BORN TO LOVE

>> Monday, April 26, 2010



“Apa erti cinta ya?”

Soal salah seorang sahabat saya yang sedang khusyuk membaca buku aku terima nikahnya yang dikarang oleh ustaz hasrizal ketika kami sedang duduk bersama dalam sebuah bilik.

Kelihatan semua yang ada dalamnya sedang khusyuk melayan urusan masing-masing tanpa menjawab soalan yang diajukan kepada umum itu.

Keadaan sunyi tanpa bisikan suara manusia.Hanya kedengaran bunyi kipas yang sedang berputar mengisbaskan angin dalam bilik tersebut.

“Asfa,tahu ke apa jawapannya?”Soalan yang tadi diajukan kepada umum kini ditujukan khas untuk saya menjawabnya.

Pandangan saya beralih kepadanya dari menatap muka depan surat khabar bahasa arab yang dari tadi saya membacanya.Hanya dengan mengangkat kedua belah bahu sahaja tanda jawapan kepada soalannya itu.Tidak mampu rasanya untuk saya menjawab soalan yang sebegitu rupa kerana istilah cinta pun jarang diungkap.Apatah lagi merasakannya.

“Alaa,apa susah..itu pun nak tanya ke?Cinta tu sayang lah..macam lah kau tak tahu maksud cinta".Jawapan ringkas yang diberikan oleh salah seorang sahabat yang turut sama berada dalam ruangan bilik tersebut.Sekitar lima orang semuanya.Masing-masing membuat hal sendiri.

Saya hanya mendengar jawapan yang diberi.Membiarkan soalan yang diajukan khas kepada saya tadi dijawab oleh yang lebih pakar dalam bab begini.Sekadar memerhatikan perbualan yang selanjutnya tanpa mencelah untuk menambah kepada jawapan itu.Lebih memilih untuk mendiamkan diri dari bersuara.

Dalam masa yang sama,sebenarnya saya turut juga memikirkan apa yang dimaksudkan dengan “cinta”.Pada saya,istilah atau kalimah inilah yang paling tidak disukai dizaman persekolahan dahulu.Boleh dikatakan apabila mendengarnya seakan membuatkan badan terasa geli.Entah kenapa pun saya kurang pasti juga.Itu mungkin kerana faktor umur yang masih tidak matang dan pemikiran yang ala kebudak-budakan lagi.

“Sekarang,sudah matang ke aku?umur semakin meningkat dewasa”.Umur ketika ini sudah pun menjangkau 20an.Bermakna pemikiran pun sudah berbeza jika dibandingkan dengan waktu zaman persekolahan dahulu.Getus hati saya bersendirian dalam diam.

Kenapa tiba-tiba tanya pasal cinta ni?,ada bekenan kat seseorang ke ? ” Tanya saya kepadanya kembali sambil menduga.

“Eh,mana ada..sekadar soalan je asfa.jangan salah anggap”.Jawabnya sambil tersenyum malu.Penuh bermakna dalam simpulan tersebut.

Alhamdulillah, petanda yang baik.Mungkin ada diantara kami ini yang bakal membina masjid tidak lama lagi.

Ketahuilah sahabat,jika sekiranya kamu berbicara tentang perihal cinta dan kepada siapa yang berhak diberikan cinta itu,padaku hanyalah kepada Allah sahaja yang paling layak kamu serahkannya kerana dia amat menyintai kamu sebagai hambanya.Itu sahaja yang daku fahami tentang kalimah tersebut selama ini.


DILAHIRKAN UNTUK MENYINTAI DAN DICINTAI


Benarkah kenyataan ini? Benarkan kejadian manusia dibangkitkan untuk menyintai? Jika tidak benar, mengapa harus ada cinta? Mengapa Allah Subhanahu Wata’ala membekali manusia dengan naluri untuk bercinta?

Sesungguhnya, Allah adalah Tuhan Yang Maha Menyintai – sifat ar-Rahman dan ar-Rahim sudah cukup membuktikan hakikat ini. Hakikat bahawa Allah menyintai hamba-hambaNya, malah sangat menyintai hamba-hambaNya yang taat, patuh dan menyintai Allah Subhanahu Wata’ala dan RasulNya.

Buah bicara cinta ini telah dituturkan Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam:

Riwayat Mu’adz dari Nabi Sallallahhu Alaihi Wa Sallam ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Allah Azza Wajalla berfirman: Orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranku, mereka mempunyai mimbar dari cahaya, di mana para Nabi dan para syuhada’ merasa iri kepada mereka.” (HR. Tirmidzi)

Maka tidak hairanlah Allah Yang Maha Cinta mengurniakan rasa kecintaan yang hebat itu kepada hamba-hambaNya yang beriman. Rasa cinta yang begitu sulit untuk dituturkan oleh lidah yang berbicara. Sukar untuk dititipkan pada warkah kusam.

Pernah Abu Hurairah meriwayatkan hadis dari Nabi Muhammad Solallahhu Alaihi Wassalam bahawa ada seorang lelaki yang ingin mengunjungi saudaranya di desa lain. Lalu Allah SWT mengutuskan malaikat untuk menghadangnya di jalan.

Setelah bertemu, malaikat itu berkata: “Kemanakah kamu mahu pergi?”

“Aku ingin mengunjungi saudaraku di desa ini.” Jawab lelaki itu.

“Apakah engkau mempunyai kepentingan terhadapnya?”

Lalu ia berkata. “Tidak, hanya kerana aku menyintainya kerana Allah SWT.”

Malaikat berkata: “Aku adalah utusan Allah kepadamu, bahawa Allah telah menyintaimu sebagaimana engkau menyintai saudaramu.” (HR. Muslim)

Allah Subhanahu Wata’ala berhak memberi rasa cinta agungnya kepada sesiapa yang tidak melupai hakikat rasa cinta pada Ilahi. Melupai Allah bererti cintanya bukan lagi suci. Tidak lagi sejernih cinta agung yang menjadi idaman hati-hati para pencinta. Rasa cinta tanpa adanya Pencipta – mampu bergoyah dan berkecai, hancur lebur tiada kesan yang mengesankan.

Cintailah kamu kepada siapa saja – Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam, Ibu bapa, kekasih hatimu (suami/isteri), sahabat dan teman-temanmu, tetapi ikatkan tali cinta itu pada yang SATU, tiada dua dan tiga. Pasti pahit hempedu menjadi manis persis madu, panasnya bara api menjadi sejuk sesegar air dipergunungan, peritnya hidup menjadi semudah lidah bertutur mesra.Kerana kita sememangnya dilahirkan untuk menyintai dan dicintai.

Tertarik pada bicara hikmah malam itu yang mengisahkan perihal cintanya isteri Baginda Sallallahhu Alaihi Wa Sallam yang pertama – Saidatina Khadijah r.anha. Bagaimana bermula pertemuan dan hasilnya membenihkan kuntuman cinta mekar mewangi selama-lamanya. Hatta wafatnya Saidatina Khadijah r.anha, Baginda Sallallahhu Alaihi Wa Sallam tetap saja mengingati dan menangisi kesan cinta isteri pertamanya.

“Saidatina Khadijah r.anha seorang yang menjaga kesucian dirinya.”Itulah diantara keistimewa yang ada pada dirinya.Teringat saya ceramah yang disampaikan di sebuah masjid berdekatan rumah saya oleh seorang ustaz ketika pulang ke malaysia tahun lepas.Kelihatan ramai juga pelajar politeknik kota bharu yang menuntut di situ turut hadir mendengar kuliah maghrib darinya.

“Beliau jarang sakit, sebab jaga kesihatan.. antara surah yang kerapkali dibacanya ialah surah Yusof.. beliau meninggal sebab dipulaukan oleh kaum Quraisy sehingga menyebabkan beliau tidak lalu makan dan meninggal dunia.”Sambung penceramah jemputan pada malam itu.

Perwatakan dan akhlak (agama) Saidatina Khadijah binti khuwailid bin Asad bin ‘Abdil ‘Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu’anha (bahasa arab : خديجة بنت خويلد‎) (555 M – 619 M) itulah antara kunci terikatnya rasa cinta agung antara dua insan. Malah beliau digelarkan sebagai digelar Al-Afifah Tohirah yang berdasarkan akhlak dan bukannya berdasarkan harta walaupun Saidatina Khadijah r.ah adalah seorang bangsawan dan tokoh masyarakat yang disegani.

“Memberi cinta pada suami adalah atas dasar akhlak, agama.. Cinta Saidatina Khadijah atas dasar iman.. Dia memberikan harta dan perlindungan kepada Nabi Muhammad Sallallahhu Alaihi Wa Sallam sebelum orang lain lakukan..” Ustaz Imran selaku penceramah jemputan meneruskan bicaranya. Suasana dalam masjid senyap seketika. Para pendengar kelihatan khusyuk mendengar butir bicara yang disampaikan.


RASA CINTA DAN DICINTAI

Atas dasar cintanya Saidatina Khadijah pada Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam dan pada perjuangan Islam itu sendiri, maka Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam begitu menyayanginya. Bahkan isteri pertama Baginda Sallallahhu Alaihi Wa Sallam tidak pernah dimadukan sehingga akhir hayat.

“Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar]

Justeru, beliau terkategori sebagai wanita syurga yang dijanjikan Allah SWT:

1. Saidatina Khadijah
2. Saidatina Fatimah az-Zahra’
3. Maryam
4. Asiah (isteri Fira’un)

Saidatina Khadijah r.anh bukan menyintai Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam kerana harta atau rupa paras. Tapi hatinya terpana tatkala berita tentang kejujuran, amanah, dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan melalui Maisarah kepada beliau. Lalu tersimpan hasrat keinginan hatinya untuk mendapatkan kebaikan itu. Kebaikan yang amat janggal di celah keripuhan masyarakat Jahiliyyah yang meraja.

Lantas beliau mengutuskan seseorang untuk menemui Rasululllah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Beliau menawarkan dirinya untuk dipersunting Muhammad Sallallahhu Alaihi Wa Sallam, seorang pemuda yang saat itu berusia baru berusia 25 tahun. Bahkan miskin dan yatim piatu – tidak punya harta. Akan tetapi kaya dengan nilai akhlak mulia dan tersohor luhur peribadinya.

Gambaran rasa cinta Saidatina Khadijah r.anh amat banyak dikhabarkan melalui kisah-kisah sejarah dan periwayatan hadis. Saat bergetar rasa takut bersangatan akibat penurunan wahyu pertama berwasilahkan malaikat Jibril a.s, beliaulah yang mengubati duka lara itu.

Baginda Sallallahhu Alaihi Wa Sallam lalu berkata: “Aku khuatir akan terjadi sesuatu pada diriku”. Beliau kemudiannya menyelimuti tubuh baginda dengan penuh belaian mesra demi memberi kekuatan jiwa dan menghadirkan rasa ketenangan.

Lantas, beliau menuturkan bicara hikmah yang membiaskan rasa tenang pada diri Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam. Menenangkan rasa gelora ombak di dada dan menyejukkan perasaan sebening air dikali.

“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana.”

“Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang diriku di tanganNya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini.”

Sewaktu Rasululllah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam berulang-alik ke gua hira’, beliau tidak pernah melarang ataupun menyakiti hati Baginda SAW, walaupun sering ditinggalkan. Sifat redha pada suami yang berjuang di jalan Allah SWT itulah tanda bahawa beliau mengikat cintanya pada suami dengan kecintaan yang kuat pada Jalla Wa’ala.

Biarlah secebis kisah sejarah yang dipaparkan ini mampu memberi rasa faham erti cinta sebenar yang didambakan. Akuilah, kita sememangnya dilahirkan untuk menyintai – Born To LOVE.

Ingin ku kutip kuntuman cinta itu yang berserakan,

Dan diukirkan pada bait-bait rasa yang tulus setia,

Tertadah pada dulang keredhaan,

Yang ESA,

Agar, jalinan itu mampu membawa ke syurga abadi.

_________________________________


p/s : Inilah jawapan saya untuk soalan yang ditanya pada malam itu.Agar ianya terjawab walaupun terlambat .Maaf ye sahabat.

Juga Untukmu dirimu duhai 'KAWAN'...

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP