ROMANTIK TAQWA

>> Tuesday, June 22, 2010



“Assalamualaikum ….” Jauh terdengar suara seseorang memberi salam.Saya menoleh kebelakang untuk melihat gerangan empunya salam.

“Waalaikumussalam wbth….ape kabar bang?”.Tangan dihulur kepadanya tanda hormat.Kaki saya sudahpun menyarungkan sepatu yang diletakkan di pintu belakang masjid.Dia adalah seorang kenalan dan juga penduduk taman yang berdekatan.

“Bila balik?lama tak jumpe..cuti ke sekarang?”.

“Aah ..sekarang cuti semester.Balik ni pun cuti panjang,tapi macam tak cuti..sibuk sana sini”.Tangan saya masih didalam genggamannya.

“sibuk ke sekarang?kalau tak sibuk nak cakap sekejap ”kaki yang tadi bersepatu,ditanggalkan semula.Kami duduk di tepi beranda masjid sambil mengambil angin petang lepas asar.Kadang terasa tenang bila berada dalam keadaan seperti itu.Dapat juga menghilangkan kerinduan pada suasana di Jordan.Maklumlah sudah menjadi penempatan ke dua selepas Malaysia tanah air tercinta,bumi barakah Jordan itu ibarat rumah kedua dan medan ilmu untuk mendidik dan melatih diri ini.

“Berapa lama balik?”

“ Tiga bulan ”.saya menjawab ringkas dalam senyuman.

“Tadi abang kata ade benda nak bincang,tentang apa ye ?? “.Saya memulakan bicara sambil membetulkan kedudukan dengan bersila.

“Nak mintak doa skit.”

“Doa apa tu ?”

“Doa untuk perlembutkan hati isteri”

Huh,saya tergelak kecil mendengar permintaan dari seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan 30 an itu.Pada tanggapan saya,mungkin dia baru sahaja mendirikan rumah tangga kerana sebelum saya berangkat meninggalkan rumah untuk kejordan,dia masih single.Terbias wajah keresahan di raut mukanya bersama keluhan berat.

Tanpa membuang masa,saya membacakan sepotong hadis sebelum memberikan doa seperti yang dipinta.Moga dengan berkat doa itu,terlerai sedikit masalah yang dihadapinya.Sengaja saya tidak bertanya dengan lebih mendalam tentang masalah yang dihadapinya.Risau takut akan mengguris dan membuatkan dirinya tidak senang.Cukup sekadar membantu dengan apa yang patut sahaja.Dari tafsiran luar dan raut mukanya saya dapat mengagak ada sesuatu yang melanda dalam dirinya.

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya (isterinya) dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku (isteriku)”
(Riwayat Ibnu Majah)

“Ada masalah dengan isteri kot”.Terdetik dalam hati kecil saya.Mungkin ada masalah dengan pasangan hidupnya.Biasalah,masalah yang mendewasakan dan mengajar erti sabar dan cekal dalam mengaharungi sebuah kehidupan.Tanpa dugaan , hidupterasa ‘tawar’.

RESAM BERUMAHTANGGA

“Adatlah tu ada clash antara suami isteri”.Saya berfikir sendirian.

Salah satu kaedah yang terbaik untuk kita selaku hamba adalah dengan memohon petunjuk dan bantuan dari Allah dalam segala masalah lebih lagi dalam soal menjaga masjid yang sedang dibina.Sikap dan cara perlu disesuaikan dengan si dia agar kehidupan seharian adalah hari-hari yang bahagia dan bukan hari yang merimaskan dek kerana serabut dengan cara dan sikap yang tidak serasi diantara satu sama lain.

Sebagai suami,mereka telah diletakkan satu tanggungjawab dan amanah yang besar untuk dipikul dengan sebaik mungkin.Meniti perjalanan berumahtangga memang memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran agar tidak tergelincir dari tujuan asal yang ditetapkan Allah iaitu mawaddah dan rahmah didalamnya.Jika masing-masing diantara suami mahupun isteri tiada kesefahaman dan toleransi yang sempurna,maka ianya akan membawa kepada keruntuhan rumah tangga malah lebih teruk lagi akan membawa kepada penceraian.’Nauzubillahiminzalikk’

“Ntah lah ,kadang-kadang tu rasa ‘tok cekak doh’(penat) untuk fikir masalah ini”.Dia mengadu sambil melontarkan pandangannya kearah padang masjid.

“Sabar dan cuba pulihkan keadaan.Ujian dalam berumahtangga biasa lah tu”.Saya cuba untuk menenangkan emosinya agar teguh kembali sebagai seorang lelaki.

Hanya itu yang saya mampu ucapkan kepadanya.Tidak layak rasanya untuk memberi motivasi yang matap dan bercakap panjang tentang soal berumahtangga.Pengalaman hidup pun belum cukup untuk dikongsi bersama yang lain,apatah lagi jika mahu bercakap dalam soal rumahtangga seperti ini.Walaupun dalam kecetekan ilmu yang ada dan pengalaman yang tidak seberapa,saya cuba juga untuk berkongsi pandangan bersamanya walaupun ia adalah sedikit berat untuk diceritakan.

“Cuba beli buku agama atau buku panduan rumah tangga.Tak pun,abang ni kurang romantik kot dengan isteri,kalau abang ada skill romantik mesti cair lah punye.”.Saya cuba berjenaka untuk mengelak sedikit kegugupan dalam diri.Terdengar suara tawa kami diberanda masjid Ar-rahman yang sedang dalam pembaikian itu.Agak lucu pula bila difikirkan balik dengan apa yang diucapkan.Entah macam mana gurauan itu boleh terkeluar dari mulut saya.Malu.

ROMEO YANG ROMANTIK

Bila berbicara soal romantik,kebanyakan masyarakat memandang persoalan ini dengan kaca mata masing-masing.Apakah yang dikatakan romantik hanya sekadar mengucapkan kata-kata cinta dan sayang,sedangkan perilakunya tidak menunjukkan bukti.Atau sekadar membelai dan sebagainya.Ada sesetengah dari suami sudah beranggapan ianya sudah memadai dengan hanya ungkapan dihujung bibir sahaja dan ada juga yang berfikir ianya adalah sikap yang berlebihan.Bukankah pernikahan adalah salah satunya untuk berkasih dan bermesra sesama suami dan isteri.Ianya tidak menjadi kesalahan kerana si dia(isteri) sudah menjadi yang halal untuk diri si suaminya.

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan kepada si suami bersikap romantik bahkan ianya dituntut walaupun pasangan itu sudah menjangkau ke alam nenek dan datuk sekalipun.Pernah sekali saya terjumpa , pasangan yang sudah lewat umurnya dan mungkin sudah mendapat title datuk dan nenek berjalan sambil berpegangan tangan .Umur tua mereka tidak menjadi penghalang untuk bermanja dan bermesra sebagai suami isteri.Susah senang dalam hidup dikongsi bersama.

Bersikap romantik adalah salah satu cara untuk membahagiakan pasangan masing-masing.Romantik adalah satu simpulan bahasa yang sejati menjadi warna kedamaian perjalanan sebuah keluarga SAMARA (sakinah,mawaddah,rahmah).Mencipta romantik bererti mengemudi semaksimun mungkin keluarga sebagai tempat menyenangkan bagi setiap penghuninya.

Hal itu dapat diikhtiarkan dengan komitmen yang penuh untuk menjaga cinta yang halal.Diantara caranya adalah selalu melakukan tindakan romantik yang dapat menyubur,menjaga cinta serta kasih sayang.Romantik merupakan ukuran atau tahap yang perlu ditonjol selari dengan komitmen yang dibangunkan dalam keluarga,yakni tanggungjawab kita untuk selalu tertib dalam mematuhi segala aturan Allah SWT.Inilah landasan prinsip keluarga dalam islam.Keluarga islam tidak hanya bebekal cinta yang berbuah romantik sahaja tetapi juga berbekal taqwa yang berbuah komitmen.

Contoh yang boleh kita ambil untuk menjadi teladan dan panduan dalam membina keluarga islam atau baitul muslim adalah melalui keperibadian seorang nabi iaitu Rasulallah SAW.Tidak hanya dalam perkara spiritual sahaja yang baginda tekankan, malah baginda adalah seorang pemimpin,ayah dan suami yang bersifat cekal dan romantik.Baginda mengayuh roda keluarga dengan bekalan iman,sabar,taqwa dan cinta.

Jika kita meneliti dan menelusuri sirah baginda dalam mendidik isterinya,beliau adalah seorang insan yang amat sempurna.Keintiman hubungan diantara para isterinya menjadi penghias dalam keluarga baginda.Dikisahkan pada suatu hari,isteri-isteri Rasulallah berkumpul dihadapan baginda.Salah seorang dari isteri baginda bertanya,

“Duhai rasulallah,di antara isteri-isterimu ini,siapakah yang paling disayangi olehmu ?”

Semua yang hadir terdiam.Menanti penuh harapan jawapan dari Rasulallah SAW.Hati mereka berdebar,khuatir jika bukan nama mereka yang disebut sebagai isteri yang paling dicintai oleh manusia pilihan itu.Perasaan kecewa mula membenih,resah menerpa bersama kekhuatiran.Perasaan lembut dan halus dari para ummul mukminin berubah menjadi sensitif dan perasaan itu muncul tanpa disedari.

Disisi mereka,suami yang dicintai mereka tidak langsung menjawab.Hanya senyuman kecil merekah di bibir sucinya itu.Kemudia ia berkata,

“Aku akan memberitahu jawapannya kepada kalian nanti”

Setelah itu,tanpa diketahui oleh isteri-isteri baginda,Rasulallah SAW memberi sebentuk cincin kepada setiap dari isterinya seraya berpesan agar tidak memberitahu kepada isteri-isteri yang lain.Selang beberapa ketika,isteri – isteri Rasulallah SAW berkumpul lagi dan mengajukan soalan yang sama.Rasulallah SAW dengan penuh bijaksana menjawab,

“yang aku paling sayangi adalah yang ku berikan cincin padanya”.

Semua isteri Rasulallah SAW tersipu malu.Semuanya tersenyum puas kerana menyangka hanya dirinya saja yang mendapat cincin dan merasakan bahawa dirinya tidak terasing.Begitulah cara seorang nabi menjaga hati dan mendidik para isterinya.Suami yang berhadapan dengan sifat cemburu dan kerenah isteri amatlah perlu mencontohi didikan yang ditunjukkan oleh baginda agar dapat mengawal dan membentuk sebuah keluarga yang didalamnya terdapat kasih sayang yang melimpah ruah.

Masih ada amalan-amalan lain yang boleh dilakukan untuk mendapatkan suasana romantik seperti yang dicontohkan oleh Rasulallah SAW.Beliau selalu berpegangan tangan dengan Aisyah r.a ketika didalam rumah.Baginda juga acap kali memotong kuku isterinya,mengajak isterinya besiar – siar ditaman untuk menambah kasih sayang diantara mereka.

Rasulallah SAW juga selalu memanggil isteri-isterinya dengan panggilan yang menyenangkan dan membuat hati mereka berbunga-bunga seperti humaira’(wahai pipi yang kemerah-merahan).Inilah contoh panggilan yang selalu diucapkan tatkala memanggil Aisyah r.a

Begitulah diantara sedikit contoh yang ditunjukkan oleh Rasulallah selaku suami yang perlu bersikap romantik dan memiliki sifat kasih sayang kepada seorang perempuan yang bergelar isteri.Jika diteladani dan dipraktikkan cara dan skill yang dibuat oleh baginda,saya yakin kebanyakan isteri akan menjadi seorang isteri yang solehah dan penyayang.

Terkadang golongan hawa khusunya isteri memang memerlukan belaian dan sentuhan manja oleh suaminya,tidak sama pula dengan sifat lelaki yang kasar dan gagah bak seorang panglima Melaka di zaman lampau.Rasullallah SAW adalah pemimpin ummah dan panglima di medan peperangan,tetapi baginda juga adalah seorang suami yang romantik dan penyayang kepada para isterinya bila berada dirumah.Dalam kegagahan jasmani ada kehalusan jiwa.Juga tidak boleh diabaikan didikan agama kepada isteri dan anak-anak agar keluarga yang dibina selari dengan kehendak syariat islam dan mampu mengasilkan ‘alfateh’ yang mampu menegakkan kembali kegemilangan islam.Oleh itu,berusahalah untuk menjadi suami yang terbaik agar mampu mendidik isteri yang solehah dan melahirkan pejuang agama.

Kearah membentuk para abi yang bijak mendidik dan bersifat romanTIKUS.Sayangi keluarga disitu bahagia.

Read more...

ILMU UNTUK SEMUA

>> Wednesday, June 9, 2010




Kini zaman sudah berubah. Manusia sudah mampu berfikir dengan baik, hinggakan pelbagai teknologi dan aneka produk terhasil. Semuanya adalah kerana manusia telah menguasai ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu pengetahuan, mungkin kita masih berada di arena Paleolitik, Neolitik ataupun purbakala.

Bercawat dan hidup secara nomad.

Dahulu ketika umat Islam terbelenggu Jahiliyyah, penguasaan terhadap ilmu pengetahuan terabai. Manusia tidak mementingkan ilmu, tetapi lebih cenderung mengamalkan budaya Hedonisme melampau. Bahkan sehingga menganggap wanita adalah pemuas nafsu semata-mata. Mereka dipijak, ditindas, malah langsung tidak dipandang oleh kaum lelaki.

Dewasa ini, manusia kembali mengulangi perkara yang sama. Istilah lebih tepat ialah golongan Jahiliyyah Moden. Lupakan agama (Faktanya, golongan Komunis mengamalkan cara hidup tidak mempercayai kewujudan Tuhan), pincanglah dunia. Ya, pincang segala-galanya.

Islam hadir membawa panji kegemilangan. Wanita Islam adalah seiring lelaki dalam proses menuntut ilmu. Mereka layak mengejar cita-cita dan ilmu pengetahuan tanpa perlu dihinakan. Pokok pangkalnya, sesiapa saja mampu memperolehi ilmu jika rajin berusaha ke arah itu.

Suka saya membawa pandangan Syeikh Athiah Saqar dalam kitabnya Fatawa Wa Ahkam Lil Mar’ah al-Muslimah berkenaan perspektif Islam dalam bab yang akan diperkatakan.



HAK WANITA KELUAR MENUNTUT ILMU

Apakah hukum suami menghalang isterinya daripada menuntut ilmu di Masjid atau majlis ilmu?

Jawab Syeikh Athaih Saqar, adalah wajib wanita itu keluar mencari ilmu. Sekiranya tidak berupaya memperolehi ilmu (dengan cara seperti sebelum ini), maka ia menjadi tanggungjawab suami dan walinya (jika belum berkahwin, wali sewajarnya memberi pendidikan terhadap anak perempuan). Sekiranya wanita itu keseorangan, dia boleh mempraktikkan kaedah lainnya seperti membaca buku-buku, mendengar radio (televisyen, internet dll).

Begitu juga semasa era nubuwwah, wanita-wanita Islam ketika itu keluar mencari ilmu dengan bersunguh-sungguh. Menurut riwayat sejarah, wanita-wanita itu sangat berkeinginan untuk menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW sendiri. Mereka menghadiri majlis ilmu yang khusus diadakan untuk para muslimah tanpa kehadiran lelaki.

Ummul mukminin – Saidatina A’isyah r.a memuji wanita-wanita dari kalangan kelompok Ansar kerana keinginan mereka yang tinggi untuk menuntut ilmu. Kata beliau:

Ya, wanita, wanita Ansar, malu tidak menghalang mereka daripada faqih dalam agama.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Iktibar daripada kata-kata ini ialah – dalam proses menuntut ilmu kita sewajarnya menghilangkan rasa malu berlebihan yang terbeban. Terkadang ada di kalangan wanita (termasuk lelaki) hari ini sedikit egois ketika berbicara soal menuntut ilmu. Sangkaannya umur adalah batas pembeza dalam menuntut ilmu.

Bahkan menganggap bahawa tidak patut mempelajari sesuatu dari kalangan generasi yang lebih muda. Rasa bagai tercalar maruah dengan status yang dimiliki. Sementalah beliau juga adalah dari golongan terpelajar, maka kuat lagilah egois yang berakar.

Lalu masalah ini dibiarkan terpendam sendiri, lebih rela jahil daripada mengikis rasa malu yang tak bertempat.


PENTINGNYA LELAKI BERILMU

Kenapa pentingnya seorang lelaki memiliki ilmu?

Telah berbicara ulama’ dalam masalah ini, bahawa sesungguhnya seorang lelaki WAJIB mengajarkan isterinya kadar ilmu agar lebih benar dalam beribadat kepada Jalla Wa’ala. Kejahilan seorang suami memungkinkan institusi keluarga menghampiri gaung neraka, nauzubillahhi minzalik.

“Macammana saya nak solat, mak ayah pun tak pernah solat. Saya tak pandai ambil wudhuk.” Kata seorang kanak-kanak berterus terang. Saya pernah mendengar pengakuan ini dan ianya adalah realiti!

Seandainya seorang suami merasa dirinya tak berilmu, maka wajib lelaki itu membenarkan isterinya supaya keluar menuntut ilmu ke tempat-tempat majlis ilmu yang diperakui kesahihannya. Tidak harus suami menghalang isterinya mendapatkan secebis mutiara ilmu.

Alangkah romantiknya jika si suami turut bersama-sama berpimpin tangan ke majlis sebegitu sekerap mungkin. Malah mungkin lebih romantik jika suami sendiri yang mengajar isterinya menuju ke syurga dan selalu duduk di taman-taman syurga. Pasti mahligai bahagia berpanjangan selama-lamanya. Insha’Allah.

Justeru, mari sama-sama menghidu bau taman syurga sepuas mungkin!

___________________________

p/s :Niatkan segala perbuatan yang dilakukan ikhlas semata mata kerana Allah sekalipun ia adalah rutin harian.Membaca adalah salah satu perbuatan dan rutin bagi pelajar yang menempuh peperiksaan, tetapi bila membaca dan disertakan dengan niat dihati yang ikhlas kerana Allah taala, ianya akan membuahkan hasil yang lebih lumayan untuk dituai nanti.Kerana disitu terdapat hikmah KEBERKATAN.

[ Moga Allah kurniakan kekuatan untuk terus mendalami ilmu dan menempuh peperiksaan kepada sahabat yang masih berbaki lagi peperiksaannya.Ameen ]

Read more...

MENDIDIK IMAN

>> Friday, June 4, 2010



“Iman kita terkadang berkurang dan terkadang bertambah.” Kata seorang penceramah.

Ya, tanpa Iman, bakal menatijahkan kekufuran dan lemahnya Iman bakal menjerumuskan kepada kemaksiatan.

“Jadi, ayuhlah menguatkan keimanan kita sebagai benteng maksiat.” Cadang seorang penulis pula.

Ramai yang tahu berkata, “Mari kembali membina Iman.” Tetapi bagaimanakah cara terbaik menguatkan Iman? Apakah itu Iman?

MAKNA IMAN

Sebelum kita pergi lebih jauh untuk tahu cara membina Iman, adalah lebih baik untuk kita tahu pengertian Iman terlebih dahulu. Barulah mudah cinta berbunga setelah saling kenal dan mengerti.

Iman menurut bahasa ia bermaksud tasdiq, iaitu membenarkan. Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah Yusof ayat 17:

“Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar.”

Manakala menurut istilah pula ialah; membenarkan dengan hati sebulat-bulatnya pada setiap yang dibawa oleh Nabi SAW dengan ilmu yang dibawa datang bersama darurat. Ataupun iaitu; pembenaran bulat oleh qalbu (hati), yang dapat diterima (dibenarkan) oleh akal.

Qalbu di dalam bahasa arab punya pengertian yang pelbagai. Adakalanya bila ia digunakan dengan makna wijdan (membawa maksud hati dan perasaan) dan adakalanya bermakna aqlu (akal fikiran).

HAKIKAT IMAN

Iman. Suatu perkataan mudah disebut, tetapi pengertiannya lebih besar dari segala isi alam. Kerana Iman itu letaknya di dalam hati para Khalifah Allah SWT di muka bumi ini, bukan letaknya pada haiwan ataupun alam cakerawala bimasakti.

Rukun Iman yang selalu kita lafaz dan ulang-ulangkan itu bukanlah sekadar meniti di bibir sahaja, tetapi hakikatnya lebih daripada itu. Kefahaman mengenai rukun Iman yang wajib kita fahami pada asasnya terbahagi kepada 6:

1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
4. Percaya kepada Kitab-Kitab
5. Percaya kepada Hari Akhirat
6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Setiap muslim yang mengakui beriman, wajib menyatakan keyakinan 100 % tanpa wujud keraguan walaupun 1 % yakni kiraannya menjadi 99.9%. Jika keimanan dibaluti keraguan, maka ia mencetuskan kegoyahan dan boleh menyebabkan tergelincir akidah seseorang individu muslim.

Begitu juga dalam masalah ikut-ikutan, atau dalam istilah arabnya dipanggil taqlid (mengikut). Iman tidak boleh disandarkan pada taqlid kepada orang lain. Secara jelasnya, ia wajib subur di dalam sanubari sendiri. Justeru, masalah keimanan ini bukanlah masalah yang boleh diperselisihkan antara satu sama lain. Kerana itu kita sebagai seorang individu muslim yang faham hakikat Iman, akan sedaya-upaya membina Iman atas keyakinan sendiri tanpa ikut-ikutan.

Di sebabkan kerana Iman itu berdasarkan kepada kepercayaan di dalam benak individu muslim, maka wajib ke atasnya menggali aqidahnya sendiri. Lalu ia hendaklah memahami dalil-dalil yang digunakan bersama cara untuk mempraktikkannya sehingga menghasilkan natijah yang diinginkan. Inilah kewajipan yang pertama bagi setiap muslim yang mukallaf untuk dilakukan.

Itulah yang dinamakan aqidah. Kerana aqidah itu adanya Iman, dan Iman itu ada pada aqidah.

Imam Syafie’ berkata: “Ketahuilah bahawa kewajipan yang pertama bagi seorang mukallaf adalah berfikir dan mencari dalil untuk ma’rifat kepada Allah SWT. Erti berfikir adalah melakukan penalaran dan perenungan qalbu. Dalam keadaan orang yang berfikir tersebut dituntut untuk ma’rifat kepada Allah SWT. Dengan cara seperti itu, ia dapat mencapai ma’rifat kepada hal-hal yang ghaib dari pengamatannya dengan indera dan ini merupakan suatu kewajipan. Hal ini seperti merupakan kewajipan dalam bidang usuluddin.”

Adapun dalil serta petunjuk yang digunakan untuk menghasilkan keyakinan secara menyeluruh 100% itu terbahagi kepada dua jenis:

1. Dalil Aqli, iaitu bukti yang digunapakai akal untuk mencapai kebenaran yang pasti terhadap rukun aqidah (rukun Iman yang enam).

2. Dalil Naqli, iaitu suatu informasi yang qath’ei (tetap, sabit) digunakan untuk memberitahu kepada kita mengenai rukun aqidah ataupun rukun Iman.

Harus diingat, dalil aqli yang digunakan untuk membina Iman ini ianya mengandungi empat komponen utama akal barulah jelas natijahnya kelak. Empat komponen akal itu ialah:
1. Realiti yang dapat diinderakan. (Iaitu dorongan naluri atau keperluan jasmani yang ada dalam diri manusia)

2. Adanya penginderaan. (Merasakan apa yang diperlukan oleh naluri dan keperluan jasmani)

3. Otak yang sihat. (Kerana orang gila tidak mampu menerbitkan natijah pemikiran yang jernih)

4. Maklumat awal mengenai realiti yang telah diindera. (Maklumat tentang hukum syara’, tentang nilai yang ditetapkan Allah ke atas masing-masing – perbuatan yang hendak diwujudkan oleh tiap muslim, tentang metod berkenaan bagaimana perbuatan-perbuatan tersebut diwujudkan)

CARA MEMBINA KEIMANAN

Banyak cara membina Iman, salah satunya yang ingin saya sebutkan di sini adalah salah satu cara membina Iman untuk menguatkan keyakinan kita kepada Azza Wajalla - yang terangkum kepada keimanan tahap pertama yakni ‘Percaya Kepada ALLAH’. Bagaimana?

Berfikir menggunakan akal serta berlandaskan nas dan dalil naqli tentang bukti wujudnya Allah Ta’ala.

Misalnya kita boleh merenung dan mengkaji bagaimana diri kita, yakni manusia terjadi. Proses pembentukan ini boleh dilihat pada halaman surah al-Mukminun ayat 14, az-Zumar ayat 6, al-Alaq ayat 1-3, al-Insan ayat 2 dan beberapa surah lain yang termaktub di dalam Kalamullah.

Mari kita lihat, bagaimana percantuman kromoson di dalam sel yang berjumlah 23+23 = 46 kromosom yang terkandung di dalam sperma lelaki dan sel telur wanita ketika berlakunya proses pembentukan. Seandainya jumlah kromosom sel itu berkurang, maka proses pembentukan itu pasti tidak akan terhasil. Timbul persoalan di sini, siapakah yang menetapkan bilangan tersebut menjadi 46 kromosom? Adakah ianya bermula dari sperma lelaki atau sel telur wanita?

Sudah pasti tidak. Jadi siapakah yang menciptanya? Apakah ada manusia lain yang berusaha menciptanya? Sudah tentu mustahil. Maka di sinilah yang patut kita semua renungi dan fikirkan sebaik mungkin – sesungguhnya Allahlah Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana menciptakan sel-sel manusia itu sehingga melahirkan individu manusia lain.

Berfikir dengan cara beginilah ianya mampu membina Iman yang mantap tanpa tergugat. Kerana itu ayat-ayat Allah SWT banyak menyarankan kepada kita supaya merenung secara hikmah tentang kejadian manusia, alam dan kehidupan semesta ini. Tujuannya adalah tidak lain tidak bukan untuk membuktikan keesaan Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:

“Maka hendaklah manusia merenungkan tentang dari apa ia ciptakan.” (At-Thariq: 5)
Sesungguhnya, adalah teramat banyak contoh alam ini yang boleh kita kaji dan renungi untuk membina Iman pada setiap saat dan detik. Allah SWT berfiman lagi:

“Apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan, dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan dan kepada gunung, bagaimana ia dihamparkan.” (Al-Ghasyisyah: 17-19)

Oleh itu, sebelum kita memperkatakan tetang Iman, mari fahami dahulu apa itu Iman sebenar-benarnya. Setelah kenal siapa Iman, barulah mudah untuk menguntum cinta, menyulam rasa serta membina keterikatan Iman.
________________________________

p/s :kepada para sahabat yang sedang atau yang akan menempuh peperiksaan,maka anda perlulah meningkatkan lagi keimanan kepada Allah agar mampu merasakan bahawa segala kejayaan yang dicapai itu bukanlah hasil usaha dan keupayaan kita dalam menghasilnya bahkan itu adalah dari ketentuan Allah kerana tiada suatu kejayaan yang dicapai melainkan dengan izin dan kehendak dariNYA.

[ Selamat maju jaya untuk peperiksaan dan juga mendidik keimanan. ]

Read more...

UKHWAH YANG TERHALANG



Saya baru sahaja memperbaharui iqamah (visa) setelah beberapa bulan seperti pendatang haram ke sana ke mari. Namun tetap tersenyum.

“Anta boleh datang tak besok jumpa dengan Ahmad azam tanyakan pasal dokumen muafaqah ana?.” Seorang sahabat menelefon saya untuk meminta bantuan supaya berjumpa dengan pegawai yang menguruskan hal ehwal iqamah para pelajar di universiti kami.

Jauh dari sudut hati, saya kasihankan para sahabat yang sudah berulang alik ke pejabat bahagian hal ehwal pengurusan iqamah untuk mendapatkan keputusan dan makluman tentang iqamah masing-masing.

”Jika tak paksa dan tekan..dia tak buat kerja azfar.Maafkan ana sebab susahkan anta,Cuma Allah sahaja yang dapat membalas jasa anta atas bantuan ini”.Ucapan terima kasih dihulurkan bersama dengan doa ikhlas darinya.Cukuplah bagi saya jika urusan ini dapat diselsaikan dengan secepat mungkin kerana jika terlambat,selagi itulah ia akan membahayakan para pelajar yang tiada sebarang pengenalan diri yang terjamin.

Mujurlah urusan pada hari itu agak mudah berbanding sebelum ini. Berkat surah Al-Ikhlas barangkali.

“Bacalah surah Al-Ikhlas bila berdepan kesukaran.” Pesan abah sewaktu ketika dahulu masih lagi kekal dalam ingatan saya bila mengadu masalah kepadanya .

Saya kehairanan dan tertanya-tanya mengapa berlaku keterlambatan dan kelihatan amat sukar bagi kebanyakan pelajar antarabangsa mendapat visa sehingga perlu melalui beberapa proses penapisan. Permasalahan ini sudah pun dibawa ke peringkat atasan, namun tindakan drastik tidak mampu terlaksana lagi oleh pihak universiti.

Usai sessi perbincangan bersama pegawai tersebut persis dua anak muda yang saling bertikam lidah, saya keluar dari pejabatnya lalu beransur pulang ke rumah.Malas untuk melihat mukanya yang sudah berkali diingatkan supaya menyelsaikan masalah ini dengan secepat yang mungkin,tapi masih lagi seperti tiada tindakan seolah-olah melaksanakan kerja secara sambil lewa sahaja.Itu yang membuatkan kebanyakan para pelajar sudah menyampah dengannya.

Setelah mendapat muafaqah(surat kebenarah mendapat iqamah tahunan),saya termasuk kawan yang lain terus menyiapkan urusan dengan seberapa segera untuk mendapatkan kad iqamah yang baru.Jika dilambatkan,maka selagi itulah saya mendapat status pendatang tanpa izin di Jordan ini kerana tiada pengenalan dan kebenaran diri untuk menetap di Jordan sebagai seorang pelajar.Walaupun begitu masih mampu berjalan dengan tenang walaupun tiada iqamah berbekalkan tawakkal dan doa selama enam bulan lamanya.Syukur atas perlindungan dari pemilik seluruh alam ini.

“Ape kata lepas kita settle urusan iqamah,kita terus pegi jumpa relawan misi Lifeline4Gaza tu nak tak?diaorang stay kat hotel Sheraton kan tak silap ana lepas duta pergi ambik kat border semalam?Pihak kedutaan izinkan ke tak syahrul?”.Tanya saya kepada seorang sahabat yang tika itu berada disebelah tempat duduk saya sebagai pemandu.Bercadang mahu sahaja untuk berjumpa dengan group relawan yang bersifat berani dan memiliki hati mulia ini.Selepas dibebaskan dari tahanan tentera Israel,mereka dibebaskan melalui sempadan dan diletakkan disalah sebuah hotel mewah di ibu kota Amman.

“Emm mungkin boleh je kot,tadi ana ada call abang Azmir,dia kata pihak MSD sedang tunggu jawapan dari Wisma putra samada mengizinkan ataupun tidak untuk pelajar bertemu dengan mereka ”.Terang ustaz syahrul yang merupakan Presiden bagi pelajar Malaysia sejordan(MPPM).Amat bertuah sekali kalau dapat berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan mereka semua.

“Sampai hati mereka serang kapal yang bawa bantuan kat rakyat palestin..Laknat sungguh Israel ni !! .Dunia hanya tengok sahaja tanpa buat bantuan.” Terdengar suara seorang sahabat yang duduk di bahagian kerusi belakang.Suaranya berbaur benci dan marah yang teramat.

“Kita nak buat macam mana.Memang perjanjiannya begitu.Jika sekiranya ada negara yang membantu rakyat palestin,maka negara tersebut akan diugut dan mungkin akan diserang oleh Israel.Sebab tu kebanyakan negara diam dan takut padahal Israel tu bukanlah kuat sangat”.Terang seorang sahabat.

“Walau negara islam lebih ramai bilangan penduduk dan kawasannya,tapi ia hanya sekadar sebuah negara yang bernama islam.Bukan negara yang mendaulatkan islam.Bila berlaku kekacauan macam ni,semua terdiam sebab takut dengan Israel”.Seorang sahabat lain turut menambah.

Begitulah bila sesama negara islam bersikap pentingkan diri sendiri.Masalah saudara seakidah tidak dianggap sebagai masalah bersama.Palestina akan selamanya dijajah oleh Israel laknatullah jika penyakit selfish berterusan dalam umat ini yang satu ketika dahulu pernah menggongcangkan seluruh dunia.Kebanyakan negara islam dipecahkan mengikut kehendak kuffar dengan membahagikan dan mengsyaratkan undang-undang yang dibuat demi menghancurkan kesepaduan islam.

Peluang untuk sesama islam berukhwah dan mencari tempat perlindungan bila diserang oleh musuh juga disempitkan dan disusahkan dengan syarat yang dibuat seperti visa,passport,sempadan negara dan berbagai lagi sedangkan sesama mereka itu adalah memegang dasar kalimah yang satu iaitu ‘ lailahaillah’.Seperti contoh antara sempadan mesir dan palestin yang memang jelas kelihatan sifat pentingkan negara sedangkan dalam islam tiada wujud istilah sempadan antara sesama islam walaupun mesir itu adalah negara islam.

Saya terus menumpukan pemanduan sambil berlegar sesuatu di kepala yang sekian lama sudah menjadi impian diri.syahid !

“Alangkah beruntungnya diriku kalau dapat syahid di palestin sana”.Saya Bermonolog sendirian dengan harapan yang menggunung tinggi dalam hati.

Kereta kami terus meluncur laju merentasi jalan yang sibuk dengan kenderaan dan lalu lintas yang sedikit sesak.

Kaitan Visa, Passport dan Negara Bangsa

Pernahkah kita merenung sejenak bagaimana mudahnya jika negara-negara umat Islam bersatu padu menjadi sebuah empayar besar seperti era khulafa Ar-Rasyidin, Abbasiyyah, Umaiyyah, Andalusia, Uthmaniyyah?

Mudahnya urusan ulama’-ulama’ terdahulu, cendiakawan Islam, pemimpin umat, pemikir akademik, pengembara, penuntut ilmu berhubung dan merentas benua Islam tanpa sekatan dan tanpa karenah birokrasi yang menyusahkan.

Lihatlah bagaimana Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim At-Tanji atau nama gelarannya Ibnu Batutah seorang pengembara hebat belayar ke hampir ke seluruh benua Islam tanpa perlu urusan cop passport visa dan soal siasat yang merumitkan. Pengembaraannya mengelilingi dunia itu mencapai 73 ribu mil atau sejauh 117 ribu kilometer. Begitu juga perantau ilmu selaku pengasas mazhab Imam Syafei yang merantau ke Iraq, Syiria, Mesir tanpa kekangan pemerintah.

Kini segalanya berubah semenjak bermulanya era penjajahan kolonis barat ke atas negara-negara Islam. Akhirnya mereka berjaya memecah belahkan Negara umat Islam menjadi kecil dan bersempadan. Lalu semangat nasionalisme dan patriotisme dihembuskan ke ulu hati membeku berkarat sehingga kini.

Negara lebih utama dari Agama. Itu dasarnya. Maka berkembang mekarlah bunga-bunga assobiyyah meranapkan perpaduan Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW.

Runtuhnya empayar Khilafah Turki Uthmaniyyah bila mana kerajaan British bersama agennya Mustafa Kamal Attarturk Laknatullah telah menyuntik jarum assobiyyah di kalangan warga turki dan arab sehingga berantakan pemikiran.

Kenapa Rasulullah SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj? Muhajirin dan Ansar? Parsi dan Arab? Kulit putih dan hitam? Adakah atas dasar bangsa, puak, kaum atau kepentingan peribadi?
Firman Allah SWT:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali-Imran: 103)

Lihatlah juga kesannya kini. Bila persempadanan wujud, visa dan passport menjadi wasilah yang menyukarkan. Tiada passport anda pasti menjadi manusia yang ‘haram’ biarpun bersaudara agamanya.

Cuba renung petikan statement dibawah.

Perdana Menteri Britain berketurunan Yahudi, Benjamin Disraeli pernah mengatakan dalam satu sidang House of Commons, “Kaum Muslimin tak akan dapat dikalahkan sampai bila-bila sehingga ini dicabut dari mereka”, sambil jarinya menunjuk kepada Al-Quran.


______________________________

p/s: [ Walaupun impian pertama saya mustahil untuk dijadikan realiti dalam kehidupan yang sementara ini,akan tetapi impian kedua saya masih lagi terbuka luas dihadapan sana kerana dengan terlaksananya impian kedua ini secara langsung terlaksanalah juga impian pertama itu.Moga Allah kabulkan impian para hambanya kerana Dialah yang maha pemurah.Ameen. ]

Read more...

SOLEH DAN SOLEHAH

>> Tuesday, June 1, 2010




“betul azfar,mak angkat ana tu sungguh-sungguh suruh carikan syabab untuk jadikan menantu.Dia kata tak kesah siapa pun bakal menantu asalkan soleh yang penting dan dapat jaga anak dia disini.

“Owh,anak dia akan datang belajar kat Jordan ke ?”saya bertanya mendapat kepastian.

“Aah,ayah dan mak dia suruh kahwin dulu sebelum datang ke sini.Ana kenal pak cik tu masa kebetulan terserempak dia kat satu masjid di shah alam.”

"Oo0..eh,anta semangat cerita kat ana benda ni dari tadi kenapa?”

“Alaa anta ni..buat-buat tak faham plak” Terukir senyuman seribu maksud di bibir kawan saya itu.keningnya digerakkan sedikit menambahkan lagi kebingungan pada saya.

Pelik dan ajaib.Itu sahaja yang saya mampu fikirkan ketika mendapat panggilan dari sahabat saya ini untuk berjumpa.Mahu bincang benda besar katanya sampai perlu buat satu temujanji khas pula.Besar manalah agaknya benda yang hendak dibincangkan itu saya pun kurang pasti.

Setelah dia menceritakan secara mendalam tentang perkara penting yang dikatakan,barulah saya faham dan jelas.Rupanya dia sedang mencari seorang putera untuk dijadikan suami kepada si puteri iaitu anak kepada ayah angkatnya di Malaysia.

Saya tanyakan kembali mengenai spesifik soalan yang ditujukan.

“Mak ayah dia nak yang jenis yang macam mana?” Soal saya sekadar bertanya.

“Soleh dan beriman.Boleh bimbing anak dia.tak berharta takpe,asal bertaqwa.Ini sahaja syarat mak dia azfar.Pasal kewangan semua ditanggung beres.Maklumlah orang berada,tentang kewangan bukan menjadi masalah.”Jawabnya dengan bersungguh.

"0o0..nanti ana cuba bantu masalah anta ini ya.Ramai lagi lelaki yang soleh diluar sana yang mungkin lebih sesuai untuk dipadankan dengan anak mak angkat anta yang baik hati seperti ini".Saya cuba menghulurkan bantuan sekadar yang termampu kepadanya.


PUTERA IDAMAN MEMBAWA KE SYURGA

Tiada manusia yang baik-baik di dunia ini mahu menyangkal keinginannya untuk mendiami syurga. Jika ada, barangkali ia mengalami sedikit masalah berkaitan mental, dan perlu diluruskan semula. Begitu juga kalau kita tanyakan pada golongan non-muslim, sudah pasti jawapan mereka, “Ya, menginginkan syurga.”

Kalangan para membikin filem barat juga sering menggambarkan keindahan syurga melalui imaginasi keliru mereka mengenai syurga. Bahkan digambarkan bahawa syurga itu berlatarbelakangkan warna putih, indah, istananya bergemerlap dengan intan, permata, berlian dan pelbagai gambaran akal lain.

Itu gambaran akal manusia. Hakikat sebenar kita tidak mengetahuinya. Cukuplah ayat-ayat Allah SWT dan hadis Baginda SAW menggambarkannya. Lalu, letakkan keyakinan pada dasar utama persis Saidina Abu Bakr yang membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Keyakinan itulah dinamakan tasdiq (membenarkan). Bila ada matlamat, pasti ada jalan menuju ke sana.

Antaranya ialah bersama putera idaman di dunia yakni suami soleh. Apakah putera idaman itu ialah si katak yang berubah menjadi manusia? Atau putera di dalam hikayat masyarakat barat? Ataukah anak raja dari kayangan?

Tidak. Itu semua adalah kisah dongengan untuk memutarkan pemikiran anak gadis Islam, khususnya muslimah. Digambarkan putera itu sebagai golongan bangsawan, punya harta melimpah ruah, memiliki wajah tampan bermata biru dan berdada bidang tegap perkasa.

Lalu kisah itu diadaptasikan pula ke layar perak masyarakat melayu, dan pengarah-pengarah tempatan mengembangkan idea sebegini di dalam filem sendiri. Walhasil, lahirlah putera melayu pula – memiliki kereta mewah, pekerjaan besar, kacak dan lengkap segalanya adalah menjadi pilihan utama.

Bukan saja anak gadis tergedik mengimpikannya, malah ibu bapa penjaga turut meletakkan syarat yang sama.

“Siapa kau mahu melamar anak gadis kami wahai pemuda?!” Jerkah si bapa sambil melayang-layangkan golok tajam berkilat.

Si pemuda cuak, lututnya bergetar kehilangan punca. Jawapan yang disediakan sebelum bertemu kedua ibu bapa penjaga anak gadis hilang entah kemana. Hanya kakinya saja siap terjun jendela rumah tanpa sempat menyarung sepatu!

“Kalau kau tak punya wang, jangan mimpi mahu jejakkan kaki ke rumah ini, berambus kau dari sini!” Si ibunya tak lepas meningking pemuda itu. Lalu, ia pulang dengan kehampaan, kekecewaan akibat penangan permintaan material yang menggunung tinggi.

Ibu bapa anak gadis tidak lagi memikirkan kesenangan anaknya pada kelurusan mengamalkan agama. Doa qunut, rukun solat, hal ehwal ibadat, akhlaq bukan lagi menjadi pilihan. Pada hematnya, fulus adalah segala-galanya. Membawa ke syurga atau neraka, itu dikesampingkan dan ditendang ke tepi.


KRITERIA YANG DI TETAPKAN SYARA’

Pemuda Soleh Taat Beragama

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis:

“Apabila orang yang kamu redhai agama dan akhlaqnya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Jika kamu tidak mengahwinkannya nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan besar di atas muka bumi.” (Riwayat Tirmizi)

Untuk lebih memahami hadis ini, saya bawakan satu contoh mudah. Seorang pemimpin yang zalim dan terkenal melakukan ketidakadilan kepada rakyatnya, apakah wajar dijadikan pemimpin? Sudah tentu manusia yang murni akalnya akan menyanggah pemilihannya, kerana dibimbangi berlaku mudharat dan fitnah kepada umum.

Begitu juga dalam hal ehwal rumah tangga. Pemimpin yang dicari seharusnya memiliki kriteria utama sebagai yang disebutkan di dalam hadis. Ingatlah wahai anak gadis, jangan ditolak lamaran sebegitu. Mudharatnya lebih besar akan berlaku, bahkan mungkin tidak sempat mencium wangian syurga. Nauzubillahi minzalik.


Bukan Dari Kalangan Non-Muslim

Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan Yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki Yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan Dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah: 221)

Wanita Islam tidak diharuskan berkahwin dengan lelaki bukan Islam walau apa jua jenis agama anutannya. Ini termasuklah agama dari langit lain seperti yahudi dan nasrani kerana agama itu telah sesat dan menyeleweng. Hakikatnya, seorang lelaki adalah berhak ke atas isterinya. Maka, apakah natijah yang akan berlaku sekiranya suami bukan Islam itu memimpin wanita muslimah?

Walhal orang bukan Islam tidak berhak menguasai orang Islam. Bahkan lelaki musyrik itu tidak ada jaminan yang kukuh untuk menjaga wanita muslimah kerana dia sendiri tidak mengimani ajaran Islam. Firman Allah SWT:

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang Yang beriman.” (An-Nisa’: 141)

Bercakap soal begini, saya teringat suatu kisah yang diberitahu rakan suatu ketika dahulu. Katanya, seorang gadis melayu muslim telah menukar agamanya kepada kristian kerana menyintai seorang pemuda kafir. Lalu mereka berkahwin dan kini menetap di Amerika Syarikat. Hal ini dibuktikan lagi setelah saya melihat sendiri hasil tulisan blog perempuan itu bersama suaminya. la haula wala quwwata illa billah!

Allahu Rabbi, menggeleng kepala kekecewaan dibuatnya.

Beginilah natijah yang berlaku jika sekiranya benda material diletakkan dihadapan dan dijadikan sebagai ukuran berbanding dengan agama dan akhlak diri.Material yang melimpah tidak boleh melahirkan iman yang menggunung tetapi bila memiliki iman yang tinggi mampu untuk menghasilkan material yang bergudang-gudang pula kerana disitu terdapat maksud keberkatan.Begitu juga dalam memilih pasangan hidup.Yang soleh dan solehah mampu untuk melahirkan ganerasi yang soleh,tetapi jika sebaliknya pula amatlah sukar untuk melahirkan keturunan seperti ini.Jika ianya ada mungkin kebarangkaliannya agaklah tipis.

Bagi kaum lelaki jangan rupa kecantikan menjadi nilaian dan bagi perempuan ketampanan itu bukanlah ukuran semata kepada sebuah cinta dan ikatan.Lihatlah dari sudut yang lebih penting agar bahtera yang akan berlayar itu dikemudi oleh seorang kelasi dan pembantunya yang cekap hingga sampai ke destinasi yang dituju.

Justeru, bersediakah wahai putera dan puteri untuk membuat pilihan bagi menerima bakal pendamping idaman hingga ke syurga? Kalian berhak membuat pilihan tepat.

Undi anda adalah rahsia.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP