MENJADI SUPERMAN YANG BERANI

>> Tuesday, April 27, 2010



Jadual harian berjalan seperti biasa.Tepat pukul 8 pagi kaki mesti melangkah keluar dari rumah menuju ke universiti..Bermula dari pakaian yang kemas hinggalah kepada buku rujukan setiap subjek yang perlu dibawa pada kelas yang bakal dihadiri,semuanya mesti dimasukkan dalam beg untuk bersiap kemedan ilmu.Begitulah rutin harian yang dilalui sebagai seorang pelajar universiti.Tidak kira apa jua keadaan atau musim yang dilalui bersama.

Musim sejuk,bunga,luruh mahupun musim panas tidak menjadi penghalang untuk semua pelajar meneruskan pengajian disini.Langkahan mesti diatur supaya impian dan cita-cita dapat digenggam.Berbekalkan semangat dan doa menjadi pembakar diri untuk terus mara kemedan ilmu.

“kamu semua dihadapan ini perlu memiliki jiwa yang besar,bersemangat yang tinggi,tidak mudah lemah dan mempunyai jati diri yang kuat.”Pesan doktor Azmi taha kepada para pelajarnya dalam syarahan yang disampaikan pada pagi itu.Seorang profesor yang berkelulusan doktor falsafah dari salah sebuah pusat pengajian universiti di Britan.Umurnya dalam lingkungan 60an.

Kedudukan saya dalam kelas itu di barisan kerusi yang kedua.Jelas kedengaran setiap nasihat dan syarahan yang diberikan. Saya meneliti satu persatu penerangan yang disampai berkaitan tentang akhlak.Banyak perkara yang dibincangkan olehnya.Tidak kurang juga para pelajar melontarkan idea dan pandangan masing-masing.

“kamu semua pemuda dan pemudi perlu kuat,jangan hanya jika ditolak sebegini sudah jatuh ke tanah.lembik tidak bertenaga !! ” Beliau membuat aksi dengan menolak badannya sendiri supaya para pelajar lebih memahami apa yang dibicarakan dengan gelagat yang sedikit lucu.

Serentak kedengaran tawa bergema dalam dewan kuliah oleh para pelajar dek gurauan oleh profesor tadi.Saya memandangnya dengan hanya tersenyum di tempat duduk sahaja.Pandai juga doktor ini membuat aksi lucu sehingga seluruh pelajar tergelak.Perlu juga kepada aksi gurauan sebegitu supaya perjalanan kuliah tidaklah boring dan tepu dengan maklumat yang terlalu banyak.Ini juga akan mebuatkan pelajar dan siapa sahaja yang mendengarnya terasa bosan.

“kamu perlu berani !!.”Tegasnya dalam nada yang sedikit kuat.Jelas kelihatan raut muka diwajahnya akan semangat keberanian dan keyakinan.

“Menjadi berani.” Itulah ungkapan yang saya ucapkan setelah bertahun-tahun merasai hidup di negara yang mempunyai empat musim atau lebih dikenali dengan ardhu syam,Jordan.


Pertama kali menjejakkan kaki disebuah bumi yang ada disebutkan dalam ayat suci al quran ini, diri saya seolah-olah dihumban ke planet lain. Segalanya berubah. Semuanya berbeza dari apa yang dilalui di Malaysia negaraku tercinta.

Watak manusia disini yang sifatnya tidak sama dengan apa yang ada pada masyarakat asia khususnya Malaysia sudah melayarkan sesuatu kelainan buat diri yang selama ini dicorakkan dengan sifat berlemah-lembut, sopan santun, tidak bercakap dengan nada yang meninggi. Kerana adat melayu telah terpatri sekian lama sedari kecil.

Pernah juga ketika saya di Malaysia dulu orang mengatakan saya ini mulut manis,selalu tersenyum.Bukankah senyuman itu satu sedekah dan ianya tidak perlu mengeluarkan satu sen pun dari saku.

Namun, ianya berputar 90 darjah ke belakang. Menterbalikkan sikap dan sifat kemelayuan setelah terhidang dunia baru. Dunia baru yang mengejar erti keberanian, kecekalan dan ketabahan.Saya yang dahulunya dikenali dengan seorang yang bermulut manis dan sopan sudah bertukar menjadi lelaki yang sedikit tegas.

Pernah suatu malam di musim sejuk ketika saya keluar bersama dengan sahabat untuk membeli barang kelengkapan rumah di pasar, saya bersama teman-teman menuju ke arah deretan kedai yang masih berurus niaga dengan pelanggan. Ketika itu cuaca sejuk mula berhembus tenang, menyelinap ke liang roma. Kesejukan tahap permulaan sudah berjaya mendinginkan tubuh kami berketurunan nusantara. Saya menyarung beberapa lapis baju tebal untuk melindungi dari kesejukan.

Ketika dalam perjalanan untuk membeli sedikit barang saya disekat oleh dua orang pemuda arab yang lagaknya seakan untuk mengusik.Mereka berdua menyekat perjalanan saya dari terus maju seakan sengaja untuk menunjukkan dirinya ganas.

“Ismahli ya sodi’..”saya meminta jalan dari mereka supaya dapat membuka sedikit ruang untuk saya lalu.

Mereka hanya sekadar membuat tidak faham dan masih menghalang perjalanan sambil menyentuh baju sejuk yang berada ditubuh saya.Ternyata hembusan angin yang sejuk pada malam itu nampaknya tidak mampu menyejukkan hati saya yang tercabar dengan gelagat dan ejekan mereka berdua.

Tanpa membuang masa dan dengan sekuat tenaga saya merempuh badan mereka walaupun dari sudut fizikal tubuh mereka yang berbangsa arab lebih besar jika hendak dibandingkan dengan tuduh saya yang berketurunan asia.Kelihatan mereka sedikit terkejut dengan tindakan yang saya buat.

Cukuplah dengan rempuhan itu membuktikan bahawa walaupn dari sudut zahir tampak biasa,tidak mustahil mampu untuk menjatuhkan lawannya yang lebih besar.Tidak berminat rasanya untuk terus berkelahi dengan pemuda jalanan yang tidak berakhlak seperti itu.Hanya kemaafan mengiringi peristiwa tersebut dan doa dipanjatkan supaya mereka berubah kepada akhlak yang lebih baik kerana mereka adalah pemuda islam yang sepatutnya memiliki syakhsiah yang terpuji dan jiwa yang hebat demi mempertahankan islam dan mendaulatkannya.Bukan menjadi seperti sampah yang bertebaran ditepian jalan.Tiada harga !

Begitulah lumrah kehidupan yang mengajarkan saya disini supaya bersikap berani dan kental.Banyak lagi peristiwa seperti ini yang membuatkan sifat keberanian makin menyerap kedalam jiwa kelakian muslim ini.

Pernah sekali saya menengking seorang pemuda kerana mempermainkan janjinya kepada saya untuk menyiapkan urusan ‘iqamah’ ataupun kad pengenalan Jordan saya disini.Sudah bebulan lamanya para pelajar Malaysia menyerahkan segala dokumen penting kepadanya untuk menyiapkan iqamah masing-masing,tapi apa yang dijanjikan olehnya untuk menyiapkan dengan kadar secepat mungkin sudah menjangkau lima bulan lamanya.walhal,perkara itu hanya boleh disiapkan dalam tempoh dua atau tiga minggu sahaja.

“kamu sepatutnya bertanggungjawab dalam urusan ini,jangan kamu salahkan kepada pihak lain jika kamu tidak menjalankan kerja dengan amanah”Tegas saya kepadanya dalam nada yang tinggi dan berbaur sedikit marah.

Kawan saya yang berada dikerusi depan agak tecengang dengan tindakan saya memarahi pemuda tersebut.Beliau dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusn universiti untuk menguruskan hal urusan iqamah semua pelajar Malaysia.

Dia hanya tunduk menyepi seribu bahasa.Kertas dan fail yang ada diatas mejanya dibukak satu persatu tanpa ada sehelai kertas pun yang diambil.Walaupun begitu,sebelum beredar sempat saya memohon seribu kemaafan darinya atas kekasaran tadi dan menasihatinya supaya mempercepatkan urusan yang ditaklifkan agar urusan semua pelajar yang masih belum mendapatkan iqamah termasuk saya dapat disiapkan dengan kadar secepat mungkin.


Walaupun dalam ketegasan dan keberanian,perlu juga memiliki sifat sabar dan cepat bertenang.Jika tidak, akan berlakulah peperangan dunia ketiga dalam sejarah dunia.Bukanlah niat dihati untuk bertindak seperti itu,tetapi keadaan memaksa supaya beliau tidak lagi melengahkan urusan yang penting ini.

Perasaan itu kini semakin beransur hilang dihembus pawana bumi syam yang indah. Ianya lenyap dicelahan pepohon zaitun yang berdebu. Ianya terbang dibawa angin menuju ke tanah gersang. Ianya tenggelam bersama monumen sejarah silam yang ada di bumi berkat ini.

KEBERANIAN YANG MEMBERI FAEDAH

“Rasa bertuah juga kita boleh belajar di bumi Jordan ini..”

“Yerlah, bila balik Malaysia jadi berani berhadapan dengan masyarakat umum..” Saya terus menyambung perbualan bersama seorang sahabat ketika menzirahi rumahnya. Pelbagai pengalaman kami kongsikan bersama malam minggu itu. Cerita-cerita bersama masyarakat Malaysia menjadi topik utama kami memandangkan masing-masing ada kisah tersendiri.

Bagi saya, saya sendiri mengakui akan kelainan itu. Suatu ketika dulu saya pernah dijemput untuk membacakan doa di hadapan ratusan pelajar ketika perhimpunan mingguan sekolah. Saya cuba mengagahi, walaupun pada hakikatnya hati saya berdebar kencang bagai mahu meletup. Lutut bergetar tanpa dibuat-buat. Entah doa apa yang saya baca ketika itu, kerana perasaan saya hilang bersama ketakutan yang amat.

Mahu berbicara di hadapan khalayak juga tidak mampu, malah seringkali mengelak. Terlalu takut untuk menjadi pemimpin. Jangankan mahu menjadi imam surau, menjadi muazzin juga sudah menggeletar. Hilang lagu alunan azan entah ke mana.

Tetapi setelah berbekalkan dengan sedikit pengalaman dan latihan diri,mampu jugalah dalam kekurangan untuk menguruskan sebuah kelompok pelajar yang agak besar bilangannya walaupun ditempuh dengan seribu mehnah ujian dan kerenah manusia yang bermacam-macam jenis.

LA TAKHAF, INNALLAHHA MA’ANA

Demi Allah! Semenjak tiba di bumi Jordan, perasaan yang dahulunya penakut beransur-ansur berubah. Allah SWT menghantar saya ke sini disertai hikmah yang tak mampu dihitung sepuluh jari. Saya terlalu bersyukur dengan kenikmatan kekuatan ini. Semoga ianya berterusan hingga ke akhirnya. Mengapa harus takut untuk berhadapan khalayak, sedangkan kamu adalah penyebar dakwah, kamu adalah pemimpin, kamu adalah Khalifah!

Allah bersamamu. La takhaf !

Jika hari-hari kita tidak memikirkan akan perubahan ke arah kebaikan, nescaya teramat sesuai untuk bertemankan ‘katak di bawah tempurung’. Definisi HIJRAH itu sewajarnya difahami dan dipraktikkan. Usah biar ianya bermain di bibir mungil tanpa rasa ingin menyelami.Binalah sebuah anjakan, kerana proses itu pasti membuahkan hikmah.

MOTIVASI DIRI

Saat dirundung resah gelisah, disamping berdoa kepada Azza Wajalla, saya seringkali menjadikan tokoh-tokoh sejarah sebagai wasilah memotivasikan diri. Berputar ke belakang kembali menyelak sirah perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat, tabie’, tabi’en dan ulama’ auliyaullah ketika berhadapan kesukaran.

Mereka terlalu berani menegakkan kebenaran. Kekaguman itu sedikit sebanyak melampiaskan perasaan motivasi diri untuk berdepan dengan dugaan hidup.

Salah seorang tokoh yang saya kagumi adalah Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat. Keberaniannya menyatakan kebenaran membuatkan beliau dihormati rakyat jelata. Segenap pelusuk masyarakat mengenali dan mengkagumi beliau walaupun mereka berada di utara mahupun selatan Malaysia.Oleh itu bersamalah kita berusaha untuk menjadi seorang pemuda dan pemudi yang berani dalam menegakkan kebenaran.

Agar agama kita yang sekian lama dipertahankan oleh para mujahidin islam tidak dihina oleh golongan kuffar.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP