risau takut terbawa dalam rumah tangga kau bila kahwin.lagi bahaya man.”Saya menyusun ayat dengan seteliti mungkin agar dia tidak mengguriskan hatinya.Satu persatu kemungkinan yang diperjelaskan semata untuk menasihati dirinya yang memang dari sekolah lagi bersifat begitu.a little bit of ‘baran’.

“Betul cakap kau azfar”.Dia akhirnya bersuara.

“Alhamdulillah,harapnya dia tidak tersalah anggap dengan teguran saya.

Baran itu adalah api keegoan(takabbur).Padamkanlah ia dengan air jernih keimanan.Berubahlah kerana Allah.

BERSATU KERANA YANG SATU

Dua batang kayu disatukan dengan paku.Dua ketul batu disatukan dengan simen.Dua hati disatukan dengan apa?

Jawabnya dengan iman.Dua hati yang beriman akan mudah disatukan.Jika dua hati mengingati Yang Satu,pasti mudah kedua-duanya bersatu.Begitulah dua hati suami isteri,akan mudah bersatu apabila iman dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris.bukan tidak pernah bertelagah,tetapi jika dihati sama-sama masih ada Allah,perdamaian akan mudah menjelma semula.Yang bersalah akan mudah meminta maaf manakala yang benar akan mudah memberi maaf.Tidaka ada dendam yang memanjang.Masam cuma sebentar.Pahit Cuma sedikit.Itulah yang ditunjukan oleh teladan rumah tangga Rasulallah s.a.w.Terkadang ada rebut tetapi sekadar dalam cawan.Ada gelombang tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta,siapakah yang lebih cintakan pasangannya?maka jawabnya adalah siapa yang lebih cintakan Allah.Dialah yang akan lebih cintakan pasangannya.Jadi janganlah hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara dua pasangan,tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai yang esa.Jika sama-sama mencintai yang maha kekal,cinta pasti akan berkekalan.


RACUN IMAN

Jika paku boleh berkarat,simen boleh retak,maka begitulah iman boleh menaik dan menurun.Iman itu ada ‘virusnya’.Virus iman adalah ego(takabbur).Jika ada takabbur,cinta pasti hancur.Orang yang bersifat takabbur akan merasakan dirinya adalah lebih mulia,pasangannya lebih hina.Jika yang demikian,dimanakah cinta?Tangan yang ego tidak mahu bersentuhan dengan tangan lain kononnya takut dikotori.

Apabila berbeza pandangan,hanya pandangannya sahaja yang benar.Kau isteri,aku suami.Aku ketua,kau pengikut.Aku putuskan kau ikut saja.Jangan cuba membantah atau melawan.Maka terkapailah si isteri tanpa boleh bersuara lagi.Sedikit bercakap sudah dibentak.Maka dalam senyap isteri menyimpan dendam kepada si suami.Tegur isteri dijawabnya tidak acuh.Senyumnya tawar menjadi hambar.Perlahan-lahan jarak hati menjadi semakin jauh.Cinta sudah semakin pudar dan layu.

Ada juga isteri yang ego.Herion sudah mengaku menjadi hero.Suami dicaturnya satu persatu.Tidak jarang meninggikan suara.Silap suami yang sedikit didera dengan rajuk yang memanjang.Semua kerja rumah dibiarkan tanpa terurus kemas.

Ego si suami pula selalunya terserlah.Boleh dilihat pada jelingan matanya dan suara yang tinggi.Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kerata ditekan bertalu-talu.Ego si isteri terpendam.Mungkin disebabkan tiada faktor dominasi kuasa dalam keluarga atau keberanian.Si isteri menunjukkan egonya dengan bermacam ragam.Daripada sengaja melagakan pinggan yang dibasuh sehinggalah memalingkan muka dan badan ketika di tempat tidur.

Begitulah yang akan berlaku jika sifat ego ataupun lebih jelas lagi takabbur dijadikan raja dan diikut tanpa teladan iman.


MEMBELI CINTA

Alhasil,cuaca rumah tangga menjadi muram,rumah hanya menjadi rumah dan bukanlah menjadi taman syurga.Semuanya bungkam tidak lagi ceria.Tiada lagi kasih dan saling menghormati diantara suami dan isteri.Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari mencari rezeki di tempat kerja.Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan kepada isteri yang dipertanggungjawabkan keatasnya.

Apabila masing-masing ada sifat keegoan dalam hati,cinta akan menjauh pergi.Retak akan menjadi belah lalu difikirkan kembali bagaimana untuk mengemabalikan cinta sejuta rasa yang pernah dirasai dahulu bersama.Lalu akal berfikir,berputar-putar mencari idea.

“owh,mari kita sama ulangi musim bulan madu kita yang lalu.Kita susuri pulau,tasik atau lokasi pertemuan kita yang dahulu”.fikir si ketua keluarga.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli cinta’.Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan harta kebendaan.

“Nah,ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cintaku masih kepadamu!”.Kata suami.

“Ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan antara kita berdua”Kata si isteri pula.Masing-masing berharap dengan kebendaan yang berharga ribuan ringgit itu dapat mengembalikan rasa cinta dan kasih semula.Namun sayang,sinar emas dan kilauan berlian juga tidak mampu untuk mengamitkan rasa kasih dan cinta.Cinta diundang oleh nur yang ada dihati.Nur itu tidak akan datang selagi sifat mazmumah keegoan masih bertapak didalam jiwa.

DI MANA ALLAH DALAM RUMAH TANGGA?

Susurilah cinta yang kian menjauh di jalan iman.Buangkanlah kerikil keegoan yang menghalang.Ego hanya membina tembok pemisah diantara dua hati walaupun fizikal masih sebumbung.Mungkin didepan khalayak ramai masih boleh tersenyum,tetapi hati masing-masing tahu sama tahu realiti disebalik senyuman buatan itu.Akibat situasi yang makin parah akhirnya membawa kepada perpisahan yang paling dibenci Allah iaitu penceraian.

Carilah dimana Allah dalam rumah tanggamu.Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang didirikan?Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan alquran.Apakah sudah luput majlis tarbiah dan tazkirah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga?pernahkah engkau sebagai suami mengejutkan ahli keluarga untuk sama bersolat malam menggapai redhaNYA dalam mencari kebahagian keluarga.

Pernahkah engkau si suami menjadi imam dalam solat bersama isteri dan anak-anak.Isteri pula pernahkah mendoakan kebahagian si suami dan memohon redha dari suaminya kerana syurganya terletak pada tangan suami.Dimana pula pesan memesan dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian, kebosanan,kejemuan dan keletihan dalam menongkah arus kehidupan yang penuh dengan ujian?.

Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak berasa kebesaran Allah.Orang yang ego hanya akan melihat kebesaran dirinya sahaja lalu memandang hina kepada orang lain pula.Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa tauhid menerusi ibadah kepada Allah taa’la.

LUNTURKAN EGO

“Firman Allah yang bermaksud:

Dan berilah peringatan,sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.” (al-dhariayat 51)

Sedangakan orang mukmin itu perlu kepada peringatan,apatah lagi kita insan biasa yang belum mencapai tahap mukmin yang disebutkan Allah dalam ayat tersebut.Iman itu seperti yang dimaksudkan hadis,boleh bertambah dan berkurang,untuk sentiasa mempertahankan iman malah bertambah ,hati perlu berterusan bermujahadah demi Allah.Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakabburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takabbur walaupun sasaran takbur kepada suami atau isteri sendiri.

Apabila terasa bersalah,jangan malu untuk mengaku salah.Segeralah mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf.Ular yang menyusur akar tidak akan kehilangan bisanya.Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya,tidak akan hilang sifat ‘supermanya’ .Dia tidak kehilangan kewibawaannya bahkan bertambah tinggi.Bukankah orang yang merendahkan dirinya akan ditingkat darjat oleh Allah akan martabatnya.Justeru,lunturkanlah ego yang ada pada diri dengan membiasakan diri meminta maaf.Tidak kiralah ketika dipihak benar lebih lagi jika memang terasa kita bersalah.

Namum lelaki yang tewas adalah lelaki yang sukar mengakui kesalahan.Dia sentiasa tidak ingin mengaku kesalahan yang dibuat.Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu ciri takabbur iaitu menolak kebenaran.Akuilah kebenaran itu walaupun ianya datang dari pihak isteri.Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah.Begitu juga isteri,jika terbukti salah akui sahaja.Dalam pertelagahan suami isteri apakah penting siapa yang menang dan siapa kalah?kita berada dalam gelanggang rumah tangga,bukan berada dalam gelanggang lawan atau mahkamah.Kesalahan suami isteri adalah kesalahan bersama.Rumah tangga wadah untuk berkongsi segalanya.Perkahwinan satu perkongsian bukan persaingan.

Kalau kita memang sekalipun apa gunanya?padahal,kita akan terus hidup bersama,tidur sebantal,makan sepinggan dan mungkin juga suap bersama.Berteduh pun dibawah satu bumbung yang satu.

Mujahadahlah sekuat-kuat menentang keegoan.Bisikkan selalu ke dalam hati yang Allah cintakan orang yang merendah diri.Pandanglah pasangan kita sahabat yang paling rapat.Kita dan dia hakikatnya satu.Bukan satu dari segi bilangan tapi satu dari segi rasa.Ingat,hanya dengan iman takabbur akan luntur dan cinta pula akan mekar subur.

Semaikanlah iman dalam diri agar takabbur menjadi lebur.

Read more...

BERLARI MENGGAPAI PELANGI KEJAYAAN

>> Tuesday, July 27, 2010


Sewaktu kecil, saya selalu mendongak ke langit tinggi memerhati luasnya alam. Bahkan, teramat kagum pada lukisan tujuh warna sang pelangi.

Ianya merentangi bukit-bukau tatkala bumi menerima rintik gerimis. Indah sekali di kaki bukit menghijau.

Pernah juga ketika dibangku sekolah guru mengajarkan tentang pelangi dan menerangkan bagaimana terjadinya lengkungan pelangi cantik. Prisma berbentuk piramid digunakan untuk membentuk dan melihat. Saya takjub. Saya suka.

“M,J,K,H,B,I dan U.. warna pelangi ada tujuh. Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.” Itulah yang dihafal berkaitan warna-warni pelangi. Permulaan huruf diambil untuk dijadikan rumus bagi memudahkan hafalan.

MENGEJAR PELANGI

Menyentuh pelangi senja itu bagai angan-angan Mat Jenin yang tidak kesampaian, apatah lagi mendakapnya erat. Namun, cuba berlari mengejarnya itu suatu nikmat. Walau keletihan, rasa puas tetap saja terlakar bersama kerana lukisan tujuh warna itu mampu mengukirkan sebuah senyuman kepada pengejarnya.

Cukuplah menjadi tatapan deria penglihatan, agar jiwa tenang dan damai. Setenang warna-warna pelangi indah ciptaan Ilahi. Subhanallah.

Izinkanlah diri kita untuk berlari mengejar pelangi itu.Berusahalah untuk memilikinya,bukan sekadar hanya untuk ingin merasai nikmat melihat. Bimbang pelangi nan indah itu hilang ditelan kabus memutih.

Andaikan saja pelangi itu sebuah matlamat dan cita-cita kita dalam semua perkara apatah lagi dalam pengajian.Ianya menjadi impian seluruh manusia untuk memilikinya kerana pelangi kejayaan itu adalah kepuasan diri dari hasil sebuah pelarian yang jauh dan penat tapi hasilnya membanggakan diri.

Jika terlepas berlari mengejar demi melihat pelangi sehingga ianya hilang di celahan gemawan, ibarat mensia-siakan waktu menggapai matlamat dan cita-cita. Membiarkan haluan tanpa matlamat dan cita-cita, ia seakan-akan layang-layang putus teraju tiga. Hilang begitu saja dihembus pawana.

Marilah sama kita berkorbanlah untuk seketika dan demi untuk mendidik iman serta kejayaan diri , agar tercapai hajat melihat pelangi nan indah kelak. Usaha hari ini penentu kejayaan masa hadapan. Percayalah, Allah SWT pasti menghadirkan kejayaan jika kita terus berusaha dan berusaha.

Berlari dan terus berlarilah duhai sahabat.Kejayaan itu bukan bayarannya dengan kesenangan atau kemudahan bahkan dengan kepenatan dan kesusahan . Doaku tetap sentiasa bersamamu.Semoga pelangi nan indah itu adalah milikmu agar dapat sama untukku rasakan betapa cantiknya ciptaan Allah yang bernama pelangi.Sudah cukup bagiku jika sekadar melihat pelangi itu digenggamanmu walaupun dari kejauhan sana.
_______________________________________

p/s :Selamat menempuh peperiksaan untuk sahabat dijordan.Bittaufeq wannajah ye kawan-kawan.

Read more...

PERMATA JASAD

>> Monday, July 26, 2010



“Assalamualaikum warahmatullah……” imam memberi salam tanda solat telah selesai.

Saya masih disaf belakang bersama dengan dua pemuda yang turut sama bersolat.Kami diantara yang agak kelewatan untuk solat bersama jemaah pertama.Sebaik saja melangkah kedalam ruangan masjid,jemaah awal sudah dipengakhiran solat.Kami yang terlewat sampai terpaksalah mendirikan jemaah ke dua.Biasalah,siapa lambat dia yang kerugian.

Usai solat dan berdoa,saya terus melangkah keluar masjid dan terus menuju ke tempat letak kereta.Belum sempat lagi untuk masuk ketempat pemandu,bahu saya dicuit dari belakang.

“Assalamualaikum”.Salam diberi bersama huluran tangan untuk berjabat.

Saya menyambutnya dengan membalas salam.

Dihadapan saya berdiri seorang pemuda yang memakai baju kurta berwarna gelap dan juga berkopiah.Tanpa melengahkan masa,mahu sahaja untuk saya terus menghulurkan wang kepadanya kerana waktu pada ketika itu sudah lewat sedangkan banyak lagi urusan kerja yang perlu diselsaikan.Tapi,terdetik pula dihati kalau-kalau dia bukanlah peminta sedekah seperti yang disangkakan.Entah bagaimana pula untuk melarikan diri daripada malu nanti.

Tanpa dipinta dia menghulurkan fail yang dipegangnya kepada saya untuk dibaca.Hanya ada sehelai kertas yang menyatakan bahawa tujuannya adalah untuk memohon sumbangan ikhlas kewangan bagi membantu dirinya yang kemiskinan.

“Owh,memang minta sedekah rupanya”.Tidak salah tekaan saya.

“Dari mana?” saya bertanya.

Pemuda itu hanya menggelengkan kepalanya.

“Datang dari mana”.saya bertanya untuk kali kedua.

Sekali lagi dia meggelengkan kepala sambil jarinya ditunjuk kepada kertas yang berada ditangan saya.Saya membaca sepintas lalu tulisan yang ada dikertas tersebut.

‘’Orang Pakistan rupanya”.Maklumat peribadinya dan negara asal memang sudah tertulis dalam helaian kertas yang diberikan tadi.

“Patutlah tak boleh bercakap,tak tahu bahasa Malaysia”.Saya berbisik dalam hati sendirian.

Tanpa membuang masa,sedikit sumbangan ikhlas dihulurkan kepadanya.Moga dapat membantu dirinya.Yang penting sekali dapat membantu sesama muslim.Pada hari ini dia memerlukan bantuan,esok ataupun lusa mungkin diri ini pula yang memerlukan pertolongan.

Saya memohon untuk mengundur diri dan masuk kedalam kereta dengan memberi isyarat ke tempat duduk pemandu.Sebelum pergi,sempat kami bersalaman walaupun dalam keadaan saya yang agak sedikit kalut.Berlegar dikepala saya beberapa urusan penting yang masih lagi belum selesai untuk hari ini.

Saya melihat pemuda tadi berlalu pergi dari cermin sisi kanan.Kesian jugak bila melihat dirinya.Terbias muka kepenatan pada wajahnya.Ada sedikit titik peluh didahinya kelihatan ketika saya berhadapan dengannya tadi.Beliau berlalu pergi dibawah pancaran sinar mentari yang panas pada tengah hari itu.

“Terkadang golongan mereka lebih gembira dan tenang daripada orang”.Saya berfikir sendirian setelah berada didalam kereta.

Kebanyakan manusia mempunyai darjat dan harta.Tapi permata yang ada didalam jasad tidaklah sehebat yang tergambar diluaran.Memiliki kereta mewah,rumah yang bertingkat,harta yang bertimbun dan segala kemewahan lain lagi.Semua metirial ini tidak melambangkan bahawa permata diri yang letaknya iman disitu gah atau kukuh seperti segala harta apa yang dimiliki.Semuanya tidak menjaminkan permata jasad itu boleh memberi ketenangan diri sepertimana yang dikejar oleh golongan yang hatinya suci dan bersih dari titik hitam dunia.

Hati itu permata diri.jika baiknya ia maka baiklah seluruh jasad.Jika buruknya ia,maka buruklah seluruh jasad.Begitulah perumpamaan yang diberikan oleh junjungan besar nabi Muhammad SWA.

Kereta yang dipandu terus meluncur laju ke destinasi yang hendak dituju.Akan tetapi Tapi hati ini entah sudah ada tempat tujunya atau belum.Hati yang kadang bersemangat untuk beribadah kepada Allah ,tapi hati ini juga tergelincir dan hanyut bila dilambung ujian duniawi.

“wahai tuhan yang mebolak-balikkan hati,tetapkanlah hatiku diatas ugamamu dan ketaatan kepadamu.”Doa dipohon mengharap bantuan dari yang memiliki hati yang lemah ini.

Jika dilihat pada permata asli ia adalah sesuatu yang amat bernilai dan mahal harganya. Ia adalah hasil tekanan yang tinggi dikenakan pada karbon. Tekanan yang tinggi itu akhirnya menghasilkan permata yang berkilau dan cantik.

Siapa yang tidak mahu memiliki permata? Seorang wanita pasti mengidamkan dirinya dihiasi oleh permata yang berkilauan. Seorang lelaki pasti bercita-cita menghadiahkan sebentuk permata kepada seseorang yang dikasihinya.

Dalam diri manusia juga terdapat satu benda yang nilaiannya seperti permata. Iaitu hati. Kerana seorang yang hatinya tenang, cekal dan kuat merupakan individu yang telah diuji melalui pelbagai ujian yang menekan sehingga hatinya berkilau umpama permata yang bergemerlapan.

Hati yang tenang ini adalah umpama permata yang berkilau dalam diri manusia. Ia bukan sahaja membahagiakan si pemiliknya, malahan orang lain juga akan kagum kepadannya.

Saidina Abu Bakar AsSiddiq adalah insan yang memiliki ketenangan yang tiada tolak bandingnya. Ketenangan dan ketulusan hatinya telah terbukti sepanjang hidupnya dengan Baginda junjungan saw. Beliau masih mampu bertenang di saat wafatnya Baginda saw malah berupaya untuk menenangkan orang lain agar menerima hakikat sesungguhnya Baginda saw telah pergi menemui Allah swt.

Hari ini ramai manusia telah kehilangan permata didalam dirinya. Manusia akhir zaman sudah kehilangan apa yang dinamakan ketenangan hati. Ketenangan hati ini adalah antara nikmat Allah swt yang diberikan kepada hambaNya yang soleh.

Seorang yang sakit bahagian badan akan merasa nikmatnya selepas sembuh dari sakit tersebut.

Seorang yang sakit gigi, nikmatnya adalah selepas gigi yang rosak itu dicabut atau ditampal.

HATI YANG MATI

Ramai manusia bergelar bilionaire. Bergelar jutawan. Bergelar pemimpin agung. Bergelar intelektual. Bergelar cendekiawan. Bergelar negarawan dan pelbagai lagi gelaran-gelaran duniawi. Tetapi berapa ramai yang mempunyai gelaran-gelaran ini mempunyai ketenangan hati?

Leslie Cheung, seorang artis yang sudah terkenal, mati bunuh diri. Bob Marley, juga mengakhiri hidup yang penuh populariti dengan kematian yang tragis. Mariah Carey, dilaporkan sudah beberapa kali mengunjungi klinik psikiatri. Maradona, hancur karier bola sepaknya kerana dadah. Hitler, juga mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri. Ini adalah sebahagian contoh kehidupan yang ramai diantara manusia kejar dan impikan. Populariti, kekayaan dan kuasa.

Cat Stevens atau Yusuf Islam, sebelum menerima hidayah dari Allah yang mana beliau menemui ketenangan, juga hidup dalam keadaan yang tertekan dengan ketagihan alkohol. Namun, dengan jiwa barunya, dihiasi dengan ketenangan iman, beliau telah memulakan hidup baru sebagai seorang pendakwah.

Mari kita fikirkan kembali adakah kita ini sudah memiliki permata itu? Sudahkah kita menjadi insan yang masih mampu tersenyum tatkala 1001 kesusahan melanda kehidupan diri kita?

Atau adakah kita ini masih tergolong didalam golongan yang dikurniakan populariti, kedudukan dan harta, tetapi masih berterusan hidup dalam tekanan?

Kita barangkali pernah melihat seseorang yang berkuasa dan kaya raya, mempunyai mahligai yang besar, tetapi sering menghabiskan masa malam mereka di kelab-kelab malam, memabukkan diri demi untuk mencari satu benda yang dinamakan ketenangan diri.

UBAT HATI

Allah berfirman,

"Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

Apakah yang dikatakan zikruLlah (mengingati Allah) itu? Tuan Guru Nik Ab Aziz mengatakan zikir terbaik itu adalah al-Quran. Maka berdampinglah dengan al-Quran kerana ia sudah pasti akan memberikan ketenangan jiwa.

Al-Quran yang dibaca, akan membawa ketenangan kepada pembacanya. Tetapi al-Quran yang diamalkan isinya, ia akan membawa ketenangan ke seluruh alam. Tetapi umat Islam sendiri hari ini tidak mengamalkan isi al-Quran menyebabkan umat Islam seluruhnya telah kehilangan ketenangan dalam hidup seharian.

Malah, ada banyak lagi cara untuk menenangkan hati. Prinsip asasnya mudah. Setiap sesuatu itu mesti menjurus ke arah mengingati Allah. Umpamanya melihat mentari yang bersinar,bintang yang berkelipan, , aliran sungai,tumbuhan menghijau langit yang biru, burung-burung berterbangan dan sebagainya yang mana itu semua menunjukkan kehebatan Allah swt.

Kaedah ini juga diguna pakai oleh ahli psikologi bagi memudahkan seseorang tidur. Dengan memberikan panduan agar mereka yang menderita imsonia itu melelapkan mata sambil membayangkan taman yang indah, ada rama-rama yang berterbangan, bunga-bunga yang menyegarkan kerana perkara-perkara yang menunjukkan kebesaran Allah itu semuanya menjurus kepada ketenangan hati.

Allah berfirman,

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati(dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau ke dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaKu. (al-Fajr, 27-30)

Manusia yang mempunyai jiwa yang tenang maka syurga adalah tempat mereka. Dan pra-syarat mereka yang ingin mempunyai jiwa yang tenang ini adalah iman serta amal soleh mereka.

Ketenangan hati inilah yang sudah tiada dalam kebanyakan manusia. Kita sering menyangka kekayaan, kuasa dan populariti itu lah yang bakal membahagiakan hidup kita didunia. Tetapi, jangankan akhirat, sejak didunia lagi, kekayaan dan kuasa itulah yang telah menghilangkan rasa bahagia kita sekiranya ia tidak didasari dengan dasar iman dan taqwa.

Maka ingatlah, seseorang yang telah dikurniakan hati yang tenang pasti menerima segala takdir baik dan buruk yang ditimpakan keatasnya, kerana mereka yakin dan percaya akan firman Allah,

"Oleh itu, maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada kemudahan dan sesungguhnya setiap kemudahan itu ada kesusahan." (al-Insyirah: 5-6)

Sayangilah permata anda.jangan biarkan ia dipenuhi titik hitam dosa kerana ia akan menjadi penghijab diri.


Read more...

ROMANTIK TAQWA

>> Tuesday, June 22, 2010



“Assalamualaikum ….” Jauh terdengar suara seseorang memberi salam.Saya menoleh kebelakang untuk melihat gerangan empunya salam.

“Waalaikumussalam wbth….ape kabar bang?”.Tangan dihulur kepadanya tanda hormat.Kaki saya sudahpun menyarungkan sepatu yang diletakkan di pintu belakang masjid.Dia adalah seorang kenalan dan juga penduduk taman yang berdekatan.

“Bila balik?lama tak jumpe..cuti ke sekarang?”.

“Aah ..sekarang cuti semester.Balik ni pun cuti panjang,tapi macam tak cuti..sibuk sana sini”.Tangan saya masih didalam genggamannya.

“sibuk ke sekarang?kalau tak sibuk nak cakap sekejap ”kaki yang tadi bersepatu,ditanggalkan semula.Kami duduk di tepi beranda masjid sambil mengambil angin petang lepas asar.Kadang terasa tenang bila berada dalam keadaan seperti itu.Dapat juga menghilangkan kerinduan pada suasana di Jordan.Maklumlah sudah menjadi penempatan ke dua selepas Malaysia tanah air tercinta,bumi barakah Jordan itu ibarat rumah kedua dan medan ilmu untuk mendidik dan melatih diri ini.

“Berapa lama balik?”

“ Tiga bulan ”.saya menjawab ringkas dalam senyuman.

“Tadi abang kata ade benda nak bincang,tentang apa ye ?? “.Saya memulakan bicara sambil membetulkan kedudukan dengan bersila.

“Nak mintak doa skit.”

“Doa apa tu ?”

“Doa untuk perlembutkan hati isteri”

Huh,saya tergelak kecil mendengar permintaan dari seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan 30 an itu.Pada tanggapan saya,mungkin dia baru sahaja mendirikan rumah tangga kerana sebelum saya berangkat meninggalkan rumah untuk kejordan,dia masih single.Terbias wajah keresahan di raut mukanya bersama keluhan berat.

Tanpa membuang masa,saya membacakan sepotong hadis sebelum memberikan doa seperti yang dipinta.Moga dengan berkat doa itu,terlerai sedikit masalah yang dihadapinya.Sengaja saya tidak bertanya dengan lebih mendalam tentang masalah yang dihadapinya.Risau takut akan mengguris dan membuatkan dirinya tidak senang.Cukup sekadar membantu dengan apa yang patut sahaja.Dari tafsiran luar dan raut mukanya saya dapat mengagak ada sesuatu yang melanda dalam dirinya.

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya (isterinya) dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku (isteriku)”
(Riwayat Ibnu Majah)

“Ada masalah dengan isteri kot”.Terdetik dalam hati kecil saya.Mungkin ada masalah dengan pasangan hidupnya.Biasalah,masalah yang mendewasakan dan mengajar erti sabar dan cekal dalam mengaharungi sebuah kehidupan.Tanpa dugaan , hidupterasa ‘tawar’.

RESAM BERUMAHTANGGA

“Adatlah tu ada clash antara suami isteri”.Saya berfikir sendirian.

Salah satu kaedah yang terbaik untuk kita selaku hamba adalah dengan memohon petunjuk dan bantuan dari Allah dalam segala masalah lebih lagi dalam soal menjaga masjid yang sedang dibina.Sikap dan cara perlu disesuaikan dengan si dia agar kehidupan seharian adalah hari-hari yang bahagia dan bukan hari yang merimaskan dek kerana serabut dengan cara dan sikap yang tidak serasi diantara satu sama lain.

Sebagai suami,mereka telah diletakkan satu tanggungjawab dan amanah yang besar untuk dipikul dengan sebaik mungkin.Meniti perjalanan berumahtangga memang memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran agar tidak tergelincir dari tujuan asal yang ditetapkan Allah iaitu mawaddah dan rahmah didalamnya.Jika masing-masing diantara suami mahupun isteri tiada kesefahaman dan toleransi yang sempurna,maka ianya akan membawa kepada keruntuhan rumah tangga malah lebih teruk lagi akan membawa kepada penceraian.’Nauzubillahiminzalikk’

“Ntah lah ,kadang-kadang tu rasa ‘tok cekak doh’(penat) untuk fikir masalah ini”.Dia mengadu sambil melontarkan pandangannya kearah padang masjid.

“Sabar dan cuba pulihkan keadaan.Ujian dalam berumahtangga biasa lah tu”.Saya cuba untuk menenangkan emosinya agar teguh kembali sebagai seorang lelaki.

Hanya itu yang saya mampu ucapkan kepadanya.Tidak layak rasanya untuk memberi motivasi yang matap dan bercakap panjang tentang soal berumahtangga.Pengalaman hidup pun belum cukup untuk dikongsi bersama yang lain,apatah lagi jika mahu bercakap dalam soal rumahtangga seperti ini.Walaupun dalam kecetekan ilmu yang ada dan pengalaman yang tidak seberapa,saya cuba juga untuk berkongsi pandangan bersamanya walaupun ia adalah sedikit berat untuk diceritakan.

“Cuba beli buku agama atau buku panduan rumah tangga.Tak pun,abang ni kurang romantik kot dengan isteri,kalau abang ada skill romantik mesti cair lah punye.”.Saya cuba berjenaka untuk mengelak sedikit kegugupan dalam diri.Terdengar suara tawa kami diberanda masjid Ar-rahman yang sedang dalam pembaikian itu.Agak lucu pula bila difikirkan balik dengan apa yang diucapkan.Entah macam mana gurauan itu boleh terkeluar dari mulut saya.Malu.

ROMEO YANG ROMANTIK

Bila berbicara soal romantik,kebanyakan masyarakat memandang persoalan ini dengan kaca mata masing-masing.Apakah yang dikatakan romantik hanya sekadar mengucapkan kata-kata cinta dan sayang,sedangkan perilakunya tidak menunjukkan bukti.Atau sekadar membelai dan sebagainya.Ada sesetengah dari suami sudah beranggapan ianya sudah memadai dengan hanya ungkapan dihujung bibir sahaja dan ada juga yang berfikir ianya adalah sikap yang berlebihan.Bukankah pernikahan adalah salah satunya untuk berkasih dan bermesra sesama suami dan isteri.Ianya tidak menjadi kesalahan kerana si dia(isteri) sudah menjadi yang halal untuk diri si suaminya.

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan kepada si suami bersikap romantik bahkan ianya dituntut walaupun pasangan itu sudah menjangkau ke alam nenek dan datuk sekalipun.Pernah sekali saya terjumpa , pasangan yang sudah lewat umurnya dan mungkin sudah mendapat title datuk dan nenek berjalan sambil berpegangan tangan .Umur tua mereka tidak menjadi penghalang untuk bermanja dan bermesra sebagai suami isteri.Susah senang dalam hidup dikongsi bersama.

Bersikap romantik adalah salah satu cara untuk membahagiakan pasangan masing-masing.Romantik adalah satu simpulan bahasa yang sejati menjadi warna kedamaian perjalanan sebuah keluarga SAMARA (sakinah,mawaddah,rahmah).Mencipta romantik bererti mengemudi semaksimun mungkin keluarga sebagai tempat menyenangkan bagi setiap penghuninya.

Hal itu dapat diikhtiarkan dengan komitmen yang penuh untuk menjaga cinta yang halal.Diantara caranya adalah selalu melakukan tindakan romantik yang dapat menyubur,menjaga cinta serta kasih sayang.Romantik merupakan ukuran atau tahap yang perlu ditonjol selari dengan komitmen yang dibangunkan dalam keluarga,yakni tanggungjawab kita untuk selalu tertib dalam mematuhi segala aturan Allah SWT.Inilah landasan prinsip keluarga dalam islam.Keluarga islam tidak hanya bebekal cinta yang berbuah romantik sahaja tetapi juga berbekal taqwa yang berbuah komitmen.

Contoh yang boleh kita ambil untuk menjadi teladan dan panduan dalam membina keluarga islam atau baitul muslim adalah melalui keperibadian seorang nabi iaitu Rasulallah SAW.Tidak hanya dalam perkara spiritual sahaja yang baginda tekankan, malah baginda adalah seorang pemimpin,ayah dan suami yang bersifat cekal dan romantik.Baginda mengayuh roda keluarga dengan bekalan iman,sabar,taqwa dan cinta.

Jika kita meneliti dan menelusuri sirah baginda dalam mendidik isterinya,beliau adalah seorang insan yang amat sempurna.Keintiman hubungan diantara para isterinya menjadi penghias dalam keluarga baginda.Dikisahkan pada suatu hari,isteri-isteri Rasulallah berkumpul dihadapan baginda.Salah seorang dari isteri baginda bertanya,

“Duhai rasulallah,di antara isteri-isterimu ini,siapakah yang paling disayangi olehmu ?”

Semua yang hadir terdiam.Menanti penuh harapan jawapan dari Rasulallah SAW.Hati mereka berdebar,khuatir jika bukan nama mereka yang disebut sebagai isteri yang paling dicintai oleh manusia pilihan itu.Perasaan kecewa mula membenih,resah menerpa bersama kekhuatiran.Perasaan lembut dan halus dari para ummul mukminin berubah menjadi sensitif dan perasaan itu muncul tanpa disedari.

Disisi mereka,suami yang dicintai mereka tidak langsung menjawab.Hanya senyuman kecil merekah di bibir sucinya itu.Kemudia ia berkata,

“Aku akan memberitahu jawapannya kepada kalian nanti”

Setelah itu,tanpa diketahui oleh isteri-isteri baginda,Rasulallah SAW memberi sebentuk cincin kepada setiap dari isterinya seraya berpesan agar tidak memberitahu kepada isteri-isteri yang lain.Selang beberapa ketika,isteri – isteri Rasulallah SAW berkumpul lagi dan mengajukan soalan yang sama.Rasulallah SAW dengan penuh bijaksana menjawab,

“yang aku paling sayangi adalah yang ku berikan cincin padanya”.

Semua isteri Rasulallah SAW tersipu malu.Semuanya tersenyum puas kerana menyangka hanya dirinya saja yang mendapat cincin dan merasakan bahawa dirinya tidak terasing.Begitulah cara seorang nabi menjaga hati dan mendidik para isterinya.Suami yang berhadapan dengan sifat cemburu dan kerenah isteri amatlah perlu mencontohi didikan yang ditunjukkan oleh baginda agar dapat mengawal dan membentuk sebuah keluarga yang didalamnya terdapat kasih sayang yang melimpah ruah.

Masih ada amalan-amalan lain yang boleh dilakukan untuk mendapatkan suasana romantik seperti yang dicontohkan oleh Rasulallah SAW.Beliau selalu berpegangan tangan dengan Aisyah r.a ketika didalam rumah.Baginda juga acap kali memotong kuku isterinya,mengajak isterinya besiar – siar ditaman untuk menambah kasih sayang diantara mereka.

Rasulallah SAW juga selalu memanggil isteri-isterinya dengan panggilan yang menyenangkan dan membuat hati mereka berbunga-bunga seperti humaira’(wahai pipi yang kemerah-merahan).Inilah contoh panggilan yang selalu diucapkan tatkala memanggil Aisyah r.a

Begitulah diantara sedikit contoh yang ditunjukkan oleh Rasulallah selaku suami yang perlu bersikap romantik dan memiliki sifat kasih sayang kepada seorang perempuan yang bergelar isteri.Jika diteladani dan dipraktikkan cara dan skill yang dibuat oleh baginda,saya yakin kebanyakan isteri akan menjadi seorang isteri yang solehah dan penyayang.

Terkadang golongan hawa khusunya isteri memang memerlukan belaian dan sentuhan manja oleh suaminya,tidak sama pula dengan sifat lelaki yang kasar dan gagah bak seorang panglima Melaka di zaman lampau.Rasullallah SAW adalah pemimpin ummah dan panglima di medan peperangan,tetapi baginda juga adalah seorang suami yang romantik dan penyayang kepada para isterinya bila berada dirumah.Dalam kegagahan jasmani ada kehalusan jiwa.Juga tidak boleh diabaikan didikan agama kepada isteri dan anak-anak agar keluarga yang dibina selari dengan kehendak syariat islam dan mampu mengasilkan ‘alfateh’ yang mampu menegakkan kembali kegemilangan islam.Oleh itu,berusahalah untuk menjadi suami yang terbaik agar mampu mendidik isteri yang solehah dan melahirkan pejuang agama.

Kearah membentuk para abi yang bijak mendidik dan bersifat romanTIKUS.Sayangi keluarga disitu bahagia.

Read more...

ILMU UNTUK SEMUA

>> Wednesday, June 9, 2010




Kini zaman sudah berubah. Manusia sudah mampu berfikir dengan baik, hinggakan pelbagai teknologi dan aneka produk terhasil. Semuanya adalah kerana manusia telah menguasai ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu pengetahuan, mungkin kita masih berada di arena Paleolitik, Neolitik ataupun purbakala.

Bercawat dan hidup secara nomad.

Dahulu ketika umat Islam terbelenggu Jahiliyyah, penguasaan terhadap ilmu pengetahuan terabai. Manusia tidak mementingkan ilmu, tetapi lebih cenderung mengamalkan budaya Hedonisme melampau. Bahkan sehingga menganggap wanita adalah pemuas nafsu semata-mata. Mereka dipijak, ditindas, malah langsung tidak dipandang oleh kaum lelaki.

Dewasa ini, manusia kembali mengulangi perkara yang sama. Istilah lebih tepat ialah golongan Jahiliyyah Moden. Lupakan agama (Faktanya, golongan Komunis mengamalkan cara hidup tidak mempercayai kewujudan Tuhan), pincanglah dunia. Ya, pincang segala-galanya.

Islam hadir membawa panji kegemilangan. Wanita Islam adalah seiring lelaki dalam proses menuntut ilmu. Mereka layak mengejar cita-cita dan ilmu pengetahuan tanpa perlu dihinakan. Pokok pangkalnya, sesiapa saja mampu memperolehi ilmu jika rajin berusaha ke arah itu.

Suka saya membawa pandangan Syeikh Athiah Saqar dalam kitabnya Fatawa Wa Ahkam Lil Mar’ah al-Muslimah berkenaan perspektif Islam dalam bab yang akan diperkatakan.



HAK WANITA KELUAR MENUNTUT ILMU

Apakah hukum suami menghalang isterinya daripada menuntut ilmu di Masjid atau majlis ilmu?

Jawab Syeikh Athaih Saqar, adalah wajib wanita itu keluar mencari ilmu. Sekiranya tidak berupaya memperolehi ilmu (dengan cara seperti sebelum ini), maka ia menjadi tanggungjawab suami dan walinya (jika belum berkahwin, wali sewajarnya memberi pendidikan terhadap anak perempuan). Sekiranya wanita itu keseorangan, dia boleh mempraktikkan kaedah lainnya seperti membaca buku-buku, mendengar radio (televisyen, internet dll).

Begitu juga semasa era nubuwwah, wanita-wanita Islam ketika itu keluar mencari ilmu dengan bersunguh-sungguh. Menurut riwayat sejarah, wanita-wanita itu sangat berkeinginan untuk menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW sendiri. Mereka menghadiri majlis ilmu yang khusus diadakan untuk para muslimah tanpa kehadiran lelaki.

Ummul mukminin – Saidatina A’isyah r.a memuji wanita-wanita dari kalangan kelompok Ansar kerana keinginan mereka yang tinggi untuk menuntut ilmu. Kata beliau:

Ya, wanita, wanita Ansar, malu tidak menghalang mereka daripada faqih dalam agama.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Iktibar daripada kata-kata ini ialah – dalam proses menuntut ilmu kita sewajarnya menghilangkan rasa malu berlebihan yang terbeban. Terkadang ada di kalangan wanita (termasuk lelaki) hari ini sedikit egois ketika berbicara soal menuntut ilmu. Sangkaannya umur adalah batas pembeza dalam menuntut ilmu.

Bahkan menganggap bahawa tidak patut mempelajari sesuatu dari kalangan generasi yang lebih muda. Rasa bagai tercalar maruah dengan status yang dimiliki. Sementalah beliau juga adalah dari golongan terpelajar, maka kuat lagilah egois yang berakar.

Lalu masalah ini dibiarkan terpendam sendiri, lebih rela jahil daripada mengikis rasa malu yang tak bertempat.


PENTINGNYA LELAKI BERILMU

Kenapa pentingnya seorang lelaki memiliki ilmu?

Telah berbicara ulama’ dalam masalah ini, bahawa sesungguhnya seorang lelaki WAJIB mengajarkan isterinya kadar ilmu agar lebih benar dalam beribadat kepada Jalla Wa’ala. Kejahilan seorang suami memungkinkan institusi keluarga menghampiri gaung neraka, nauzubillahhi minzalik.

“Macammana saya nak solat, mak ayah pun tak pernah solat. Saya tak pandai ambil wudhuk.” Kata seorang kanak-kanak berterus terang. Saya pernah mendengar pengakuan ini dan ianya adalah realiti!

Seandainya seorang suami merasa dirinya tak berilmu, maka wajib lelaki itu membenarkan isterinya supaya keluar menuntut ilmu ke tempat-tempat majlis ilmu yang diperakui kesahihannya. Tidak harus suami menghalang isterinya mendapatkan secebis mutiara ilmu.

Alangkah romantiknya jika si suami turut bersama-sama berpimpin tangan ke majlis sebegitu sekerap mungkin. Malah mungkin lebih romantik jika suami sendiri yang mengajar isterinya menuju ke syurga dan selalu duduk di taman-taman syurga. Pasti mahligai bahagia berpanjangan selama-lamanya. Insha’Allah.

Justeru, mari sama-sama menghidu bau taman syurga sepuas mungkin!

___________________________

p/s :Niatkan segala perbuatan yang dilakukan ikhlas semata mata kerana Allah sekalipun ia adalah rutin harian.Membaca adalah salah satu perbuatan dan rutin bagi pelajar yang menempuh peperiksaan, tetapi bila membaca dan disertakan dengan niat dihati yang ikhlas kerana Allah taala, ianya akan membuahkan hasil yang lebih lumayan untuk dituai nanti.Kerana disitu terdapat hikmah KEBERKATAN.

[ Moga Allah kurniakan kekuatan untuk terus mendalami ilmu dan menempuh peperiksaan kepada sahabat yang masih berbaki lagi peperiksaannya.Ameen ]

Read more...

MENDIDIK IMAN

>> Friday, June 4, 2010



“Iman kita terkadang berkurang dan terkadang bertambah.” Kata seorang penceramah.

Ya, tanpa Iman, bakal menatijahkan kekufuran dan lemahnya Iman bakal menjerumuskan kepada kemaksiatan.

“Jadi, ayuhlah menguatkan keimanan kita sebagai benteng maksiat.” Cadang seorang penulis pula.

Ramai yang tahu berkata, “Mari kembali membina Iman.” Tetapi bagaimanakah cara terbaik menguatkan Iman? Apakah itu Iman?

MAKNA IMAN

Sebelum kita pergi lebih jauh untuk tahu cara membina Iman, adalah lebih baik untuk kita tahu pengertian Iman terlebih dahulu. Barulah mudah cinta berbunga setelah saling kenal dan mengerti.

Iman menurut bahasa ia bermaksud tasdiq, iaitu membenarkan. Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah Yusof ayat 17:

“Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar.”

Manakala menurut istilah pula ialah; membenarkan dengan hati sebulat-bulatnya pada setiap yang dibawa oleh Nabi SAW dengan ilmu yang dibawa datang bersama darurat. Ataupun iaitu; pembenaran bulat oleh qalbu (hati), yang dapat diterima (dibenarkan) oleh akal.

Qalbu di dalam bahasa arab punya pengertian yang pelbagai. Adakalanya bila ia digunakan dengan makna wijdan (membawa maksud hati dan perasaan) dan adakalanya bermakna aqlu (akal fikiran).

HAKIKAT IMAN

Iman. Suatu perkataan mudah disebut, tetapi pengertiannya lebih besar dari segala isi alam. Kerana Iman itu letaknya di dalam hati para Khalifah Allah SWT di muka bumi ini, bukan letaknya pada haiwan ataupun alam cakerawala bimasakti.

Rukun Iman yang selalu kita lafaz dan ulang-ulangkan itu bukanlah sekadar meniti di bibir sahaja, tetapi hakikatnya lebih daripada itu. Kefahaman mengenai rukun Iman yang wajib kita fahami pada asasnya terbahagi kepada 6:

1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
4. Percaya kepada Kitab-Kitab
5. Percaya kepada Hari Akhirat
6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Setiap muslim yang mengakui beriman, wajib menyatakan keyakinan 100 % tanpa wujud keraguan walaupun 1 % yakni kiraannya menjadi 99.9%. Jika keimanan dibaluti keraguan, maka ia mencetuskan kegoyahan dan boleh menyebabkan tergelincir akidah seseorang individu muslim.

Begitu juga dalam masalah ikut-ikutan, atau dalam istilah arabnya dipanggil taqlid (mengikut). Iman tidak boleh disandarkan pada taqlid kepada orang lain. Secara jelasnya, ia wajib subur di dalam sanubari sendiri. Justeru, masalah keimanan ini bukanlah masalah yang boleh diperselisihkan antara satu sama lain. Kerana itu kita sebagai seorang individu muslim yang faham hakikat Iman, akan sedaya-upaya membina Iman atas keyakinan sendiri tanpa ikut-ikutan.

Di sebabkan kerana Iman itu berdasarkan kepada kepercayaan di dalam benak individu muslim, maka wajib ke atasnya menggali aqidahnya sendiri. Lalu ia hendaklah memahami dalil-dalil yang digunakan bersama cara untuk mempraktikkannya sehingga menghasilkan natijah yang diinginkan. Inilah kewajipan yang pertama bagi setiap muslim yang mukallaf untuk dilakukan.

Itulah yang dinamakan aqidah. Kerana aqidah itu adanya Iman, dan Iman itu ada pada aqidah.

Imam Syafie’ berkata: “Ketahuilah bahawa kewajipan yang pertama bagi seorang mukallaf adalah berfikir dan mencari dalil untuk ma’rifat kepada Allah SWT. Erti berfikir adalah melakukan penalaran dan perenungan qalbu. Dalam keadaan orang yang berfikir tersebut dituntut untuk ma’rifat kepada Allah SWT. Dengan cara seperti itu, ia dapat mencapai ma’rifat kepada hal-hal yang ghaib dari pengamatannya dengan indera dan ini merupakan suatu kewajipan. Hal ini seperti merupakan kewajipan dalam bidang usuluddin.”

Adapun dalil serta petunjuk yang digunakan untuk menghasilkan keyakinan secara menyeluruh 100% itu terbahagi kepada dua jenis:

1. Dalil Aqli, iaitu bukti yang digunapakai akal untuk mencapai kebenaran yang pasti terhadap rukun aqidah (rukun Iman yang enam).

2. Dalil Naqli, iaitu suatu informasi yang qath’ei (tetap, sabit) digunakan untuk memberitahu kepada kita mengenai rukun aqidah ataupun rukun Iman.

Harus diingat, dalil aqli yang digunakan untuk membina Iman ini ianya mengandungi empat komponen utama akal barulah jelas natijahnya kelak. Empat komponen akal itu ialah:
1. Realiti yang dapat diinderakan. (Iaitu dorongan naluri atau keperluan jasmani yang ada dalam diri manusia)

2. Adanya penginderaan. (Merasakan apa yang diperlukan oleh naluri dan keperluan jasmani)

3. Otak yang sihat. (Kerana orang gila tidak mampu menerbitkan natijah pemikiran yang jernih)

4. Maklumat awal mengenai realiti yang telah diindera. (Maklumat tentang hukum syara’, tentang nilai yang ditetapkan Allah ke atas masing-masing – perbuatan yang hendak diwujudkan oleh tiap muslim, tentang metod berkenaan bagaimana perbuatan-perbuatan tersebut diwujudkan)

CARA MEMBINA KEIMANAN

Banyak cara membina Iman, salah satunya yang ingin saya sebutkan di sini adalah salah satu cara membina Iman untuk menguatkan keyakinan kita kepada Azza Wajalla - yang terangkum kepada keimanan tahap pertama yakni ‘Percaya Kepada ALLAH’. Bagaimana?

Berfikir menggunakan akal serta berlandaskan nas dan dalil naqli tentang bukti wujudnya Allah Ta’ala.

Misalnya kita boleh merenung dan mengkaji bagaimana diri kita, yakni manusia terjadi. Proses pembentukan ini boleh dilihat pada halaman surah al-Mukminun ayat 14, az-Zumar ayat 6, al-Alaq ayat 1-3, al-Insan ayat 2 dan beberapa surah lain yang termaktub di dalam Kalamullah.

Mari kita lihat, bagaimana percantuman kromoson di dalam sel yang berjumlah 23+23 = 46 kromosom yang terkandung di dalam sperma lelaki dan sel telur wanita ketika berlakunya proses pembentukan. Seandainya jumlah kromosom sel itu berkurang, maka proses pembentukan itu pasti tidak akan terhasil. Timbul persoalan di sini, siapakah yang menetapkan bilangan tersebut menjadi 46 kromosom? Adakah ianya bermula dari sperma lelaki atau sel telur wanita?

Sudah pasti tidak. Jadi siapakah yang menciptanya? Apakah ada manusia lain yang berusaha menciptanya? Sudah tentu mustahil. Maka di sinilah yang patut kita semua renungi dan fikirkan sebaik mungkin – sesungguhnya Allahlah Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana menciptakan sel-sel manusia itu sehingga melahirkan individu manusia lain.

Berfikir dengan cara beginilah ianya mampu membina Iman yang mantap tanpa tergugat. Kerana itu ayat-ayat Allah SWT banyak menyarankan kepada kita supaya merenung secara hikmah tentang kejadian manusia, alam dan kehidupan semesta ini. Tujuannya adalah tidak lain tidak bukan untuk membuktikan keesaan Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:

“Maka hendaklah manusia merenungkan tentang dari apa ia ciptakan.” (At-Thariq: 5)
Sesungguhnya, adalah teramat banyak contoh alam ini yang boleh kita kaji dan renungi untuk membina Iman pada setiap saat dan detik. Allah SWT berfiman lagi:

“Apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan, dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan dan kepada gunung, bagaimana ia dihamparkan.” (Al-Ghasyisyah: 17-19)

Oleh itu, sebelum kita memperkatakan tetang Iman, mari fahami dahulu apa itu Iman sebenar-benarnya. Setelah kenal siapa Iman, barulah mudah untuk menguntum cinta, menyulam rasa serta membina keterikatan Iman.
________________________________

p/s :kepada para sahabat yang sedang atau yang akan menempuh peperiksaan,maka anda perlulah meningkatkan lagi keimanan kepada Allah agar mampu merasakan bahawa segala kejayaan yang dicapai itu bukanlah hasil usaha dan keupayaan kita dalam menghasilnya bahkan itu adalah dari ketentuan Allah kerana tiada suatu kejayaan yang dicapai melainkan dengan izin dan kehendak dariNYA.

[ Selamat maju jaya untuk peperiksaan dan juga mendidik keimanan. ]

Read more...

UKHWAH YANG TERHALANG



Saya baru sahaja memperbaharui iqamah (visa) setelah beberapa bulan seperti pendatang haram ke sana ke mari. Namun tetap tersenyum.

“Anta boleh datang tak besok jumpa dengan Ahmad azam tanyakan pasal dokumen muafaqah ana?.” Seorang sahabat menelefon saya untuk meminta bantuan supaya berjumpa dengan pegawai yang menguruskan hal ehwal iqamah para pelajar di universiti kami.

Jauh dari sudut hati, saya kasihankan para sahabat yang sudah berulang alik ke pejabat bahagian hal ehwal pengurusan iqamah untuk mendapatkan keputusan dan makluman tentang iqamah masing-masing.

”Jika tak paksa dan tekan..dia tak buat kerja azfar.Maafkan ana sebab susahkan anta,Cuma Allah sahaja yang dapat membalas jasa anta atas bantuan ini”.Ucapan terima kasih dihulurkan bersama dengan doa ikhlas darinya.Cukuplah bagi saya jika urusan ini dapat diselsaikan dengan secepat mungkin kerana jika terlambat,selagi itulah ia akan membahayakan para pelajar yang tiada sebarang pengenalan diri yang terjamin.

Mujurlah urusan pada hari itu agak mudah berbanding sebelum ini. Berkat surah Al-Ikhlas barangkali.

“Bacalah surah Al-Ikhlas bila berdepan kesukaran.” Pesan abah sewaktu ketika dahulu masih lagi kekal dalam ingatan saya bila mengadu masalah kepadanya .

Saya kehairanan dan tertanya-tanya mengapa berlaku keterlambatan dan kelihatan amat sukar bagi kebanyakan pelajar antarabangsa mendapat visa sehingga perlu melalui beberapa proses penapisan. Permasalahan ini sudah pun dibawa ke peringkat atasan, namun tindakan drastik tidak mampu terlaksana lagi oleh pihak universiti.

Usai sessi perbincangan bersama pegawai tersebut persis dua anak muda yang saling bertikam lidah, saya keluar dari pejabatnya lalu beransur pulang ke rumah.Malas untuk melihat mukanya yang sudah berkali diingatkan supaya menyelsaikan masalah ini dengan secepat yang mungkin,tapi masih lagi seperti tiada tindakan seolah-olah melaksanakan kerja secara sambil lewa sahaja.Itu yang membuatkan kebanyakan para pelajar sudah menyampah dengannya.

Setelah mendapat muafaqah(surat kebenarah mendapat iqamah tahunan),saya termasuk kawan yang lain terus menyiapkan urusan dengan seberapa segera untuk mendapatkan kad iqamah yang baru.Jika dilambatkan,maka selagi itulah saya mendapat status pendatang tanpa izin di Jordan ini kerana tiada pengenalan dan kebenaran diri untuk menetap di Jordan sebagai seorang pelajar.Walaupun begitu masih mampu berjalan dengan tenang walaupun tiada iqamah berbekalkan tawakkal dan doa selama enam bulan lamanya.Syukur atas perlindungan dari pemilik seluruh alam ini.

“Ape kata lepas kita settle urusan iqamah,kita terus pegi jumpa relawan misi Lifeline4Gaza tu nak tak?diaorang stay kat hotel Sheraton kan tak silap ana lepas duta pergi ambik kat border semalam?Pihak kedutaan izinkan ke tak syahrul?”.Tanya saya kepada seorang sahabat yang tika itu berada disebelah tempat duduk saya sebagai pemandu.Bercadang mahu sahaja untuk berjumpa dengan group relawan yang bersifat berani dan memiliki hati mulia ini.Selepas dibebaskan dari tahanan tentera Israel,mereka dibebaskan melalui sempadan dan diletakkan disalah sebuah hotel mewah di ibu kota Amman.

“Emm mungkin boleh je kot,tadi ana ada call abang Azmir,dia kata pihak MSD sedang tunggu jawapan dari Wisma putra samada mengizinkan ataupun tidak untuk pelajar bertemu dengan mereka ”.Terang ustaz syahrul yang merupakan Presiden bagi pelajar Malaysia sejordan(MPPM).Amat bertuah sekali kalau dapat berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan mereka semua.

“Sampai hati mereka serang kapal yang bawa bantuan kat rakyat palestin..Laknat sungguh Israel ni !! .Dunia hanya tengok sahaja tanpa buat bantuan.” Terdengar suara seorang sahabat yang duduk di bahagian kerusi belakang.Suaranya berbaur benci dan marah yang teramat.

“Kita nak buat macam mana.Memang perjanjiannya begitu.Jika sekiranya ada negara yang membantu rakyat palestin,maka negara tersebut akan diugut dan mungkin akan diserang oleh Israel.Sebab tu kebanyakan negara diam dan takut padahal Israel tu bukanlah kuat sangat”.Terang seorang sahabat.

“Walau negara islam lebih ramai bilangan penduduk dan kawasannya,tapi ia hanya sekadar sebuah negara yang bernama islam.Bukan negara yang mendaulatkan islam.Bila berlaku kekacauan macam ni,semua terdiam sebab takut dengan Israel”.Seorang sahabat lain turut menambah.

Begitulah bila sesama negara islam bersikap pentingkan diri sendiri.Masalah saudara seakidah tidak dianggap sebagai masalah bersama.Palestina akan selamanya dijajah oleh Israel laknatullah jika penyakit selfish berterusan dalam umat ini yang satu ketika dahulu pernah menggongcangkan seluruh dunia.Kebanyakan negara islam dipecahkan mengikut kehendak kuffar dengan membahagikan dan mengsyaratkan undang-undang yang dibuat demi menghancurkan kesepaduan islam.

Peluang untuk sesama islam berukhwah dan mencari tempat perlindungan bila diserang oleh musuh juga disempitkan dan disusahkan dengan syarat yang dibuat seperti visa,passport,sempadan negara dan berbagai lagi sedangkan sesama mereka itu adalah memegang dasar kalimah yang satu iaitu ‘ lailahaillah’.Seperti contoh antara sempadan mesir dan palestin yang memang jelas kelihatan sifat pentingkan negara sedangkan dalam islam tiada wujud istilah sempadan antara sesama islam walaupun mesir itu adalah negara islam.

Saya terus menumpukan pemanduan sambil berlegar sesuatu di kepala yang sekian lama sudah menjadi impian diri.syahid !

“Alangkah beruntungnya diriku kalau dapat syahid di palestin sana”.Saya Bermonolog sendirian dengan harapan yang menggunung tinggi dalam hati.

Kereta kami terus meluncur laju merentasi jalan yang sibuk dengan kenderaan dan lalu lintas yang sedikit sesak.

Kaitan Visa, Passport dan Negara Bangsa

Pernahkah kita merenung sejenak bagaimana mudahnya jika negara-negara umat Islam bersatu padu menjadi sebuah empayar besar seperti era khulafa Ar-Rasyidin, Abbasiyyah, Umaiyyah, Andalusia, Uthmaniyyah?

Mudahnya urusan ulama’-ulama’ terdahulu, cendiakawan Islam, pemimpin umat, pemikir akademik, pengembara, penuntut ilmu berhubung dan merentas benua Islam tanpa sekatan dan tanpa karenah birokrasi yang menyusahkan.

Lihatlah bagaimana Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim At-Tanji atau nama gelarannya Ibnu Batutah seorang pengembara hebat belayar ke hampir ke seluruh benua Islam tanpa perlu urusan cop passport visa dan soal siasat yang merumitkan. Pengembaraannya mengelilingi dunia itu mencapai 73 ribu mil atau sejauh 117 ribu kilometer. Begitu juga perantau ilmu selaku pengasas mazhab Imam Syafei yang merantau ke Iraq, Syiria, Mesir tanpa kekangan pemerintah.

Kini segalanya berubah semenjak bermulanya era penjajahan kolonis barat ke atas negara-negara Islam. Akhirnya mereka berjaya memecah belahkan Negara umat Islam menjadi kecil dan bersempadan. Lalu semangat nasionalisme dan patriotisme dihembuskan ke ulu hati membeku berkarat sehingga kini.

Negara lebih utama dari Agama. Itu dasarnya. Maka berkembang mekarlah bunga-bunga assobiyyah meranapkan perpaduan Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW.

Runtuhnya empayar Khilafah Turki Uthmaniyyah bila mana kerajaan British bersama agennya Mustafa Kamal Attarturk Laknatullah telah menyuntik jarum assobiyyah di kalangan warga turki dan arab sehingga berantakan pemikiran.

Kenapa Rasulullah SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj? Muhajirin dan Ansar? Parsi dan Arab? Kulit putih dan hitam? Adakah atas dasar bangsa, puak, kaum atau kepentingan peribadi?
Firman Allah SWT:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali-Imran: 103)

Lihatlah juga kesannya kini. Bila persempadanan wujud, visa dan passport menjadi wasilah yang menyukarkan. Tiada passport anda pasti menjadi manusia yang ‘haram’ biarpun bersaudara agamanya.

Cuba renung petikan statement dibawah.

Perdana Menteri Britain berketurunan Yahudi, Benjamin Disraeli pernah mengatakan dalam satu sidang House of Commons, “Kaum Muslimin tak akan dapat dikalahkan sampai bila-bila sehingga ini dicabut dari mereka”, sambil jarinya menunjuk kepada Al-Quran.


______________________________

p/s: [ Walaupun impian pertama saya mustahil untuk dijadikan realiti dalam kehidupan yang sementara ini,akan tetapi impian kedua saya masih lagi terbuka luas dihadapan sana kerana dengan terlaksananya impian kedua ini secara langsung terlaksanalah juga impian pertama itu.Moga Allah kabulkan impian para hambanya kerana Dialah yang maha pemurah.Ameen. ]

Read more...

SOLEH DAN SOLEHAH

>> Tuesday, June 1, 2010




“betul azfar,mak angkat ana tu sungguh-sungguh suruh carikan syabab untuk jadikan menantu.Dia kata tak kesah siapa pun bakal menantu asalkan soleh yang penting dan dapat jaga anak dia disini.

“Owh,anak dia akan datang belajar kat Jordan ke ?”saya bertanya mendapat kepastian.

“Aah,ayah dan mak dia suruh kahwin dulu sebelum datang ke sini.Ana kenal pak cik tu masa kebetulan terserempak dia kat satu masjid di shah alam.”

"Oo0..eh,anta semangat cerita kat ana benda ni dari tadi kenapa?”

“Alaa anta ni..buat-buat tak faham plak” Terukir senyuman seribu maksud di bibir kawan saya itu.keningnya digerakkan sedikit menambahkan lagi kebingungan pada saya.

Pelik dan ajaib.Itu sahaja yang saya mampu fikirkan ketika mendapat panggilan dari sahabat saya ini untuk berjumpa.Mahu bincang benda besar katanya sampai perlu buat satu temujanji khas pula.Besar manalah agaknya benda yang hendak dibincangkan itu saya pun kurang pasti.

Setelah dia menceritakan secara mendalam tentang perkara penting yang dikatakan,barulah saya faham dan jelas.Rupanya dia sedang mencari seorang putera untuk dijadikan suami kepada si puteri iaitu anak kepada ayah angkatnya di Malaysia.

Saya tanyakan kembali mengenai spesifik soalan yang ditujukan.

“Mak ayah dia nak yang jenis yang macam mana?” Soal saya sekadar bertanya.

“Soleh dan beriman.Boleh bimbing anak dia.tak berharta takpe,asal bertaqwa.Ini sahaja syarat mak dia azfar.Pasal kewangan semua ditanggung beres.Maklumlah orang berada,tentang kewangan bukan menjadi masalah.”Jawabnya dengan bersungguh.

"0o0..nanti ana cuba bantu masalah anta ini ya.Ramai lagi lelaki yang soleh diluar sana yang mungkin lebih sesuai untuk dipadankan dengan anak mak angkat anta yang baik hati seperti ini".Saya cuba menghulurkan bantuan sekadar yang termampu kepadanya.


PUTERA IDAMAN MEMBAWA KE SYURGA

Tiada manusia yang baik-baik di dunia ini mahu menyangkal keinginannya untuk mendiami syurga. Jika ada, barangkali ia mengalami sedikit masalah berkaitan mental, dan perlu diluruskan semula. Begitu juga kalau kita tanyakan pada golongan non-muslim, sudah pasti jawapan mereka, “Ya, menginginkan syurga.”

Kalangan para membikin filem barat juga sering menggambarkan keindahan syurga melalui imaginasi keliru mereka mengenai syurga. Bahkan digambarkan bahawa syurga itu berlatarbelakangkan warna putih, indah, istananya bergemerlap dengan intan, permata, berlian dan pelbagai gambaran akal lain.

Itu gambaran akal manusia. Hakikat sebenar kita tidak mengetahuinya. Cukuplah ayat-ayat Allah SWT dan hadis Baginda SAW menggambarkannya. Lalu, letakkan keyakinan pada dasar utama persis Saidina Abu Bakr yang membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Keyakinan itulah dinamakan tasdiq (membenarkan). Bila ada matlamat, pasti ada jalan menuju ke sana.

Antaranya ialah bersama putera idaman di dunia yakni suami soleh. Apakah putera idaman itu ialah si katak yang berubah menjadi manusia? Atau putera di dalam hikayat masyarakat barat? Ataukah anak raja dari kayangan?

Tidak. Itu semua adalah kisah dongengan untuk memutarkan pemikiran anak gadis Islam, khususnya muslimah. Digambarkan putera itu sebagai golongan bangsawan, punya harta melimpah ruah, memiliki wajah tampan bermata biru dan berdada bidang tegap perkasa.

Lalu kisah itu diadaptasikan pula ke layar perak masyarakat melayu, dan pengarah-pengarah tempatan mengembangkan idea sebegini di dalam filem sendiri. Walhasil, lahirlah putera melayu pula – memiliki kereta mewah, pekerjaan besar, kacak dan lengkap segalanya adalah menjadi pilihan utama.

Bukan saja anak gadis tergedik mengimpikannya, malah ibu bapa penjaga turut meletakkan syarat yang sama.

“Siapa kau mahu melamar anak gadis kami wahai pemuda?!” Jerkah si bapa sambil melayang-layangkan golok tajam berkilat.

Si pemuda cuak, lututnya bergetar kehilangan punca. Jawapan yang disediakan sebelum bertemu kedua ibu bapa penjaga anak gadis hilang entah kemana. Hanya kakinya saja siap terjun jendela rumah tanpa sempat menyarung sepatu!

“Kalau kau tak punya wang, jangan mimpi mahu jejakkan kaki ke rumah ini, berambus kau dari sini!” Si ibunya tak lepas meningking pemuda itu. Lalu, ia pulang dengan kehampaan, kekecewaan akibat penangan permintaan material yang menggunung tinggi.

Ibu bapa anak gadis tidak lagi memikirkan kesenangan anaknya pada kelurusan mengamalkan agama. Doa qunut, rukun solat, hal ehwal ibadat, akhlaq bukan lagi menjadi pilihan. Pada hematnya, fulus adalah segala-galanya. Membawa ke syurga atau neraka, itu dikesampingkan dan ditendang ke tepi.


KRITERIA YANG DI TETAPKAN SYARA’

Pemuda Soleh Taat Beragama

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis:

“Apabila orang yang kamu redhai agama dan akhlaqnya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Jika kamu tidak mengahwinkannya nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan besar di atas muka bumi.” (Riwayat Tirmizi)

Untuk lebih memahami hadis ini, saya bawakan satu contoh mudah. Seorang pemimpin yang zalim dan terkenal melakukan ketidakadilan kepada rakyatnya, apakah wajar dijadikan pemimpin? Sudah tentu manusia yang murni akalnya akan menyanggah pemilihannya, kerana dibimbangi berlaku mudharat dan fitnah kepada umum.

Begitu juga dalam hal ehwal rumah tangga. Pemimpin yang dicari seharusnya memiliki kriteria utama sebagai yang disebutkan di dalam hadis. Ingatlah wahai anak gadis, jangan ditolak lamaran sebegitu. Mudharatnya lebih besar akan berlaku, bahkan mungkin tidak sempat mencium wangian syurga. Nauzubillahi minzalik.


Bukan Dari Kalangan Non-Muslim

Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan Yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki Yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan Dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah: 221)

Wanita Islam tidak diharuskan berkahwin dengan lelaki bukan Islam walau apa jua jenis agama anutannya. Ini termasuklah agama dari langit lain seperti yahudi dan nasrani kerana agama itu telah sesat dan menyeleweng. Hakikatnya, seorang lelaki adalah berhak ke atas isterinya. Maka, apakah natijah yang akan berlaku sekiranya suami bukan Islam itu memimpin wanita muslimah?

Walhal orang bukan Islam tidak berhak menguasai orang Islam. Bahkan lelaki musyrik itu tidak ada jaminan yang kukuh untuk menjaga wanita muslimah kerana dia sendiri tidak mengimani ajaran Islam. Firman Allah SWT:

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang Yang beriman.” (An-Nisa’: 141)

Bercakap soal begini, saya teringat suatu kisah yang diberitahu rakan suatu ketika dahulu. Katanya, seorang gadis melayu muslim telah menukar agamanya kepada kristian kerana menyintai seorang pemuda kafir. Lalu mereka berkahwin dan kini menetap di Amerika Syarikat. Hal ini dibuktikan lagi setelah saya melihat sendiri hasil tulisan blog perempuan itu bersama suaminya. la haula wala quwwata illa billah!

Allahu Rabbi, menggeleng kepala kekecewaan dibuatnya.

Beginilah natijah yang berlaku jika sekiranya benda material diletakkan dihadapan dan dijadikan sebagai ukuran berbanding dengan agama dan akhlak diri.Material yang melimpah tidak boleh melahirkan iman yang menggunung tetapi bila memiliki iman yang tinggi mampu untuk menghasilkan material yang bergudang-gudang pula kerana disitu terdapat maksud keberkatan.Begitu juga dalam memilih pasangan hidup.Yang soleh dan solehah mampu untuk melahirkan ganerasi yang soleh,tetapi jika sebaliknya pula amatlah sukar untuk melahirkan keturunan seperti ini.Jika ianya ada mungkin kebarangkaliannya agaklah tipis.

Bagi kaum lelaki jangan rupa kecantikan menjadi nilaian dan bagi perempuan ketampanan itu bukanlah ukuran semata kepada sebuah cinta dan ikatan.Lihatlah dari sudut yang lebih penting agar bahtera yang akan berlayar itu dikemudi oleh seorang kelasi dan pembantunya yang cekap hingga sampai ke destinasi yang dituju.

Justeru, bersediakah wahai putera dan puteri untuk membuat pilihan bagi menerima bakal pendamping idaman hingga ke syurga? Kalian berhak membuat pilihan tepat.

Undi anda adalah rahsia.

Read more...

HIDUPLAH SEPERTI LALANG

>> Wednesday, May 19, 2010



Kami berjalan seiringan melewati kedai di tengah pekan pada petang itu.Apabila sampai di sebuah restoren,kami semua melangkah masuk kedalamnya.Restoren yang menjadi tumpuan orang ramai itu juga menjadi pilihan kami untuk menghilangkan rasa penat setelah mengangkat barang dan membantu salah seorang sahabat mengemas rumah barunya.Maklumlah bakal mendirikan masjid tidak lama lagi,pengantin baru la katakan,jadi rumah pun kena cari yang baru juga.

“Nanti bila anta dah kahwin susah la nak gelak dengan anta macam selalu..Dah la rumah jauh dari kita orang..kami semua ni jangan dilupa ya !.”Usik seorang sahabat ketika sedang menunggu makanan yang ditempah.

Bermacam usikan yang sengaja dikenakan kepada sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.Kalau tidak ada arah melintang,Insyaallah bulan tujuh ini akan diadakan majlis perkahwinannya.Kelihatan terpancar seri bahagia diwajahnya.

Saya hanya mendiamkan diri dan mendengar sahaja usikan dari mereka.Kesian pula saya melihat kepadanya.Dari rumah barunya sampailah ke restoren ini,sahabat yang lain tidak puas mengusik beliau.Saya dari tadi yang hanya menahan diri untuk tidak turut sama mengusik akhirnya tergelak juga kerana tidak tahan dengan gurauan dari para sahabat yang lain.Kelihatan ada beberapa pemuda arab yang memandang kami bertujuh yang sedang berkumpul dan leka bersembang rancak.

Saya duduk diatas kerusi sambil melihat menu yang dilekatkan ke dinding restoren tersebut.Terdapat banyak makanan yang nampak pada gambarnya lazat sekali,tapi ianya tidak dapat menandingi roti canai dan keropok lekor yang terdapat di Malaysia.

“Sedap sekalipun makanan tu,sedap lagi keropok lekor panas”.Saya berceloteh sendirian sambil melihat gambar makanan tersebut.Tidak sabar pula rasanya untuk pulang ke tanah air tercinta.Mungkin ada sesuatu perkara yang membuatkan rasa tidak sabar ini semakin hari semakin kuat dirasa.Hanya ‘DIA’ sahaja yang tahu.Oh Malaysia negaraku.

Dalam kebanyakan menu yang tergantung itu,ada satu gambar hidangan yang menarik perhatian saya.Kelihatan sebuah hidangan yang diletakkan dalam pinggan dan dikelilingi oleh batang gandum dan sedikit lalang menghijau.Sengaja dibuat gambar seperti itu bagi kelihatan lebih menarik dan membuka selera untuk orang membelinya.

Agak lama juga saya memandang gambar tersebut.Bukan makanan itu yang ditatap tapi tumbuhan yang menjadi penghiasnya iaitu lalang.Kenapa lalang juga yang dipilih sedangkan banyak lagi bunga dan tumbuhan yang lebih cantik berbanding darinya.Saya sedang cuba untuk mentafsirkan keunikan dan kelebihan yang ada pada tumbuhan yang dipanggil lalang ini sendirian.


Apabila kita menyentuh sifat jati diri, lazimnya sifat tersebut dibandingkan dengan lalang, iaitu sejenis tumbuhan yang hidup di merata tempat. “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Kita perlu memiliki jati diri yang tidak mudah melentuk umpama lalang!”, demikian perumpamaan dan pesanan yang selalu diberi oleh kebanyakan orang kita.Agar kita lebih memahami bagaimana sifat jati diri boleh diumpamakan atau dicontohi dengan merujuk kepada lalang,

Jangan dipandang lalang itu adalah sejenis tumbuhan yang selalu dikaitan dengan perkara atau benda yang tidak baik sahaja.Marilah kita melihat lalang dari sudut prespektif yang positif pula.Lima sifat lalang yang begitu terserlah yang jarang manusia sedari.Mungkin di antara kita ada yang tidak menyedari atau terlepas pandang sifat yang ada pada tumbuhan yang Allah ciptakan ini.

Lalang biasanya dikaitkan dengan sikap manusia yang tidak teguh pada prinsip dan pegangan hidup.Sentiasa berubah dan bertukar arah bila ada faktor luaran yang datang memberi kesan pada diri.Tapi lalang juga berhak untuk ditamsilkan sebagai satu contoh pegangan dan prinsip yang utuh kepada manusia yang sebenarnya merekalah yang lebih teruk dari lalang yang mereka selalu katakan itu.Lalang pula menjadi mangsa penilaian manusia sedangkan merekalah yang sepatutnya mencontohi si lalang ini.

Akuilah wahai manusia !!


Lalang Tetap Kukuh Pada Dasarnya.

Benar bahawa lalang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Namun perhatikan betapa kuat sekali pun angin yang bertiup, lalang tidak terlepas daripada dasarnya. Pokok mungkin tumbang, atap rumah mungkin terangkat, tetapi lalang tetap pada dasarnya. Ia tidak berganjak walau sedikit jua.

Ini adalah salah satu sifat lalang yang patut dimiliki oleh umat Islam yang berjati diri. Kita patut, bahkan wajib, memiliki dasar yang kuat dalam pegangan agama kita. Dasar ini tidak berganjak sekali pun ditiup oleh pelbagai arus yang ingin memusnahkannya. Ia tetap berdiri pada dasarnya dalam diri kita sekali pun arus yang menentangnya mampu menumbangkan pokok dan menerbangkan atap.

Terdapat beberapa dasar yang membentuk asas agama kita. Namun dalam kesempatan ini, memadailah saya menyentuh dasar yang pertama, iaitu bahagian pertama daripada dua kalimah syahadah. Dasar ini menetapkan bahawa “Tidak ada tuhan selain Allah dan Nabi Muhmmad pesuruh Allah”. Berdasarkan “Tidak ada tuhan selain Allah”, maka kita umat Islam menetapkan bahawa tiada yang mampu melakukan peranan ketuhanan kecuali Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Iaitu tiada sesiapa atau apa-apa yang mampu mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya kecuali Allah Azza wa Jalla.

Berdasarkan perkara ini, kita memiliki jati kerohanian yang amat kukuh. Kita tidak kasih, berharap, takut, merujuk, taat dan bertujuan secara mutlak melainkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini berbeza dengan orang yang jati kerohaniannya amat lemah dimana dia sentiasa kasih, berharap, takut, merujuk, taat dan bertujuan kepada selain Allah. Akhirnya dia sentiasa lemah lagi hina kerana telah meletakkan makhluk sebagai tuhan bagi dirinya.


Lalang Mudah Melentuk Namun Tetap Berpaksi Pada Dasarnya.

Sifat lalang yang mudah melentuk tidak patut dipandang sebagai satu kelemahan. Ini kerana melentuk ke arah mana sekali pun, ia tetap berpaksi pada dasarnya. Berbeza dengan daun kering yang ditiup angin, ia terbang mengikuti angin dengan meninggalkan tempat asalnya. Ini barulah boleh dianggap sebagai satu kelemahan.

Sifat lalang yang kedua ini boleh kita rumuskan sebagai kukuh pada perkara dasar yang sememangnya tidak boleh berubah manakala fleksibel pada perkara cabang yang boleh disesuaikan dengan zaman dan tempat. Sifat ini adalah sesuatu yang patut dimiliki oleh umat Islam. Jati diri tidak bererti “besi diri”, iaitu kaku lagi lurus dalam semua perkara, tetapi berprinsip pada perkara yang dasar dan fleksibel pada perkara yang dibolehkan untuk bersikap fleksibel selagi mana ia tidak mengorbankan perkara yang dasar.

Sebagai contoh fesyen pemakaian kita.Maka apa jua fesyen yang dipakai, ia adalah fleksibel asalkan berpaksi kepada ajaran yang telah digariskan oleh islam.Bagi muslimah umpamanya, fesyen baju kurung Melayu, jubah Arab, jubah Pakistan (jubah berseluar) dibolehkan. Akan tetapi fesyen jean londeh tidak boleh kerana ia menampakkan perut serta pusat dan fesyen kebaya ketat tidak boleh kerana ia menampakkan bentuk badan.


Lalang Amat Sukar Dimusnahkan.

Sesiapa yang pernah ber“interaksi” dengan lalang pasti akan mengetahui bahawa ia amat sukar untuk dimusnahkan. Jika dipotong ia tumbuh kembali, jika dicabut ia mentunas kembali. Pilihan yang ada ialah mencabut hingga ke akarnya atau menyembur racun lalang. Ini juga tidak menjamin keberhasilan yang 100%. Tidak jarang ia tetap tumbuh semula.

Sifat lalang ini wajib ada pada diri kita umat Islam. Kita tidak boleh putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri daripada pelbagai arus yang bukan sahaja mencabar kita, tetapi seakan-akan ingin menenggelamkan kewujudan kita dan agama yang kita cintai. Maka sebagaimana lalang memiliki jati diri untuk terus hidup, kita umat Islam juga wajib memiliki jati diri yang jauh lebih kental untuk terus hidup menghadapi pelbagai arus yang menentang kita. Istilah putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri tidak boleh wujud dalam kamus umat Islam.


Lalang Mudah Dan Cepat Berkembang.

Lalang bukan sahaja sukar dimusnahkan, ia juga mudah lagi cepat berkembang. Pernah jumpa lalang yang tumbuh bersendirian? Tentu tidak. Ia mudah berkembang dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan tanah.

Sekali lagi, sifat ini perlu diteladani oleh umat Islam. Tidak cukup sekadar kita yang Islam, tetapi kita juga perlu berdakwah untuk mengembangkan Islam dan meletakkannya pada kedudukan yang tinggi lagi kukuh di dunia. Ini adalah amat penting supaya Islam dan umatnya sentiasa memiliki tempat di dunia ini, bahkan kembali menerajui tempat yang pertama berbanding umat yang lain.

Kita perlu sedar dan akur bahawa kedudukan hina yang dialami oleh umat Islam sekarang ini adalah disebabkan oleh kelemahan kita sendiri dan bukannya kekuatan umat lain. Badan yang lemah akan menjemput segala macam penyakit untuk menghinggapinya manakala badan yang kuat (sihat) akan mampu menahan apa jua penyakit. Penyakit sentiasa wujud, bezanya sama ada badan kita adalah lemah atau kuat.

Maka sebagaimana lalang bekerja keras untuk berkembang dalam pelbagai keadaan tanah, maka kita juga wajib bekerja keras untuk mendakwahkan Islam kepada pelbagai lapisan masyarakat dan suasana. Kita perlu berubah dari sifat pasif kepada aktif, lembab kepada cergas, jahil kepada berilmu, leka kepada berfikir, tidur kepada berjalan, berdiam kepada berbicara dan jumud kepada dinamik.

Dakwah itu sendiri terbahagi kepada dua, yang pertama adalah menjemput orang bukan Islam kepada Islam. Kedua adalah mengajak umat Islam untuk meningkatkan penghayatan Islam mereka (Islah) berdasarkan ilmu dan amalan. Sama ada yang pertama atau kedua, yang penting adalah cara dan hikmah dalam berdakwah. Tidak sedikit yang mengalami kegagalan dalam dakwah, bukan kerana kedegilan orang yang didakwahkan tetapi kesalahan dalam strategi berdakwah.


Lalang Mampu Memberi Pengaruh Kepada Manusia.

Cuba berjalan di kalangan lalang, pasti kulit kaki terasa miang. Wadus! Tumbuhan yang dianggap remeh oleh kebanyakan manusia mampu memberi pengaruh kepadanya? Ya! Begitulah hakikatnya. Tidak sekadar itu, lalang juga mampu memberi pengaruh dalam bentuk ia dapat dijadikan bahan membuat atap bagi pondok-pondok di kawasan pendalaman.

Pengajaran penting yang dapat diambil iktibar adalah, sekali pun dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya, kita masih mampu untuk menukar pandangan tersebut. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jika setiap daripada kita berusaha untuk memberi pengaruh yang positif kepada dunia dan manusia, pasti dunia akan mengubah pandangannya terhadap Islam dan kita. Akuilah bahawa dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya disebabkan oleh sikap kita sendiri yang selama ini amat minimum dalam memberi apa-apa pengaruh positif kepada dunia.

Pengaruh positif boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, daripada sekecil-kecil senyuman yang terukir di bibir sehinggalah kepada misi keselamatan dan kebajikan dalam rangka menolong seperti mangsa bencana. Daripada mengangkat paku di jalan sehinggalah kepada menyelamatkan haiwan liar yang tersesat di bandar. Daripada mengajar matematik kepada anak-anak miskin sehinggalah kepada mencipta penemuan ilmiah bagi menyelesaikan penyakit atau masalah yang dihadapi oleh manusia terkini. Senarai ini boleh berlanjutan tanpa batas.


Lalang Oh Lalang!

Di mana sahaja kita berada, ke mana sahaja kita pergi, sudah agak pasti kita akan menemui lalang. Jangan berpaling begitu sahaja, sebaliknya renungilah ia dan jadikanlah ia sebagai sumber iktibar mengukuhkan jati diri kita sebagai umat Islam. Sebagai manusia kita sering lupa atau terlanjur, maka lalang sentiasa ada untuk mengingatkan semula kejatian diri kita. Ingat! Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak mencipta sesuatu untuk sia-sia melainkan ia memiliki hikmah dan manfaat untuk kita.

Itulah sifat lalang yang sebenarnya

____________________________

p/s : Pandanglah sesuatu perkara dari sudut yang baik-baik selagi mana boleh disangka baik agar ianya memberi faedah kebaikan pada diri kita.

[ Juga selamat mendirikan masjid diucapkan kepada sahabat saya .I’m the first person wish to u “selamat pengantin baru “ walaupun belum kahwin lagi.Semoga berbahagia selalu hendaknya.Amin ]

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP