DIRI SAYA

>> Saturday, April 24, 2010


Segala puji ditujukan khas kepada allah yang mentadbir siang dan malam.Tuhan yang maha pemurah kepada sekelian makhluk juga maha mengasihini kepada sekelian hambanya.Seluruh alam bertasbih dan memuji akan kebesaran dan kehebatannya dalam mengatur alam.Bersaksilah alam bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah.Sekalung bunga selawat dikirim kepada jujungan besar nabi allah Muhammad SAW ,keluargan dan sekelian sahabat baginda radiallahuanhum ajmain.

Ketika laungan azan berkemundang di waktu subuh yang hening,lahirlah seorang bayi yang belum mengenal erti kehidupan dunia.Tanggal 28 Jan 1989 detik kelahiran hamba allah yang bernama Muhammad arif azfar b Md Ashari.Tangisan mengiringi kelahiran kerana takut jika hadirnya diri yang lemah ini akan menjadi seorang hamba yang dimurkai allah.Detik kelahiran saya tidak disambut dengan sebuah keraian yang mewah dan gempita,juga tidak dikelilingi dengan dengan emas ataupun pemata tetapi disambut dengan air mata kesyukuran seorang ibu dan rasa kasih sayang seorang ayah yang penuh dengan kebahagian.Dibesarkan dalam jagaan kedua orang tua yang amat mendahulukan ajaran agama dari kemewahan duniawi.

Muhammad Arif Azfar nama diberi yang membawa erti ‘’yang arif’’ dan ‘’yang melaksanakan’’ menjadi pilihan oleh kedua ibu bapa.Cukuplah dengan nama yang memberi erti ini sebagai taruhan berbanding dengan sebuah bukit emas ataupun segudang permata yang melalaikan jiwa.

Kesederhanaan didikan orang tua mengundang rasa untuk terus berdikari tanpa mengharap belas dan bantuan orang lain dalam melaksanakan urusan peribadi bilamana usia meningkat dewasa.Dengan kesederhanaan itulah saya mengenal erti tidak berputus asa,yakin pada kemampuan diri dan tawakkal kepada allah yang mentakdirkan segalanya.Cuba untuk tidak bergantung kepada manusia selagi mana kudrat ini diberi oleh allah.

Mula mengenal sebuah erti kehidupan dalam suasana sebuah keluarga yang tidak diajar dengan kemewahan dan kesenangan.Mungkin tidak sama dengan kanak-kanak lain yang diusia mudanya mudah mendapatkan apa yang diingini,tetapi sebaliknya pula pada kami adik beradik,mungkin begitu perangcangan orang tua.Kepentingan untuk memiliki sesuatu barang dan manfaatnya pada diri itu yang diajarkan supaya diambil kira terlebih dahulu dari kehendak yang didorongi nafsu semata.

Ini menyebabkan kotak permainan kami,pistol mainan mahupun play station yang menjadi kebanggan kepada sesiapa yang pernah memegangnya apatah lagi memilikinya pada waktu itu tidak banyak dikumpulkan didalam rumah.Mungkin pada mereka perkara inilah yang menjadi penghibur dikala bosan.

Bagi kami,cukuplah dengan gurauan sesama adik beradik,belaian kasih sayang ibu dan nasihat hikmah dari seorang ayah sebagai penghibur hati dikala kekosongan.Bekalan nasihat itu yang disemat kukuh kedalam hati ketika melangkah keluar kesekolah.Ia adalah pembakar semangat dalam menuntut ilmu disekolah.Selalu saya sematkan pesanan kedua ibu bapa ‘’pergi dengan sejuta harapan,pulang dengan segunung kejayaan’’supaya bilamana keputusan peperiksaan keluar,ianya dapat membanggakan kedua orang tua.

Ternyata sangat bersyukur dengan didikan kehidupan yang diajar walaupun terkadang terasa iri hati kepada sahabat yang mampu memiliki permainan yang mahal lagi hebat.Juga pernah terlintas alangkah beruntungnya jika daku dapat memiliki permainan seperti mereka.Tapi itu mungkin hanya dipandang dengan mata kasar insan.Jika diselami dengan sebetulnya,kehidupan ini tidak selalunya cerah.Jadi alangkah indahnya jika kita pernah merasakan erti kesusahan dan kesabaran dalam hidup yang mengajar kita untuk menempuh hari yang bakal mendatang di kemudian nanti.

Pernah satu ketika dahulu,saya menangis teresak-esak diribaan umi dek tidak tahan dengan leteran abah kerana tidak pergi mengaji dan lupa menghafal sifir.Mujurlah ada tempat untuk mengadu kasih diribaan umi walaupun saya tahu marah abah bukanlah bermaksud membenci tapi kerana sayangnya demi kebaikan diri ini jua.Bermula saat itu saya tidak berani lagi ponteng mengaji dan sentiasa mengilik buku matematik dan bahasa inggeris takut disoal secara mengejut.

Dalam mendidik anak-anak, umi dan abah tidak pernah jemu menyelitkan unsur agama sebagai asas untuk hidup. Begitu juga keperluan pendidikan, mereka sanggup bersusah payah hanya semata-mata mahu melihat anaknya berpendidikan dan membesar dengan sempurna, bukan hanya tahu membaca dan mengeja malah lebih daripada itu pengharapan mereka.

“Lisanun lidah, anfun hidung, uzunun telinga, sya’run rambut, lehyun janggut…” Nyanyi umi sehingga kini masih berbisik ditelinga saya. Bernyanyi-nyanyi syahdu. Serasa begitu segar sekali bicaranya mengajar saya ketika usia menginjak pra-sekolah.

Kasih sayang dan didikan yang dicurahkan oleh umi dan pengorbanannya yang tidak pernah diminta bayaran ataupun balasan membuatkan saya lebih memahami erti kasih sayang dari seluruh isi harta dunia.Walaupun dalam kepenatan pulang bekerja,umi tetap dengan wajah yang ceria dan tenang.Ingin sekali saya hadiahkan kepada umi rembulan purnama yang bersinar cerah sebagai balasan atas pengorbanan dan kasih sayang yang tidak pernah berkurang kepada kami semua.

Terima kasih umi atas kesabaran dalam mendidik kami.

Wataknya yang tegas sesekali dalam mendidik membuatkan saya mengenal erti seorang insan bernama lelaki.Itulah seorang ketua keluarga yang banyak mengajarkan kepada saya erti tanggungjawab.Ianya menyerap ke dalam sanubari saya untuk lebih mengerti watak seorang pemimpin. Setiap gerak-gerinya membuatkan saya terfikir sendiri, dan kadangkala sengaja dipertontonkan kepada anak-anaknya agar tahu mengabdikan diri kepada Ilahi selaku abid di muka bumi.Terkadang saya melihat banyak kerutan di dahi abah tetapi tiada pula keluhan terdengar disebalik kerutan itu.Mungkin itulah bebanan dan masalah masyarakat yang ditaklifkan kepadanya untuk diambil tahu dan diselsaikan dengan semampu mungkin.Bila melihat abah dikelilingi lautan manusia untuk mengadu masalah saya termenung sejenak dari jauh,

’’abah ni tak penat ke untuk fikir masalah manusia lain?lebih baik tumpu keluarga dari memikirkan masalah diaorang’’..berfikir sendirian.

Tapi itulah yang mengajarku bahawa kesenangan bukan untuk dinikmati seorang dan kesusahan orang lain bukan untuk dilupakan.

Selalu dipesan olehnya ketika mana sempat bersembang berkaitan kaedah atau cara perniagaan,pengiraan hartanah,perumahan dan sebagainya yang ada berkait dengan bidangnya.

‘’Semua nikmat allah yang kita dapat mesti selalu bersyukur.Ramai dalam kesusahan diluar sana.Yang susah bukan untuk dibiarkan susah,kena tolong!!’’.Pesannya.

''nak motor dapat''

"nak kereta dapat.siap tukar-tukar lagi ".

"nak duit hulur tangan saja''

"Tapi orang lain susah diluar lagumana kita tok tahu?makan ke mereka,atap rumah bocor ke.Yang penting,kita yang senang kena tolong hok susah''.

"Bersyukur dan sentiasa menolong yang susah ! " Nasihat ini disemat kukuh dalam kotak ingtan supaya berjalan di bumi tuhan tidak berlagak dan bermanfaat kepada makhluk tuhan yang lain.

Melayari kehidupan dunia bukanlah semudah yang dipandang.Hidup perlu kepada kecekalan dan sabar yang teguh seiring bergantung harap kepada tuhan sekelian alam.Itulah yang dapat ditafsirkan dalam melihat tingkah laku seorang bapa yang menjadi ketua keluarga kepada kami semua.

Segala kesenangan yang dilimpahkan oleh allah dalam kehidupan ini diharap tidak melekakan diri dan lalai dari menjadi seorang hamba yang patuh kepadaNYA,anak soleh yang tidak mengguriskan walaupun sekecil benang akan perasaan dan hati kedua ibubapa dan hamba yang mampu memberi manfaat kepada insan lain supaya kehadiran daku didunia yang sementara ini ada nilai disisiNYA dan bukan menjadi pemberat bumi allah semata-mata.

Biar tidak berharta tapi berilmu..

Biar tidak ternama tapi berakhlak..

Biarlah mundur pada nilaian mata dunia daripada menjadi seorang hamba allah yang dicemuh olehNya..

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP