ITU KURNIAAN TUHANMU

>> Friday, April 23, 2010

‘’Kita nak balik sebelum ke selepas maghrib?kalau lambat sangat nanti susah pulak nak balik kerumah’’ tanya saya kepada seorang sahabat yang turut mencari butiran mutiara ilmu diluar medan bilik kuliah.Bilangan sahabat yang turut sama bertalaqqi al quran tidaklah ramai,hanya empat orang sahaja.

‘’Emm…sebelum maghrib pun ok jugak…lagipun malam ni ana ada kerja nak kena settlekan..’’jawabnya memberi cadangan.

‘’Ok set ..sebelum maghrib kita mintak izin dari syeikh untk beransur..’’.setuju!

Setelah selesai giliran semua membaca a-lquran di hadapan syeikh,dengan penuh rasa hormat kami memohon untuk pulang memandangkan hari sudah semakin gelap.Perjalanan pun memakan masa sekitar sejam lebih.Ini tidak termasuk masa menunggu di stesen bas lagi.

Untuk sampai ke stesen bas utama zarqa’,kami perlu mengambil bas di tepi jalan untuk kesana.Matahari kian melabuhkan cahayanya di sebelah barat.Diberikan pula laluan kepada sang bulan mengambil kerja bagi menyinari kegelapan dikala malam yang bakal tiba.Begitu aturan tuhan yang maha kuasa.

Dalam kepenatan,saya mengambil tempat duduk yang paling belakang sekali oleh kerana semua kerusi sudah penuh dengan penumpang arab yang lain.Di sebelah belakang saya duduk bersebelahan dan terpaksa berhimpit sedikit dengan dengan para penumpang.

’’Alhamdulillah selesai sudah sesi pengajian hari ini’’,ucapan syukur dipanjatkan kepada ilahi sambil melontarkan pandangan keluar tingkap.Leka melihat gelagat manusia yang berada di sepanjang tepian jalan.Masing-masing seolah berkejaran dalam urusan mereka.Mungkin disebabkan waktu yang makin senja dan azan maghrib kurang lebih tidak lama lagi akan dilaungkan.Menandakan cukuplah wahai manusia urusan duniawimu untuk hari ini.Tibanya ketika urusan kamu dengan tuhanmu pula.

Sepanjang perjalanan,saya mengamati perbualan pemuda arab yang sedang menalifon sahabatnya.Begitu rancak sekali berbual sehingga dia tidak sedar ada yang memerhatikannya.

''Ya ahmad..aina anta?ana fil bas al’ann..kaman nus saah saufa akuun huna,masyi hal''

''laa’…intazhirni,ana al’an fi t thoriq.muhammad maujud hunaa?''

''Toyyib.. intazhirni..insyallah kaman nus saah''……bla,bla,bla..

Satu persatu saya amati susunan perbualannya supaya dapat menyusun kata-kata seperti mana warga jordan bertutur.Mudah mudahan ianya dapat jadikan ilmu dan mudah untuk berintraksi dengan rakyat Jordan ketika berurusan dan bercakap.

Sesudah bercakap dia meletakkan panggilannya.Untuk kali kedua dia meletakkan talifon di hujung telinga.Pada fikiran saya, dia sedang bersedia untuk memberi salam kepada si pemanggil,tetapi bukan salam yang diajukan,tetapi hanya mendengar bunyi bip setiap nombor untuk membuat panggilan.Sekali tekan cancel,sekali tekan salah.Begitulah diulang-ulang beberapa kali untuk mendengar bunyi bip talifonnya sehinggalah dia dapat mendail nombor yang dikehendaki.

Rupa-rupanya dia adalah si buta.Agak terkejut kerana tidak menyangka dia adalah si buta yang berusaha untuk menalifon seseorang. Oleh kerana tidak dapat melihat nombor yang ada di butang dan papar skrin,dia membuat panggilan hanya dengan mendengar bunyi ''bip'' melalui talifon sahaja.

Betapa berharganya sebuah nikmat yang bernama penglihatan.Duduk termenung sendirian bila terlihat keadaan si pemuda tadi..........Masyaallah !!

’’macam mana nanti dia nak berjalan?’’

‘’siapa yang akan bantu dia selepas turun dari bas sekejap lagi?nanti tersilap naik bas pulak..’’Timbul rasa kasihan dalam hati.Hanya dapat memohon kepada allah supaya dipermudahkan baginya segala urusan harian yang akan dilaluinya dalam kehidupan.

Mungkin kita pernah melihat si buta berjalan dengan dibantu oleh tongkat putih.Setiap kali sebelum melangkah,tongkatnya dihayun untuk memastikan langkah yang seterusnya tiada benda yang menghalang dihadapan.Dengan perlahan-lahan langkahan diatur agar tidak tersungkur dan terjatuh.Mungkin dihadapan nanti ada lubang yang besar atau objek keras dan jika tersilap langkah,akibatnya akan dirasai.Jika bernasib baik pula,mungkin ada yang sudi untuk memimpin tangannya untuk sampai ke tempat yang dituju.

Begitulah kehidupan seorang yang telah ditarik atau tidak berpeluang langsung untuk mengecapi nikmat penglihatan yang diberikan oleh allah kepada makhluk yang lain.Baginya siang dan malam adalah satu alam yang sama.Tiada beza samada mentari terbit ataupun bulan menjelma.Hanya kegelapan yang ada dalam kehidupannya. Kegelapan itulah ditafsirkan sebagai cahaya dan kegelapan jugalah gelita baginya.Teringin sekali harapannya untuk melihat pelangi yang indah,awan yang memutih,lautan yang luas dan seluruh alam yang diciptakan oleh Allah dengan penuh keindahan.

Jika dibicarakan kepadanya begitu cantik sekali bunga yang harum,mungkin padanya tiada guna.Hanya sekadar dapat menghidu wangian bunga itu tanpa dapat melihat bentuk bunga tersebut yang cantik.Alangkah bertuahnya jika dapat menghidu wanginya dan juga dapat melihat bentuk bunga yang mengeluarkan bauwan semerbak itu.

Apatah lagi jika diberitahu tentang cantiknya awan putih yang berarak di dada langit.kehijauan pokok yang rendang.kebiruan air laut yang terbentang luas,bentuk bulan purnama,bintang dan segala isi dunia.

Bagaimana agaknya mereka menggambarkan indahnya alam ciptaan allah ini.

Tapi apakan daya kerana nikmat itu bukan milikknya.Alangkah baiknya jika daku dapat melihat kesemua ciptaan allah yang maha sempurna ini.Mungkin pernah terdetik dalam sanubari si buta keinginan seperti ini.

Bagi manusia yang mampu melihat,Jarang sekali ungkapan syukur tanda terima kasih kepada Allah keluar dari lidah walaupun dia dipilih untuk memiliki kesempurnaan berbanding yang tidak bernasib baik.Bagaimanakah agaknya jika kita yang dipilih untuk duduk ditempat si buta itu??


KESEMPURNAAN ITU MILIKMU


Segala anggota yang ada di badan adalah pinjaman semata-mata.Sekali pandang seolah-olah hanya benda yang tiada harga pada pandangan kita sebagai manusia.Jika hilang barulah merasakan betapa berharganya pemberian dari allah tuhan yang maha agung.Mata digunakan untuk melihat,hidung untuk bernafas,tangan untuk memegang,kaki untuk melangkah dan bermacam-macam lagi nikmat yang diberikan untuk memilikinya.Pernahkah terfikir jika segala anggota ini sudah tidak lagi kita miliki??

Betapa susahnya hidup!!

Manusia amat bergantung kepada setiap anggota pancaindera yang memang diciptakan allah untuk kemudahan mereka.Mungkin kita selalu mendengar di dalam tazkirah ataupun siri ceramah yang disampaikan,banyak membicarakan tentang nikmat yang diberi secara percuma tanpa diminta dibayarnya.Oleh kerana itulah segala nikmat yang berikan ini adalah satu hadiah dari allah swt.Belum sempat berbakti dan dibuktikan kepadaNYA bahawa kitalah makhluk yang paling layak untuk mendapat pemberian yang begini mahal dengan kedudukan sebagai hamba,akan tetapi sudah diberikan bermacam kurniaan yang tidak terhingga oleh NYA.Tapi sedikit pun manusia tidak pernah rasa bersyukur atas nikmat yang dikecapi?

Sungguh angkuh manusia itu!!

Dalam hari yang dilalui sebagai hamba yang diberikan kurniaan nikmat, berapa banyak kalimah ‘’Alhamdulillah’’ yang dilafazkan?berapa banyak tasbih dan tahmid memujiNYA sebagai tanda syukur?Hisab diri ,tepuk dada tanya iman.Adakah tidak berasa malu dengan pemberian yang percuma ini tanpa dipinta untuk dibayar walaupun satu sen kepadaNYA.

Jika kita mendapatkan khidmat manusia sudah tentu ada bayaran dan cas yang perlu dibayar kepada mereka.Seperti , cas perkhidmatan membaiki kereta,membaiki motor,membaiki talifon dan sebagainya.Tapi pernahkah kita dipinta untuk membayar cas perkhidmatan atau harga sewa seluruh anggota pancaindera dari allah yang sudah kita kecapi sepanjang hidup hingga ke hari ini?

Adakah kerana ianya tiada harga lantas tidak diminta pun harga sebuah nikmat itu?Ataupun kerana ianya sama taraf seperti dengan batu-batu ditepi jalan yang tidak layak pun diletakkan nilai yang berharga seperti wang,emas dan sebagainya?Oleh kerana itu,semua nikmat tidak diminta bayaran dari seluruh makhluk ini?

Sebegitu murah sekali manusia menilai nikmat tuhan yang mahal.

Bukan kerana tiada nilai.Bukan juga kerana ianya tidak istimewa.Segala nikmat yang diberikan bukanlah tiada harga ,cuma tidak mampu untuk disamakan dengan nilai duit atau harta benda lain kerana ianya teramat mahal dan tiada jumlah yang mampu untuk diletakkan kepadanya.Jika digantikan sebentuk kuku asli dengan kuku palsu yang terbaik pun tetap tidak akan dapat menandingi pemberian allah yang asal itu.Lantas DIA memberikan hadiah yang paling bernilai ini kepada manusia dengan harapan supaya manusia ini tahu untuk menyelami erti syukur kepadaNYA.


Firman allah swt.


’يبني ءادم قد أنزلنا عليكم لباسا يواري سوءتكم وريشا,ولباس التقوى ذلك خير,ذلك من ءايات الله لعلكم يذكرون.’

Mafhumnya:

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).


وأما بنعمة ربك فحدث



Mafhumnya:

Dan tentang nikmat tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya(dengan bersyukur).


Inilah kasih allah kepada hambanya walaupun selalu bongkak dan melupainya.Berusahalah semampu mungkin untuk menjadi seorang hamba yang tahu menyelami erti syukur kepadaNYA diatas segala nikmat dan pemberian.Dikhuatiri jika diri kita ini hanyalah seorang makhluk yang melata didunia miliknya,tapi berlagak sombong seakan dunia ini kita yang empunya.Bagaimanakah pandangan Allah kepada si sombong ini.

Ajar-ajarkan diri supaya selalu meniti di bibir mulut kalimah tahmid memujiNYA seiring amalan yang membuktikan rasa kebersyukran diatas nikmat itu.Cukuplah si buta sebagai pengajaran dan iktibar bagi kita selaku makhluk yang dikurniakan kesempurnaan dalam kejadian agar dalam setiap sujud dihadapan Allah betul-betul merasai bahawa kita hanyalah hamba yang bergantung harap kepadanya .Jika kamu bersyukur pasti akan ditambah nikmat keatas dirimu.




Begitulah janji tuhan yang maha benar.!

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP