HIDUPLAH SEPERTI LALANG

>> Wednesday, May 19, 2010



Kami berjalan seiringan melewati kedai di tengah pekan pada petang itu.Apabila sampai di sebuah restoren,kami semua melangkah masuk kedalamnya.Restoren yang menjadi tumpuan orang ramai itu juga menjadi pilihan kami untuk menghilangkan rasa penat setelah mengangkat barang dan membantu salah seorang sahabat mengemas rumah barunya.Maklumlah bakal mendirikan masjid tidak lama lagi,pengantin baru la katakan,jadi rumah pun kena cari yang baru juga.

“Nanti bila anta dah kahwin susah la nak gelak dengan anta macam selalu..Dah la rumah jauh dari kita orang..kami semua ni jangan dilupa ya !.”Usik seorang sahabat ketika sedang menunggu makanan yang ditempah.

Bermacam usikan yang sengaja dikenakan kepada sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.Kalau tidak ada arah melintang,Insyaallah bulan tujuh ini akan diadakan majlis perkahwinannya.Kelihatan terpancar seri bahagia diwajahnya.

Saya hanya mendiamkan diri dan mendengar sahaja usikan dari mereka.Kesian pula saya melihat kepadanya.Dari rumah barunya sampailah ke restoren ini,sahabat yang lain tidak puas mengusik beliau.Saya dari tadi yang hanya menahan diri untuk tidak turut sama mengusik akhirnya tergelak juga kerana tidak tahan dengan gurauan dari para sahabat yang lain.Kelihatan ada beberapa pemuda arab yang memandang kami bertujuh yang sedang berkumpul dan leka bersembang rancak.

Saya duduk diatas kerusi sambil melihat menu yang dilekatkan ke dinding restoren tersebut.Terdapat banyak makanan yang nampak pada gambarnya lazat sekali,tapi ianya tidak dapat menandingi roti canai dan keropok lekor yang terdapat di Malaysia.

“Sedap sekalipun makanan tu,sedap lagi keropok lekor panas”.Saya berceloteh sendirian sambil melihat gambar makanan tersebut.Tidak sabar pula rasanya untuk pulang ke tanah air tercinta.Mungkin ada sesuatu perkara yang membuatkan rasa tidak sabar ini semakin hari semakin kuat dirasa.Hanya ‘DIA’ sahaja yang tahu.Oh Malaysia negaraku.

Dalam kebanyakan menu yang tergantung itu,ada satu gambar hidangan yang menarik perhatian saya.Kelihatan sebuah hidangan yang diletakkan dalam pinggan dan dikelilingi oleh batang gandum dan sedikit lalang menghijau.Sengaja dibuat gambar seperti itu bagi kelihatan lebih menarik dan membuka selera untuk orang membelinya.

Agak lama juga saya memandang gambar tersebut.Bukan makanan itu yang ditatap tapi tumbuhan yang menjadi penghiasnya iaitu lalang.Kenapa lalang juga yang dipilih sedangkan banyak lagi bunga dan tumbuhan yang lebih cantik berbanding darinya.Saya sedang cuba untuk mentafsirkan keunikan dan kelebihan yang ada pada tumbuhan yang dipanggil lalang ini sendirian.


Apabila kita menyentuh sifat jati diri, lazimnya sifat tersebut dibandingkan dengan lalang, iaitu sejenis tumbuhan yang hidup di merata tempat. “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Kita perlu memiliki jati diri yang tidak mudah melentuk umpama lalang!”, demikian perumpamaan dan pesanan yang selalu diberi oleh kebanyakan orang kita.Agar kita lebih memahami bagaimana sifat jati diri boleh diumpamakan atau dicontohi dengan merujuk kepada lalang,

Jangan dipandang lalang itu adalah sejenis tumbuhan yang selalu dikaitan dengan perkara atau benda yang tidak baik sahaja.Marilah kita melihat lalang dari sudut prespektif yang positif pula.Lima sifat lalang yang begitu terserlah yang jarang manusia sedari.Mungkin di antara kita ada yang tidak menyedari atau terlepas pandang sifat yang ada pada tumbuhan yang Allah ciptakan ini.

Lalang biasanya dikaitkan dengan sikap manusia yang tidak teguh pada prinsip dan pegangan hidup.Sentiasa berubah dan bertukar arah bila ada faktor luaran yang datang memberi kesan pada diri.Tapi lalang juga berhak untuk ditamsilkan sebagai satu contoh pegangan dan prinsip yang utuh kepada manusia yang sebenarnya merekalah yang lebih teruk dari lalang yang mereka selalu katakan itu.Lalang pula menjadi mangsa penilaian manusia sedangkan merekalah yang sepatutnya mencontohi si lalang ini.

Akuilah wahai manusia !!


Lalang Tetap Kukuh Pada Dasarnya.

Benar bahawa lalang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Namun perhatikan betapa kuat sekali pun angin yang bertiup, lalang tidak terlepas daripada dasarnya. Pokok mungkin tumbang, atap rumah mungkin terangkat, tetapi lalang tetap pada dasarnya. Ia tidak berganjak walau sedikit jua.

Ini adalah salah satu sifat lalang yang patut dimiliki oleh umat Islam yang berjati diri. Kita patut, bahkan wajib, memiliki dasar yang kuat dalam pegangan agama kita. Dasar ini tidak berganjak sekali pun ditiup oleh pelbagai arus yang ingin memusnahkannya. Ia tetap berdiri pada dasarnya dalam diri kita sekali pun arus yang menentangnya mampu menumbangkan pokok dan menerbangkan atap.

Terdapat beberapa dasar yang membentuk asas agama kita. Namun dalam kesempatan ini, memadailah saya menyentuh dasar yang pertama, iaitu bahagian pertama daripada dua kalimah syahadah. Dasar ini menetapkan bahawa “Tidak ada tuhan selain Allah dan Nabi Muhmmad pesuruh Allah”. Berdasarkan “Tidak ada tuhan selain Allah”, maka kita umat Islam menetapkan bahawa tiada yang mampu melakukan peranan ketuhanan kecuali Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Iaitu tiada sesiapa atau apa-apa yang mampu mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya kecuali Allah Azza wa Jalla.

Berdasarkan perkara ini, kita memiliki jati kerohanian yang amat kukuh. Kita tidak kasih, berharap, takut, merujuk, taat dan bertujuan secara mutlak melainkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini berbeza dengan orang yang jati kerohaniannya amat lemah dimana dia sentiasa kasih, berharap, takut, merujuk, taat dan bertujuan kepada selain Allah. Akhirnya dia sentiasa lemah lagi hina kerana telah meletakkan makhluk sebagai tuhan bagi dirinya.


Lalang Mudah Melentuk Namun Tetap Berpaksi Pada Dasarnya.

Sifat lalang yang mudah melentuk tidak patut dipandang sebagai satu kelemahan. Ini kerana melentuk ke arah mana sekali pun, ia tetap berpaksi pada dasarnya. Berbeza dengan daun kering yang ditiup angin, ia terbang mengikuti angin dengan meninggalkan tempat asalnya. Ini barulah boleh dianggap sebagai satu kelemahan.

Sifat lalang yang kedua ini boleh kita rumuskan sebagai kukuh pada perkara dasar yang sememangnya tidak boleh berubah manakala fleksibel pada perkara cabang yang boleh disesuaikan dengan zaman dan tempat. Sifat ini adalah sesuatu yang patut dimiliki oleh umat Islam. Jati diri tidak bererti “besi diri”, iaitu kaku lagi lurus dalam semua perkara, tetapi berprinsip pada perkara yang dasar dan fleksibel pada perkara yang dibolehkan untuk bersikap fleksibel selagi mana ia tidak mengorbankan perkara yang dasar.

Sebagai contoh fesyen pemakaian kita.Maka apa jua fesyen yang dipakai, ia adalah fleksibel asalkan berpaksi kepada ajaran yang telah digariskan oleh islam.Bagi muslimah umpamanya, fesyen baju kurung Melayu, jubah Arab, jubah Pakistan (jubah berseluar) dibolehkan. Akan tetapi fesyen jean londeh tidak boleh kerana ia menampakkan perut serta pusat dan fesyen kebaya ketat tidak boleh kerana ia menampakkan bentuk badan.


Lalang Amat Sukar Dimusnahkan.

Sesiapa yang pernah ber“interaksi” dengan lalang pasti akan mengetahui bahawa ia amat sukar untuk dimusnahkan. Jika dipotong ia tumbuh kembali, jika dicabut ia mentunas kembali. Pilihan yang ada ialah mencabut hingga ke akarnya atau menyembur racun lalang. Ini juga tidak menjamin keberhasilan yang 100%. Tidak jarang ia tetap tumbuh semula.

Sifat lalang ini wajib ada pada diri kita umat Islam. Kita tidak boleh putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri daripada pelbagai arus yang bukan sahaja mencabar kita, tetapi seakan-akan ingin menenggelamkan kewujudan kita dan agama yang kita cintai. Maka sebagaimana lalang memiliki jati diri untuk terus hidup, kita umat Islam juga wajib memiliki jati diri yang jauh lebih kental untuk terus hidup menghadapi pelbagai arus yang menentang kita. Istilah putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri tidak boleh wujud dalam kamus umat Islam.


Lalang Mudah Dan Cepat Berkembang.

Lalang bukan sahaja sukar dimusnahkan, ia juga mudah lagi cepat berkembang. Pernah jumpa lalang yang tumbuh bersendirian? Tentu tidak. Ia mudah berkembang dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan tanah.

Sekali lagi, sifat ini perlu diteladani oleh umat Islam. Tidak cukup sekadar kita yang Islam, tetapi kita juga perlu berdakwah untuk mengembangkan Islam dan meletakkannya pada kedudukan yang tinggi lagi kukuh di dunia. Ini adalah amat penting supaya Islam dan umatnya sentiasa memiliki tempat di dunia ini, bahkan kembali menerajui tempat yang pertama berbanding umat yang lain.

Kita perlu sedar dan akur bahawa kedudukan hina yang dialami oleh umat Islam sekarang ini adalah disebabkan oleh kelemahan kita sendiri dan bukannya kekuatan umat lain. Badan yang lemah akan menjemput segala macam penyakit untuk menghinggapinya manakala badan yang kuat (sihat) akan mampu menahan apa jua penyakit. Penyakit sentiasa wujud, bezanya sama ada badan kita adalah lemah atau kuat.

Maka sebagaimana lalang bekerja keras untuk berkembang dalam pelbagai keadaan tanah, maka kita juga wajib bekerja keras untuk mendakwahkan Islam kepada pelbagai lapisan masyarakat dan suasana. Kita perlu berubah dari sifat pasif kepada aktif, lembab kepada cergas, jahil kepada berilmu, leka kepada berfikir, tidur kepada berjalan, berdiam kepada berbicara dan jumud kepada dinamik.

Dakwah itu sendiri terbahagi kepada dua, yang pertama adalah menjemput orang bukan Islam kepada Islam. Kedua adalah mengajak umat Islam untuk meningkatkan penghayatan Islam mereka (Islah) berdasarkan ilmu dan amalan. Sama ada yang pertama atau kedua, yang penting adalah cara dan hikmah dalam berdakwah. Tidak sedikit yang mengalami kegagalan dalam dakwah, bukan kerana kedegilan orang yang didakwahkan tetapi kesalahan dalam strategi berdakwah.


Lalang Mampu Memberi Pengaruh Kepada Manusia.

Cuba berjalan di kalangan lalang, pasti kulit kaki terasa miang. Wadus! Tumbuhan yang dianggap remeh oleh kebanyakan manusia mampu memberi pengaruh kepadanya? Ya! Begitulah hakikatnya. Tidak sekadar itu, lalang juga mampu memberi pengaruh dalam bentuk ia dapat dijadikan bahan membuat atap bagi pondok-pondok di kawasan pendalaman.

Pengajaran penting yang dapat diambil iktibar adalah, sekali pun dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya, kita masih mampu untuk menukar pandangan tersebut. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jika setiap daripada kita berusaha untuk memberi pengaruh yang positif kepada dunia dan manusia, pasti dunia akan mengubah pandangannya terhadap Islam dan kita. Akuilah bahawa dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya disebabkan oleh sikap kita sendiri yang selama ini amat minimum dalam memberi apa-apa pengaruh positif kepada dunia.

Pengaruh positif boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, daripada sekecil-kecil senyuman yang terukir di bibir sehinggalah kepada misi keselamatan dan kebajikan dalam rangka menolong seperti mangsa bencana. Daripada mengangkat paku di jalan sehinggalah kepada menyelamatkan haiwan liar yang tersesat di bandar. Daripada mengajar matematik kepada anak-anak miskin sehinggalah kepada mencipta penemuan ilmiah bagi menyelesaikan penyakit atau masalah yang dihadapi oleh manusia terkini. Senarai ini boleh berlanjutan tanpa batas.


Lalang Oh Lalang!

Di mana sahaja kita berada, ke mana sahaja kita pergi, sudah agak pasti kita akan menemui lalang. Jangan berpaling begitu sahaja, sebaliknya renungilah ia dan jadikanlah ia sebagai sumber iktibar mengukuhkan jati diri kita sebagai umat Islam. Sebagai manusia kita sering lupa atau terlanjur, maka lalang sentiasa ada untuk mengingatkan semula kejatian diri kita. Ingat! Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak mencipta sesuatu untuk sia-sia melainkan ia memiliki hikmah dan manfaat untuk kita.

Itulah sifat lalang yang sebenarnya

____________________________

p/s : Pandanglah sesuatu perkara dari sudut yang baik-baik selagi mana boleh disangka baik agar ianya memberi faedah kebaikan pada diri kita.

[ Juga selamat mendirikan masjid diucapkan kepada sahabat saya .I’m the first person wish to u “selamat pengantin baru “ walaupun belum kahwin lagi.Semoga berbahagia selalu hendaknya.Amin ]

Read more...

JIKA TIDAK KERANA KEBANGKITAN SEBUAH UMMAH !

>> Sunday, May 16, 2010





Setahun yang lepas:

“Esok datang irbid ya,ada meeting kabinet KMKJ sesi baru”

“Ana perlu pegi jugak ke amir?”

“Eh,mesti la perlu datang,ape pun esok kita jumpa di sana.Meeting mula pukul 9 pagi.Datang awal ye.”

Panggilan diletak.

Esok ke Irbid.Plan asal yang sudah dirancang terpaksa dibatalkan pula.Meeting pentadbiran kmkj sesi baru.Pasrah !

“Baik,sekarang semua telah mengetahui posisi jawatan yang disandang dalam sesi pentadbiran yang akan baru bermula.Diharap kamu semua dapat menerimanya dengan rasa penuh tanggungjawab.Laksanakanlah segala urusan kerja ikhlas semata-mata kerana Allah”.Sedikit Kata nasihat yang diberikan oleh mantan yang dipertua 07/08 kepada kami semua sebelum mengakhiri mesyuarat pada tengah hari itu.Ia diadakan selepas selesai pilihanraya dan untuk menentukan jawatan bagi semua Ahli majlis tertinggi bagi Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan sesi 08/09 yang baru membuka tirai pentadbirannya.

Semua yang ada dalam mesyuarat itu tertunduk kelu.Mungkin rasa sedikit terbeban dan risau takut sekiranya tidak dapat menggalasi tanggungjawab yang ditaklifkan dengan baik.

Saya pula terkebil sendirian.Entah apa yang terjadi pada diri hari ini pun saya tidak tahu.Masih tidak memahami kenapa dipanggil ke dalam mesyuarat seperti itu.Tambahan pula diberi tanggungjawab yang akan semuanya diletakkan atas bahu saya yang masih lagi baru di Jordan ini jika dibandingkan dengan para sahabat lain yang turut berada dalam mesyuarat sebentar tadi.

Pulang ke rumah dengan seribu kerisauan.Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

“Perlantikan semua ketua biro dan timbalan bila kita boleh buat?Perlantikan tak boleh tangguh lama sangat,nanti susah untuk susun aktiviti”.

Saya membaca mesej yang dihantar.Kedua mata saya terarah kepada skrin talifon.Sudah beberapa kali saya mengulangi membaca ayat yang sama.Fikiran saya jauh melayang memikirkan apa yang perlu dibuat untuk menyelsaikan masalah ini.Perlantikan biro dan menyusun aktiviti.

Masa dan waktu untuk mengadakan mesyuarat bagi perlantikan ketua dan timbalan biro telah ditetapkan.Alhamdulillah,ianya sudah selesai pada petang itu.Perbincangan aktiviti induk pun sudah dibentang bersama seluruh badan pengurus.

”Ya Allah,permudahkan segalanya untuk kami”.Doa saya mengharap bantuan dariNYA.

Sesungguhnya manusia hanya mampu untuk melakar dan merancang,yang menentukan segala perkara itu adalah Allah.Tuhan yang berkuasa keatas segala sesuatu perkara.Tiada perkara yang akan berlaku secara tiba-tiba kecuali dengan izin dan kehendak darinya.Segalanya sudah diatur dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki olehNYA.Maha besar tuhan sekelian alam.

“Asaalamualaikum azfar,dewan jamiah mu’tah untuk kita buat program hari raya aidiladha nanti tak diluluskan.Pihak jamiah kata ada program yang mereka akan buat pada hari yang sama.”Saya mendengar makluman yang diberi oleh pengarah sambutan hari raya haji yang bakal diadakan tidak lama lagi.Suaranya berbaur kerisauan dihujung talian.

“Owh,kenapa tiba-tiba tak boleh?biasanya mudah saje kan untuk dapat dewan tu? “saya bertanya dalam kerisauan pula.

“Tak tahu lah,biasanya memang mudah aje..tapi kebetulan hari yang kita akan buat program,hari tu jugak bertembung dengan program diaorang.Tapi tak apa,nanti saya usahakan untuk cari dewan lain untuk ganti dewan yang tak dapat ni,tapi dewan lain ni kena sewa la kot”.kata beliau.

“Kalau sewa dewan berapa anggaran sewanya?tambah sekali dengan bajet keseluruhan program nanti?”.Tanya saya mendapat kepastian.

“Dalam sekitar seribu dinar lebih jugak belanja keseluruhan”.

Huh…kalau ditukar pada kiraan nilai mata wang Ringgit Malaysia sudah mencecah hampir kepada lima ribu lebih ringgit Malaysia.Saya yang pada waktu itu sedang makan seakan hilang selera. Tidak lalu untuk terus menyuap makanan kemulut.Selera hilang dibawa kerisauan.Khuatair jika terpaksa membatalkan program tahunan yang memang sudah menjadi kewajipan pada setiap tahun untuk diadakan.Jika mengikut takwim aktiviti induk yang sudah dirancang,sekitar seminggu sahaja lagi tarikh program akan berlansung di mantiqah mu’tah.

“Ana risau kalau-kalau terpaksa guna bajet yang terlampau besar sekiranya menyewa dewan.Maklumlah ahli kmkj sudah mencecah hingga kepada seratus lebih jika dikumpulkan semua.Sudah tentu perlu kepada dewan yang besar untuk memuatkan semua ahli.Kalau tak,sardin la kita duduk dalam dewan kecil.”Sempat lagi seorang kawan saya melawak dalam kerisauan.

Kami sama terdiam melihat lantai.Masing-masing memikirkan masalah yang sama dalam bilik itu.Jika hendak ditukarkan tempat program ke mantiqah lain ianya mustahil kerana kalau mengikut giliran,pada tahun ini mu’tah lah yang akan menjadi tuan rumah kepada program sambutan hari raya.Ahli jawatan kuasa program pun sudah dilantik dan menjalankan tugas masing-masing.Tempohnya pula hanya seminggu sahaja lagi untuk tiba ke hari program.Diuji pula dengan dewan universiti tidak diluluskan.Sewa dewan pula mahal.Dibatalkan program pula tak boleh.

Saya kepeningan sendirian diwaktu itu.

Akhir sekali,Keputusan telah dibuat setelah berbincang bersama semua ahli pentadbiran.Kata sepakat telah diambil dari semua Ahli majlis tertinggi bahawa program mesti juga diteruskan walau terpaksa menyewa dewan.Ini kerana bagi mengelakkan masalah lain yang bakal timbul dikemudian hari.

Alhamdulillah,program sambutan hari raya berlajan dengan lancar.Tiada sebarang masalah semasa program berlansung.Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia dan Pengarah Atese pendidikan juga turut sama hadir memeriahkan program.Ramai para ahli yang hadir dan kelihatan gembira walaupun dalam sedikit kesejukan.Program berjalan dengan penuh ceria ditemani udara dingin dimusim sejuk.Ramai anak Kelantan dan anak perak yang hadir pada hari itu.Program berjalan dengan kerjasama Badan kebajikan anak negeri perak Jordan.

“Rahmat darimu ya Allah.Semoga ukhwah kami berpanjangan”.Doa saya apabila melihat suasana meriah dalam dewan itu.Penat perjalanan dari mafraq yang mengambil masa sekitar tiga jam untuk sampai ke tempat program seakan hilang.Gelak tawa dan suasana riuh dari semua membuatkan dewan terasa begitu ‘ happy ’.

“Cuba kamu sebutkan ayat ini.”Saya gi keda nak beli jabir rokrak”.Arah pengurusi majlis kepada salah seorang pelajar yang dipanggil naik ke atas pentas untuk mengambil hadiah bagi nombor cabutan bertuah.Sebelum mengambil hadiah,individu yang bertuah itu perlulah mengikut arahan pengerusi majlis untuk melakukan sesuatu.

“Saya gi keda nok beli jabir rokrak”.Dia menyebut ayat itu dalam kegugupan.Bunyinya agak sedikit pelik bila terkeluar dari mulut pelajar tersebut kerana itu adalah penggunaan bahasa pertuturan Kelantan sedangkan dia adalah kelahiran perak.

Dewan terus digegarkan dengan tawa yang kuat oleh semua yang hadir.Agak lucu pula bila terdengar pelajar itu menyebut perkataan ‘ jabir rokrak ‘ dengan mukanya yang sedikit kehairanan untuk mengeluarkan perkataan tersebut.

Kelihatan Ustaz Arman (Almarhum) juga tercuit hati dengan aksi lucu spontan yang dibuat oleh pelajar tersebut manakala Tuan Haji Sulaiman selaku pengarah Jabatan Penuntut Malaysia masih lagi tidak dapat menangkap apa sebenarnya kelucuan disebalik perkataan itu.Setelah diterangkan oleh Almarhum Ustaz Arman barulah beliau faham apa erti ‘jabir rokrak’ sebenarnya.

“Plastik rupanya azfar ya”.Beliau memberitahu saya.

“Aah ustaz,jabir rokrak tu maksudnya plastik.Biasanya orang kampung sahaja yang masih guna perkataan ni ”.Jelas saya kepada beliau sambil menuangkan air kedalam gelasnya.Ustaz Arman pula kelihatan sedang melayan anaknya makan.Meja kami berada dibahagian hadapan sekali manakala meja untuk para isteri tetamu jemputan khas ini diletakkan disebelah belakang sedikit tidak jauh dari meja yang kami duduk.

Setelah majlis tamat,saya menghantar para tetamu VIP ke kereta diiringi oleh Yang dipertua anak negeri Perak.Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya berikan kepada mereka kerana sudi hadir bersama kami semua dalam program ini.Memang sudah tidak asing lagi dikalangan para pelajar nama Tuan Haji Sulaiman bin Ismail.Seorang yang amat peramah dan mesra.

Beliau amat mudah didampingi oleh para pelajar dan sesiapa sahaja yang mengenalinya.Dia seolah tempat seluruh pelajar mengadu masalah dan meminta bantuan.Orangnya peramah dan baik hati membuatkan semua tidak putus-putus memuji sifat yang Allah anugerahkan kepada beliau.Inilah Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia kami di Jordan.Beliau jugalah yang banyak membantu dan memberi kata nasihat kepada saya dalam menguruskan segala gerak kerja persatuan.Seorang yang berdedikasi dan penuh dengan budi pekerti.

Secara tidak sedar ,setengah tahun sudah berlalu bagi sesi pentadbiran KMKJ kali ini.Setengah tahun ini jugalah banyak perkara yang mengajarkan erti sabar dan bertenang dengan beberapa kerenah manusia yang bermacam jenis.Ada dikalangan manusia saya menjumpainya susah untuk menerima hakikat dan kenyataan.Ada juga yang menjadi ‘pak turut’ untuk menyusahkan hidup manusia lain.

Begitulah juga Nabi Muhammad dizaman penyebaran islam sewaktu ketika dahulu.Ada yang menjadi kepala untuk menyekat penyebaran islam yang memang sudah mereka ketahui itu adalah yang hak dan satu agama yang benar.Sememangnya untuk menegakkan islam dan kebenaran ini sudah dijanjikan dengan cabaran dan dugaan yang perlu dihadapani dengan cekal dan sabar.Tidak pula dihampar dengan karpet merah dan emas permata kesenangan.Agar manusia mengerti bahawa tanpa bergantungnya kepada 'Khaliq' mereka tidak mampu untuk melangkah dan melaksanakan sesuatu urusan.

Terkadang pada fikiran saya,manusia ini perlu lebih banyak berada dalam kesusahan dari kesenangan kerana bila mereka sentiasa dalam keadaan senang dan selesa,manusia tidak akan memahami erti syukur dan tawakkal kepada tuhan.Bila susah dan dalam kesulitan barulah Allah sentiasa kekal dihati dan menjadi tempat bergantung.Itulah hakikat sebenar sifat manusia yang sombong.Bila senang Allah dilupakan,bila susah barulah menyebut dan mencari Allah untuk berlindung.Sememangnya Allah itu bersifat Pemurah dan Penyayang.Maha besar engkau duhai dzat yang maha sempurna.

Saya meneliti takwin dan jadual aktiviti tahunan KMKJ pada malam itu.Alhamdulillah,segala perancangan dan aktiviti yang diatur berjalan dengan lancar.Aktiviti dibawah biro pun kelihatan berjalan berdasarkan laporan yang diberikan.Bersyukur kepada Allah kerana pentadbiran KMKJ pada kali ini memiliki para anggota pentadbiran Amt ,Ketua biro bersama timbalannya yang semuanya hebat belaka.Jika dibandingkan dengan diri saya ini,mereka semua lebih banyak berusaha untuk meningkatkan prestasi dan kebajikan para ahli seluruh Jordan.

Bak kata pribahasa melayu “bersatu kita teguh,bercerai kita roboh”.Diatas dasar inilah segala kerja dapat dilaksanakan dengan baik dengan bantuan dan kerjasama dari mereka semua.



********

“ Kami nak meja ping pong !! “.Jelas suaranya berbunyi dalam talian.keras dan kuat.

Ada dikalangan ‘sahabat ‘ dan juga ahli KMKJ meminta agar pihak persatuan dapat membeli meja ping pong.Saya kelu seribu bahasa.Tidak tahu apa yang perlu untuk saya bagi jawapan kepada permintaan seperti ini.Hendak dijanjikan akan dibeli tidak berani pula kerana memang sudah saya menjangka harga sebuah meja ping pong itu bukanlah seperti harga sebiji gula gula dikedai runcit.Jika hendak dikatakan saya tidak bersetuju diawal lagi,melenting pula si peminta.Oleh kerana mahu menjaga hati dan mengawal keadaan,kalimah Insyallah sahaja yang mampu untuk saya keluarkan dari mulut.

”Jika ada rezeki kita beli ya !”.Terasa seolah melayan dan memujuk si anak kecil pula,Lucu.

Agak memeranjatkan saya bila disurvey harga sebuah meja ping pong di kedai alatan sukan.Harganya mencecah sehingga dua ratus dinar satu set.Jika membuat keputusan untuk membeli,perlu dibeli tiga set meja kerana ahli berpecah kepada tiga tempat yang masing-masing jauh jaraknya.Kalau beli satu sahaja tidak adil pula kepada ahli yang lain.Dimana hak kami untuk mendapatkan meja ping pong akan dipersoal nanti.Kalau hendak dikongsi dan dialih ke kawasan lain untuk bergilir agak mustahil kerana ia adalah sebuah meja yang besar dan agak susah untuk dialih dari satu tempat ke tempat yang lain.

Kalau beli tiga meja, sudah enam ratus dinar.Sebanyak tiga ribu Ringgit Malaysia sudah dihabiskan untuk semata meja ping pong sahaja sedangkan ia boleh dimanfaat kepada perkara yang lebih berguna dan munasabah.

Alasan yang agak logik ini berlegar difikiran saya.Mungkin ia boleh dijadikan sebab untuk saya membuat keputusan agar tidak membelinya walaupun pada waktu itu jika dikira dari sudut kewangan dan kemampuan ekonomi persatuan,tidak menjadi masalah untuk membeli meja tersebut,tapi bukan nafsu yang perlu diikut bahkan akal pertimbangan yang perlu diutamakan.

Dengan berat hati saya melangkah keluar dari kedai itu.

Penat sudah berusaha mencari kedai yang menjual meja ping pong yang tidak berapa mahal harganya di Amman,tapi rata-rata kedai itulah harga yang ditetapkan.Diri terasa tidak terdaya lagi untuk memenuhi kehendak sahabat yang mahukan meja yang berbentuk lebar segi empat tepat itu.Hanya berserah kepada Allah sahaja apa yang akan saya terima sekalipun tohmahan dan kata kata yang tidak berapa indah bila didengari.Perlu mengutamakan kemaslahatan umum dari kehendak individu sekalipun diri yang terkorban,redha.

Bukan bermaksud dayus ataupun lemah kerana tidak melawan,tetapi akal dan kebijaksanaan perlu dijadikan sebagai batasan agar mampu untuk memadamkan api nafsu yang menggila.Saya mendengar dengan mulut yang tersenyum sahaja segala yang diucapkan olehnya dalam talifon.Alasan kukuh sudah diberikan,terpulang untuk memikirkan atau tidak.Terpaksa saya bertegas untuk tidak membeli.

”Mungkin kita boleh usahakan untuk beli meja ping pong ni pada sesi depan,Insyaallah”.Sekali lagi terasa seperti seorang ayah memujuk si anak kecil yang menangis untuk membeli pistol mainan.

Penat dan letih begitu terasa kerana seharian berada di ibu kota.Diri terus terbaring diatas katil untuk merehatkan minda dan jasad.Dalam kepenatan ,saya terkenang kembali kisah sirah Rasulallah ketikamana Baginda menyampaikan islam kepada seorang perempuan tua dikota Makkah.Sambil Rasulallah menyuap roti kemulut perempuan tua tersebut,diwaktu yang sama jugalah Baginda dicaci dan dikeji oleh perempuan tua musyrik itu sedangkan dia tidak tahu bahawa yang menyuap roti kemulutnya adalah insan yang dicacinya.Dia Muhammad rasul yang terpuji.Alangkah bertuah jika dapat memiliki sifat yang terpuji seperti Rasulallah s.a.w.

Biar dikeji tetap terpuji.Saya terlena diatas katil bersama kisah perjuangan rasul yang menjadi penenang kepada diri di malam itu.Moga diberi kekuatan olehNYA untuk meneruskan perjuangan hingga ke akhir sesi pentadbiran.

“Family day kita nak buat dimana?”.Tanya timbalan saya untuk mengingatkan tentang sambutan hari keluarga yang perlu dirancang.

“Kalau kita buat kat laut mati macam mana sebab tahun lepas dah buat kat aqabah?”saya memberi cadangan.

“Laut mati panas azfar.Nanti susah untuk buat aktiviti lain.Rasanya tidak sesuai dengan musim yang sekaran ni.Tempat untuk berteduh pun tak banyak kalau di laut mati”.Terang beliau memberi ulasan.

Saya mendengar dan mengiyakan kata beliau.

“Betul jugak tu,sekarang musim panas.Tambah lagi laut mati memang sudah panas kawasan persekitarannya.Maklumlah kawasan dataran permukaan yang paling rendah sekali di dunia.Kawasan terendah dibumi yang tidak dilitupi ais.Kedudukannya serendah 418 meter di bawah paras laut.Suhunya juga boleh mencecah sehingga 110 darjah celcius bila diwaktu musim panas sebegini.amat tidak sesuai untuk beriadah”.Saya menambah kata beliau bersama dengan fakta tentang laut mati.

“So,kalau kita buah kat aqabah macam mana?”.Dia memberi cadangan di aqabah.Satu satunya laut yang terdapat dijordan ini yang bersebelahan dengan kawasan Israel.

“Tahun lepas dah buat kat aqabah,tahun ni pun buat kat aqabah lagi takpe ke? ” Saya meminta pandangan darinya.

“Tak jadi masalah,tempatnya pun ok.cantik je.sesuai la kalau untuk bersukan dan buat family day tu”.

“Ok,kalau macam tu kita buat kat aqabah family day nanti.Cari pengarah program secepat mungkin ye“.Arah saya kepadanya.

Tiba dihari family day.Kelihatan ada kanak-kanak kecil berlari riang sambil bermain sesama meraka.Ramai yang hadir pada hari keluarga tersebut termasuklah beberapa buah keluarga bersama dengan anak mereka.Program family day hasil usaha sama diantara anak negeri Kelantan dan Terenggau berjalan juga akhirnya.Family day pantai timur diberi nama.Program bermula pada pukul sepuluh pagi dengan ucapan pengarah program dan sedikit penerangan tentang perjalanan aktiviti sukan yang bakal dipertandingkan.

Almarhum Ustaz Arman selaku perasmi program pada hari itu, Saya dan Amir yang dahulunya sebagai mantan Yang dipertua bagi sesi lepas sedang khusyuk mendengar kisah sejarah peperangan diatara tentera Jordan dan israel yang diceritakan kepada kami oleh Ustaz mujahid.Beliau adalah seorang pensyarah yang menyambungkan peringkat pengajiannnya ke tahap Phd di Jordan Universiti.Kami mendengarnya dengan teliti sambil menikmati sarapan pagi di bawah tempat berteduh yang disediakan.

Suasana tenang dan mendamaikan hati.Rasa hilang sebentar segala keserabutan yang ada dalam kepala.Ternyata sungguh hebat ciptaan Allah yang ditunjukkan melalui penciptaan laut.Ada diantara mereka yang terjun ke dalamnya dan ada juga kelihatan yang hanya berjalan digigi air sambil mengambil udara.Masing-masing bebas melakukan aktiviti sendiri selepas selesai segala acara sukan.

Family day itu meninggalkan memori indah pada semua.Bagi saya,ia dapat membantu dalam menenangkan diri seketika dikala keserabutan yang datang menimpa diri pada waktu itu.Saya pulang membawa seribu hasrat apabila melihat segala bukti kebesaran Ilahi pada ‘makhluknya’.

“kenapa buat disana?kenapa buat pakai bajet besar?kenapa begitu?kenapa begini?”.Banyak persoalan yang ditimbulkan tanpa sempat saya menjelaskan segalanya.Belum sempat untuk diberi penerangan,panggilan sudah diletak.

Saya hanya menggelengkan kepala bersama istigfar kepada tuhan.Bukan terkejut atau takut dengan apa yang ditanya,cumanya kecewa dengan sikap dan tingkahlaku yang ditunjukkan.Amat rugi sekali jika ‘perangai’ seperti ini kekal tersemat didalam diri selamanya.

“Ya Allah,andaikata dia silap,ampunkanlah dia.Andaikata kesilapan itu datang dariku,ampunkanlah diriku juga kerana kami hanya hamba yang sentiasa melakukan kesilapan”.Hanya mampu berdoa sahaja demi untuk kebaikan dirinya.

Penat pun belum hilang lagi,ditambah pula dengan pelbagai soalan.Harap Allah bagi kekuatan pada diri lemah ini.Mudah sangat emosi terusik dan terganggu diwaktu itu.Terasa mahu sahaja untuk pergi jauh dari manusia. Segala perkara dan tindakan yang dibuat semuanya tidak kena dan dipertikai oleh manusia.Apa yang boleh digambarkan pada waktu ketika itu adalah seperti mahu sahaja berada di satu tempat yang sunyi dan duduk bersujud kepada Allah seorang diri.

Tapi bukan itu jalan penyelsaian kepada masalah.Saya mencapai al quran lalu membacanya dengan harapan mampu untuk menjadikan diri dan emosi kembali stabil.Cuba untuk kembali senyum dan alhamdulillah masih mampu lagi untuk mengukirnya diwajah.

Tiba dihari pengakhiran sesi pentadbiran.Mesyuarat agung sedang menanti tidak berapa lama lagi.Segala persiapan sudah dibuat.Maklumat program dan aktiviti sepanjang berjalannya sesi pentadbiran kmkj 08/09 sudah dikumpulkan menjadi satu buku khas untuk diedarkan dihari mesyuarat agung.

Semua Badan pengurus sudah naik ke pentas dan mengambil kerusi masing masing.Sesi soal jawab dan muhasabah sesi pentadbiran berjalan dengan baik dengan dikawal oleh seorang pengerusi sidang.Pelbagai soalan dan cadangan diberikan kepada kami diatas agar dapat diperbaiki pada pentadbiran sesi seterusnya nanti.

Maka tamatlah sudah pentadbiran kami pada sesi itu dan digantikan dengan pimpinan yang baru dan masih membawa visi dan misi yang sama.Mungkin cara dan suasana pentadbirannya sahaja yang agak berbeza berbanding sesi kami.Mungkin lebih selesa dan tidak ada gangguan atau kekacauan seperti sesi lepas yang boleh menguji dan menggugat kesabaran dan ketahan mental jika tidak dikawal.

Tamat sudah medan latihan itu bagi saya.Kini Saya dapat memahami erti hikmah yang tersirat disebalik perancangan Allah itu.Ianya banyak memberi kesan kepada segala tindakan dan keputusan yang perlu saya buat dalam kehidupan.Banyak perkara yang melatih dan memberi pengajaran kepada diri saya ini secara saya sendiri tidak menyedarinya.





Medan itu mengajarkan kepada saya erti kesabaran yang cukup kuat.

Erti menggalasi sebuah tanggungjawab dengan penuh berdedikasi.

Erti tidak mudah mengalah dan putus asa dalam kesusahan.

Erti maksud yang sebenar kebergantungan seorang hamba kepada pencipta.

Erti bertolak ansur sesama manusia dan menundukkan ego diri.

Erti kepuasan hati setelah berusaha walaupun ia memenatkan.

Erti mengukir senyuman dalam keletihan.

Erti menghargai masa walaupun ia berdetik selama sesaat.

Erti bertenang dengan kekalutan.

Dan banyak lagi hikmah tersirat yang menjadikan diri saya yang dahulunya menyangka dunia ini hanyalah sebuah sfera bulatan kecil, Hakikatnya ia adalah sebuah dataran yang cukup luas tebentang.Memerlukan kepada strategi langkahan yang terancang agar tidak tersesat dan pandangan yang jauh ke hadapan sana agar sampai ke destinasi yang dituju.

Jika tidak kerana mahu melihat ummah yang dahulunya hebat dimata dunia ini bangkit dan gemilang kembali,dari awal lagi saya tidak mampu untuk memegang jawatan Yang Dipertua ini yang penuh dengan ujian dan dugaan yang terkadang saya juga terasa ‘ amat penat ’ memikirkannya.Meneruskan misi dan visi yang diletakkan adalah satu kerja yang bukan mudah untuk dicapai.Moga segala pengorbanan dan usaha kita untuk menaikkan islam diterima olehNYA.


Jika tidak kerana kebangkitan sebuah ummah !
______________________________

P/s : Semalam baru sahaja selesai mesyuarat agung sebuah persatuan yang menaungi seluruh pelajar di tempat saya belajar ini iaitu PRISMA.Sesi pentadbiran Prisma 09/010 sudah tamat dan dengan itu juga tampuk pentadbiran pun bertukar tangan.Semoga AMT yang telah bertungkus lumus pada sesi lepas untuk menjaga semua ahli prisma disini diberi ganjaran dan pahala yang setimpal olehNYA dan segala usaha dan kepenatan yang kalian rasai itu digantikan dengan kebaikan dan hasanah di dunia dan akhirat kelak.Amin.

Saya menulis sekadar untuk mengimbau kembali kenangan silam dahulu kerana kenangan itu mungkin akan saya alami semula ditahun ini.Mohon doa kalian semua agar Allah kurniakan kepada saya kekuatan dan ketabahan dalam kehidupan.


Read more...

TAWAKKAL SI SEMUT

>> Friday, May 14, 2010



Malam itu terasa amat hening sekali dari kesibukan dan kebingitan bunyi enjin dan hon kereta yang melintas.Apatah lagi bila ada konvoi kereta arab yang meraikan pernikahan mereka sambil memasang lagu dan bertepuk beramai-ramai,amat membisingkan dan menyerabutkan.Waktu sebegini pastinya semua manusia sudah nyenyak dibuai mimpi nan indah.

Mungkin ada yang sedang terbayang bertemu dengan kekasih hati di tanah air,mungkin juga ada yang sedang berkhayal sampai ke bulan,tidak mustahil juga ada yang bermimpi sedang berjihad dimedan perang untuk mempertahankan agama allah taala dari musuh.Itulah mainan tidur yang menemani manusia bila memajamkan mata di malam hari.

Tapi malam itu sukar pula untuk saya tidur.Terasa mengantuk pun tiada apatah lagi untuk tidur dengan nyenyak seperti selalu.Entah apa yang sedang saya fikirkan pun tidak pasti kerana tiada benda yang berlegar dalam otak ini kecuali untuk persediaan kelas esok hari.

Oleh kerana mata masih tidak mampu untuk dipejamkan,sengaja saya membuka cermin tingkap di sebelah katil untuk mengambil angin malam yang berderu sepoi-sepoi bahasa.Saya melemparkan pandangan ke luar tingkap sambil memerhatikan keadaan malam yang gelita.Didongakkan kepala ke dada langit kelihatan bintang bertaburan di atas sana.Tidak kurang pula indahnya sang bulan yang bersinar terang.Seungkap tahmid terkeluar secara spontan dek taajub dengan keindahan malam yang sungguh cantik dihiasi makhluk ciptaan allah itu.

Pandangan dilemparkan jauh ke luar tingkap dengan sejuta penuh kedamaian.Angin yang masuk melalui tingkap terasa amat dingin sekali bagaikan bayu dipantai.mungkin disebabkan kedudukan rumah di bahagian tingkat atas dan faktor musim yang sememang anginnya sedikit sejuk membuatkan terasa sebegitu.Lampu yang menerangi di sekitar kawasan perumahan terpancar di segenap pelusuk tempat hingga ke hujung sana.Ianya berkelip-kelip seakan sedang bertasbih kepada allah dan memuji kebesaran ciptaan ilahi yang menjadikan bulan menemani manusia dikala malam.

Saya berdiri sendirian ditepi tingkap sambil memerhatikan seluruh kawasan dari tingkat atas.Sesekali disapa angin yang dingin,amat menenangkan diri.

’’mungkin cahaya di hujung sana adalah sinaran lampu di sebelah iraq’’.Sengaja saya menduga begitu dan mungkin ianya betul kerana Jordan adalah berjiran dengan negara Iraq.Apabila duduk ditingkat atas pada bangunan yang kebanyakan pelajar melayu mendiaminya ini,ianya mampu untuk melihat kawasan sempadan Iraq diwaktu malam kerana cahaya yang menerangi kegelapan malam.

Sedang leka menikmati ketenangan malam yang damai itu,tiba-tiba terlihat seekor binatang sedang merayap di atas jeriji tingkap.Saya mendekatkan pandangan kearah binatang tersebut,rupa-rupanya ia adalah seekor semut kecil.

Jarang sekali untuk melihat semut di bumi yang mempunyai empat musim ini.Kalau di Malaysia,jika dibiarkan gula atau makanan manis diatas meja tanpa ditutup rapat,pasti akan dihurungi oleh sekumpulan semut yang ramai,tapi sebaliknya pula di negara ini.Jika sekalipun bekas yang berisi gula penuh tidak ditutup ,tiada seekor semut yang datang untuk mengusiknya.

Bukan disebabkan semut disini pemalu atau tidak suka kepada benda yang manis,tetapi mungkin faktor cuaca dan geografi negara Jordan yang menyebabkan binatang kecil ini jarang didapati.

Hendak sahaja saya menjentik semut yang sedang menyusur jeriji di hadapan ini ,tapi tiada sebab pula untuk saya menginayakannya sebegitu rupa.Bukan ia menggigit atau merosakkan makanan pun,sekadar melintas sahaja.

‘’Jalan lah semut,aku tak usik kau pun’’.

Sengaja berbicara dengannya walaupun tahu ianya bukan manusia.Mungkin ia faham dan mungkin juga tidak.Tidak pula saya dapat berbicara dengannya kerana diri ini tidaklah sehebat ilmu pengetahuan yang dianugerahkan kepada nabi Allah Sulaiman.Seorang nabi memiliki kebijaksanaan dan kerajaan yang besar.Tidak hairanlah jika baginda sulaiman mampu untuk berbicara dengan makhluk allah ini.

Pernah dikisahkan dizaman pemerintahan Nabi Sulaiman alaihisalam sebuah kisah diantara baginda dan seekor semut .Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun. Apa akan terjadi kepadaku?

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat iaitu dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu untuk bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Saya termenung panjang disebelah tingkap ketika terkenang kisah ini. Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengajarannya sangat luar biasa. Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah.Ramai manusia lebih meyakini kata manusia yang terkeluar dari mulut mereka daripada janji allah dalam al quran yang pastinya tiada dusta.Kalaulah dibandingkan dengan sifat tawakkal dan yakin manusia dengan seekor semut,nescaya akan malulah kelompok manusia yang berkejar dengan berpenat lelah untuk mencukupi kehendak mereka dengan seekor semut sahaja.

MANUSIA YANG TIDAK PERNAH MERASA KECUKUPAN

Dunia sekarang menyaksikan berbagai penipuan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia kerana berlumba-lumba untuk mengumpul sebanyak mana harta yang termampu bagi menghadapi hari tua.Tidak kiralah samada mengambil atau menipu harta dan hak milik orang lain dalam memenuhi kehendaknya.Makhluk tuhan yang bersifat tamak ini dari hari ke hari akan berusaha untuk memenuhi gudang harta masing-masing demi untuk meneruskan hidup yang sekejap.

Sedikit pun tidak rasa bersalah apatah lagi merasakan dosa yang ditanggung.Sebaik mentari terbit tanda hari baru bermula,perkara yang difikirkannya adalah berapa banyak income yang akan didapatinya untuk hari ini.Bagaimanakah pula untukku hidup jika aset dan wang tidak cukup dalam bank?Bagaiamanakah pula untuk menyara kehidupan keluarga kalau harta tidak banyak ?

Begitulah delima ketamakan manusia yang sentiasa tidak akan pernah berasa cukup dengan rezeki dan kurniaan Allah kepada mereka.Sungguhpun cukup untuk meneruskan kehidupan harian,tapi dikejarnya lagi supaya harta dan kekayaan makin bertambah.Bukankah Allah sudah menetapkan dari azali lagi sebanyak mana harta dan rezeki yang bakal kamu perolehi di dunia ini?

Sabda Rasulallah s.a.w :

عن أنس بن مالك قال الرسول الله صلى الله عليه وسلم:لو كان لابن آدم واديان من مال لابتغى واديا ثالثا ، ولا يملأ جوف ابن آدم إلا التراب ، ويتوب الله على من تاب

Dari anas bin malik,bahawa rasulallah telah bersabda:

“Jika pada anak Adam itu terdapat dua wadi harta,maka akan dikejarnya lagi wadi harta yang ketiga.Dan tidak akan merasa cukup oleh mereka sehinggalah mereka kembali menjadi tanah semula.Dan Allah maha mengampuni kepada sesiapa yang bertaubat”.

Disebabkan ketamakan harta dan terpedaya,manusia sanggup menipu,mencuri,menzalimi manusia dan tidak kurang pula yang sanggup memutuskan silaturahim hanya kerana secubit harta sahaja.

Bukan tidak boleh untuk mengejar harta dan kesenangan dunia yang memang dilimpahkan Allah,bahkan itulah yang dituntut oleh syariat supaya manusia berusaha untuk mencari harta dan rezeki kurnianNYA.Akan tetapi jangan menjadi seorang yang ‘’mengejar dan terus mengejar harta kedunian’’ kerana sifat sebegini akan memenatkan dan melelahkan diri sendiri akhirnya.Bagai mengejar fatamorgana di padang pasir walaupun dikejar kesana tetapi hanya bayangan yang menipu sahaja.


KERANA DISITU JUGA AKHIR DESTINASI HIDUP

Berpada dan selalu bersyukur diatas segala kurniaannya kerana tidak akan kemana jua mereka yang terlalu mengejar harta dunia bila sampai ajal di hujung halkum.Disimpan wang berjuta banyaknya sekalipun ,pabila ajal menjelma kafan putih juga yang akan membaluti tubuh walaupun mampu untuk membeli sutera yang terbaik untuk dijadikan kafan dalam kubur nanti.

Memiliki aset tanah berbidang banyaknya pun tidak membawa erti kerana hanya dua kaki sahaja keluasan kubur yang akan digali untuk meletakkan mayat pabila jasad ditinggalkan ruh walaupun tanah yang dimiliki itu mampu dibinakan sebuah istana besar seperti mahligai si raja untuk menguburkan jasad disitu.

Kereta model termahal seperti Ferarri dan Mercedes Benz tidak digunakan untuk mengusung mayat walau itulah kenderaan yang digunakan untuk memandu sewaktu hidup dahulu.Hanya sebentuk besi yang diberi nama keranda yang akan menjadi tunggangan kelak bila melewati rumah yang diberi nama kubur bertemankan nisan dan kafan.

Bila mati seseorang anak adam,maka terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara:

1-Ilmu yang bermanfaat

2-sedekah jariah

3-Anak yang soleh

Bentuklah diri untuk sentiasa bersifat qanaah dan tahu erti bersyukur kepada setiap rezeki allah walaupun ianya hanya sebutir nasi.Kerana disitulah dapat mengerti maksud ’syukur’.

Rupanya mata yang tidak dapat terpejam pada malam itu adalah aturan ilahi yang merancang pertemuan dengan seekor semut yang mengajarkan maksud kecukupan. Saya mendongak kearah langit sambil melihat bintang yang berkedip cerah.

‘’Berapa banyakkah nikmatmu yang sudah ku lupai tuhan’’.Kelu memikirkan diri yang selalu mendustai akan nikmatnya

Malam itu mengajarkan pada saya erti cukup dan tidak melampau dalam mengejar dunia.Begitulah diri manusia yang sentiasa lupa untuk mengucap Alhamdulillah di setiap hembusan nafas,dan walauapun sesuap nasi ke mulut.

Subuh itu,saya bersujud dengan penuh sarat rasa kehambaan bersama jemaah lain.subhanarabbiyal a’la wabihamdih.Maha besar engkau wahai Allah.

Oh semut,kau mengajarkan ku erti iman dan malu. Engkau lebih beriman dan diriku makin bertambah malu!!

Read more...

CINTA SYUHADA'

>> Monday, May 10, 2010



Selesai sudah waktu untuk berperang dengan kertas peperiksaan kedua bagi semester kali ini.Sekarang bolehlah untuk berehat sambil membuat persiapan untuk menempuh final exam yang bakal menanti tidak berapa lama lagi.Terasa lega sedikit bila melepasi tempoh peperiksaan yang berderet banyaknya.Begitulah rutin pembelajaran kami disini.Bila bermulanya semester baru,diawal minggu pertama lagi sudah perlu bersedia untuk peperiksaan kali pertama bagi semester tersebut.


Ada juga dikalangan pensyarah yang sudah menetapkan tarikh peperiksaan bagi ketiga-tiga peperiksaan walaupun dihari pertama bermulanya kelas.Semuanya itu untuk kebaikan para pelajar agar dapat bersiap seawal yang mungkin bagi menempuh setiap peperiksaan yang bakal tiba.

Saya meluangkan masa sedikit semalam untuk menyusun buku dan fail lama yang sudah lama tidak terusik kerana kesuntukan waktu dengan peperiksaan.Banyak juga surat yang menggamit memori ketika berada di posisi pimpinan pelajar dahulu bila meneliti semua surat rasmi yang ada dalam fail tersebut.Ada yang tertulis alamatnya dari pejabat menteri besar Kelantan,jabatan-jabatan kerajaan Kelantan,dari seluruh persatuan anak negeri yang terdapat di Jordan ini dan banyak lagi.


Sehelai demi sehelai saya menyusun semua surat agar kelihatan kemas dan teratur.Ada juga yang terpaksa dibuang kerana terlalu banyak untuk diletakkan dalam satu file.Ditengah kelekaan saya menyusun khazanah kertas tersebut,saya ternampak senaskhah majalah kecil yang terselit di celah timbunan surat yang banyak itu.


Dari muka depan saya membaca majalah itu hinggalah tiba pada satu artikal yang bertajuk ‘cinta syuhada’.Pada mulanya ingin sahaja saya terus menyusun helaian kertas yang berserakan di atas meja tapi,bila membaca permulaan ceritanya agak menarik pula dan membuatkan kerja yang saya lakukan tadi terhenti seketika.



…………………………………………..


Ceritanya……


“Sayang, kita dah sampai.” Safiyyah menggosok mata yang masih mengantuk. Tudung labuhnya yang agak senget dibetulkan suaminya.

“Tapi safiyyah kena janji dengan abang, walau apapun yang jadi lepas ni Safiyyah mesti redha.” Safiyyah mengerutkan dahi, pelik dengan kata-kata suaminya.

“Abang ni, dari tadi Safiyyah tanya kita nak kemana. Tapi abang tak jawab pun.”

“Kan abang nak bagi Safiyyah hadiah ulangtahun perkahwinan kita.”

“Tapi cara abang cakap tadi macam pelik je.”

“Nak kahwin lagi ya?”

Suaminya tergelak kecil. Lucu dengan pertanyaannya.

“Kalau betul kenapa?”
“Safiyyah tak kisah tau. Nanti Safiyyah dapat payung emas di syurga.”

Suaminya tersenyum. Isteri yang solehah. Moga dia menjadi bidadariku di syurga.

“Abang ni kenapa senyum-senyum ni?”

“Dah la. Lagi cepat kita masuk ke dalam lagi cepat Safiyyah dapat hadiah dari abang.”

“Okey..”

Dia membuka pintu kereta. Kereta hitam berkilat kepunyaan suaminya diparkir di tempat yang disediakan.

Di hadapannya tersergam sebuah bangunan canggih. Pintunya diperbuat daripada kaca yang dihiasi kalimah ‘Lailahaillallah… Muhamadurrasulullah..’.

Suaminya menggenggam erat tangannya, bagai tidak mahu dilepaskan.

Uwais memasukkan kad pintar kedalam ruang di tiang itu. Dengan pantas, lantai yang dipijak bergerak ke atas menuju ke tingkat 8. Usai sampai, dia menarik kembali kad pintarnya.

“Jom masuk sayang.”

Sekali lagi, dia memasukkan kad pintarnya ke dalam mesin pintu pejabat di hadapannya. Lantas terpapar namanya di atas skrin mesin itu. Beberapa minit kemudian, tertera perkataan ‘masuk’.

Dia memimpin tangan isterinya. Dengan yakin, dia memulas besi ringan yang terlekat di pintu pejabat itu.

Kelihatan seorang lelaki di dalam pejabat itu. Senyumannya mengisi ruang wajahnya. Seakan terpancar nur keimanan pada rautnya yang tenang.

“Selamat datang Uwais Al-Qarni. Hari ini kau menunaikan janjimu.”

Lelaki itu menekan remote di tangannya. Kerusi di hadapan meja kaca itu terbuka.

“Sila duduk..”

“Terima kasih.”

Kelihatan lelaki itu mencari sesuatu. Dia menyelongkar laci kaca yang terapung di atas, seperti kabinet kuno zaman 2008 yang diubah suai. Cantik. Gabungan seni lama dan baru.

“Isi maklumat diri dan zaujah. Err, siapa nama dia?”

“Nur Safiyyah binti Tariq Ziyad.”

“ Tariq Ziyad? Macam biasa dengar. Subhanallah, kamu anak seorang pahlawan?”

Safiyyah hanya diam merendah diri.

“Bagus. Kamu menjejaki langkah ayahmu. Memang berdarah pahlawan.”

Uwais menekan-nekan skrin sensitif di hadapannya. Dia mengisi maklumat dirinya dan Safiyyah.

Safiyyah memerhati.

MISI JIHAD CINTA

Nama Mujahid : Uwais Al-Qarni bin Ammar
Nama Mujahidah : Nur Safiyyah binti Tariq Ziyad

Dan banyak lagi butiran yang diisi suaminya..

Hati Safiyyah berbunga riang. Inikah hadiah dari Uwais kepadanya? Subhanallah.. Ya Allah, aku syukur padaMu. Cita-citaku semakin dekat. Syahid menggoda rohku. Aroma syurga menggamitku.

Misi jihad cinta itu sudah lama diidam-idamkan. Peraduan Misi Jihad yang dimenanginya itu menjadi hadiah yang amat bernilai. Peraduan ini melayakkan pasangan suami isteri sama-sama berjihad di tempat yang akan di hantar oleh ejen. Hanya 20 pasangan yang mendapat tempat dalam masa setahun. Misi ini adalah peluang terbaik untuk mencapai pangkat syahid.

“Sayang, mana kad pintar? Butiran peribadi perlu disahkan.”

Safiyyah lantas mengeluarkan kad pintarnya dari beg tangan elektronik hadiah dari arwah ayahnya.

“Ni bang..”

Butiran peribadi mereka kemudiannya disahkan. Laptop kecil sebesar tapak tangan itu diserahkan kepada lelaki di hadapannya.

Lelaki itu menekan-nekan sesuatu. Kemudian dia tersenyum.

“Kamu berdua dihantar ke Kota Toledo.”

****

“Bang..”

Uwais mendongak. Raut indah milik isterinya direnung. Sinar keimanan yang terlakar menenangkannya.

“Ya?”

Safiyyah diam. Dia menunduk. Air jernih memenuhi kolam matanya.

“Kenapa ni? Safiyyah tak suka ya hadiah ni?”

“Abang.. Apa ni.. Bukankah itu yang kita tunggu-tunggu selama ni?”

“Habis tu.. Kenapa menangis?”

“Safiyyah tak sabar nak pergi sana. Lagi 2 hari kan bang..”


“Ya,abang pun tak sabar dah. Semakin dekat bau harum syurga..”

“Abang..”

“Ya?”

“Kita berjumpa lagi tak nanti di syurga?”

“Safiyyah sayang…”

“Ya bang..”

“Safiyyah nanti insyaAllah jadi Ainul Mardhiah abang di syurga. Jangan risau ya..”

“Safiyyah tak risau pasal tu. Safiyyah yakin kalau Safiyyah tak jadi bidadari abang pun, abang akan dapat bidadari yang lagi cantik dan solehah daripada Safiyyah.”

Kata-kata lembut isterinya membuatkan dia tersentuh. Subhanallah.. Aku sayang dia keranaMu ya Allah. Maka temukanlah kami di syurgaMu, jangan Kau pisahkan kami. Cukup hanya dia bidadari solehah yang telah kau sediakan untukku. Moga di dunia dan juga di syurga.

“Safiyyah.. Ingat tak dulu zaman kita sama-sama ditarbiyyah?”

“Ingat bang.. Masakan Safiyyah lupa. Taman yang mengajar Safiyyah erti perjuangan.”

“Dan abang tak sangka Allah pertemukan kita. Ingat tak dulu kita asyik bertengkar untuk capai kata putus dalam mesyuarat? Kelakarnya masa tu. Isteri abang ni petah betul berhujah. Sampai kadang-kadang buat abang geram.”

“Laa.. Abang juga pesan pada kami, kami kena jadi Muslimat Tarbiyyah. Muslimat yang kuat menongkah ujian, tabah menghadapi dugaan, pantas berfikir, berana membantah kebatilan. Kan?”

“Ya sayang. Muslimat masa tu semua kuat belaka. Abang tengok macam kering hati je.”

“Terpaksa la bang. Kalau kami tak jadi macam tu, habis la perjuangan. Asyik-asyik merajuk, menangis. Nanti tak jadi kerja pulak.”

“Ya, abang faham.”

“Abang tengok la buktinya. Dah 3 orang ahli syura muslimat kita yang dah kotakan janji. Dah dapat pangkat syahid. Safiyah yang terlambat bang..”

Safiyyah pilu, janjinya belum dikota lagi. Dia sedang menunggu saat kemanisan itu. Nanti akan dia capai tangan sahabat-sahabatnya di syurga nanti. Sahabat-sahabat, tunggu kedatanganku. Hatinya menyeru.

“Sabar la. Tak lama lagi..”

****

Di khemah persiapan, Kota Toledo.

Malam itu mereka tekun. Hati dan jiwa betul-betul diserahkan kepada Allah. Setiap saat dipenuhi dengan solat-solat sunat, berzikir dan alunan bacaan Al-Quran.

Di atas sejadah itu, Uwais memegang tangannya. Erat dan kemas. Tampak air matanya mengalir.

Safiyyah juga menangis hiba. Tiada kata yang mampu diungkap. Bukan airmata sedih yang sedang mengalir. Tetapi armata bahagia, bahagia kerana bakal menemui Rabbnya.

“Nur Safiyyah.. Terima kasih kerana menjadi isteri abang selama ini. Safiyyah isteri solehah abang. Selama setahun kita kahwin, tak pernah sekali pun Safiyyah sakiti hati abang. Safiyyah gigih berusaha menjadi yang terbaik.”

Esakan isterinya semakin kuat. Hatinya pedih dalam gembira.

“Safiyyah, Allah temukan kita dalam lapangan perjuangan. Dan kita berjanji akan hidup dalam lapangan ini selamanya. Matlamat kita jelas, hidup mulia atau mati syahid. Sekarang di hadapan kita peluang, Safiyyah kena serahkan pergantungan bulat-bulat pada Allah. Bila kita sama-sama jalankan misi itu nanti, Safiyyah kena ingat Allah banyak-banyak. Jangan fikir pasal abang lagi, tinggalkan dunia. Ingat syahid.”

“Abang sayang Safiyyah kerana Allah. Abang minta maaf sebab tak dapat nak beri Safiyyah apa-apa ganjaran selama Safiyyah berkorban jadi isteri abang..”

“Abang, Safiyyah tak minta apa-apa pun.”

“Kita jumpa di syurga ya.. InsyaAllah..”

Dahi isterinya dikucup lembut.

“Abang ada satu permintaan.”

“Apa dia bang?”

“Baju tu. Nanti Safiyyah kena pakaikan untuk abang.”

“Ya,InsyaAllah. Abang pun ya.”

“Ya,InsyaAllah.”

Safiyyah bangun menuju ke hujung khemah, dia mengambil 2 pasang baju putih yang tergantung di atas tali. Tertulis perkataan “Peserta Misi Jihad Cinta” di belakang baju putih milik suaminya. Di bahagian hadapan sebelah kiri, tercatat nama Uwais Al-Qarni dan di sebelah kiri terdapat bendera kecil tertulis kalimah agung Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Juga pada bajunya.

“Assalamualaikum.. Akh Uwais..”

Terdengar suara memberi salam. Safiyyah merenung lembut wajah suaminya.

“Waalaikumsalam.”

Uwais membuka pintu khemah.

“Akh, sekarang sudah tiba masa kalian. Seruan jihad sudah dipalu.”

“Baiklah. Terima kasih.”

Uwais menutup kembali pintu itu. Dia pusing menghadap isterinya.

“Sayang, dah tiba masanya.”

“Ya.”

Lantas baju jihad disarungkan ke tubuh. Usai keduanya bersiap, Uwais memandang isterinya.

“Kita jumpa di syurga ya.”

“InsyaAllah bang. Sekejap lagi kita bertemu semula.”

****

Boomm..
Boommmm..
Boommmmm..

Dentuman demi dentuman terdengar. Mereka tekun melaksanakan misi jihad.

Bumm!

Di sebuah tempat, terdampar beberapa tubuh. Bajunya berlumuran darah. Ada peluru tertimbus di dada dan di sekitar tubuh mereka. Harum darah syuhada’, rautnya tersenyum megah. Antaranya adalah pemuda bernama Uwais Al-Qarni. Kini dia sudah mengotakan janjinya.

Bummm!

Dan, di sebuah tempat. Darah mengalir laju. Wanita berjilbab itu ditembak di belakang badannya. Peluru tertimbus dalam. Nur Safiyyah tersenyum.

Roh para syuhada’ itu berterbangan di langit.

Uwais dan Safiyyah sudah mengotakan janji.

Mereka bertemu di syurga.......


__________________________________


p/s : Ini adalah cerita atas cerita.Mungkin ada juga yang pernah terbacanya sebelum ini.Saya doakan kepada para sahabat yang bakal mendirikan ‘masjid’ bila pulang bercuti tidak lama lagi agar kalian juga akan menjadi pasangan seperti Uwais Al-Qarni dan Nur Safiyyah.Siapa tahu hadiah ulang tahun anda juga pun akan berbentuk seperti ini nanti.

Semoga kalian berbahagia hingga ke syurga…Alfu mabrukk !!

Read more...

SUJUD MALAIKAT PADA MANUSIA

>> Thursday, May 6, 2010



Satu perkhabaran dari Allah :

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada sekelian malaikat “Sesungguhnya aku ingin ciptakan seorang khalifah di muka bumi”

Para malaikat bertanya :

Mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu makhluk yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah? padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan kamu”

Allah menjawab :

Sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu tidak tahu

Lalu..:

Dan Allah mengajarkan kepada Adam nama benda seluruhnya kemudian dihadapkan kepada para malaikat lalu berfirman : “Sebutkanlah kepadaku nama benda itu jika kamu dari orang yang benar”

Reaksi malaikat :

( Dalam taa’jub )

Mereka menjawab : Maha suci engkau,tiada yang kami ketahui selain dari apa yang telah engkau ajarkan kepada kami.Sesungguhnya Engkaulah yang maha mengetahui dan maha bijak sana”(Al -baqarah :32)

Maka Allah perintahkan kepada sekelian malaikat agar sujud kepada Adam kerana kehebatan ilmu dan kemampuan yang dimilikinya.

Satu ketika dahulu di syurga, keturunan makhluk yang bernama manusia pernah disujud oleh malaikat dihadapan Allah sebagai bukti kehebatan dan kebijaksanaannya yang dianugerahkan oleh Tuhan pencipta segala makhluk.

Begitu izzahnya manusia pada mata malaikat sewaktu itu kerana kemampuan akal dan kehebatan yang ada padanya.

Maka dengan ketentuan ilahi,keturunan yang pernah disujud oleh seluruh makhluk langit ini berkembang di bumi dan makin bertambah dari zaman ke zaman.



MISI MEREKA DIBUMI

Manusia dibumi adalah untuk menjadi khalifah yang menjaga bumi.Mengikut penafsiran para ulama’ maksud ‘khalifah’ itu adalah :


" اقامة الدين وسياسة الدنيا "

“mendirikan agama dan mentadbir dunia”.

Itulah hakikat sebenarnya kejadian kita sebagai makhluk di dunia.Diberikan tanggung jawab sebagai hamba untuk menyebarkan agama allah dan mentadbir alam bumi ini dengan sebaik mungkin.

Sebagai seorang hamba yang diberikan tanggungjawab yang banyak memang akan merasakan bebanan dan kerja yang bertindih kerana keterbatasan kemampuan mereka dan sifat dhaifnya sebagai hamba.Tetapi ianya bukanlah sebagai satu alasan yang boleh kita berikan dari mengelak tanggungjawab kerana allah telah memberi kepercayaan yang tinggi kepada manusia untuk memikulnya dan mereka pasti dapat melaksanakan.

Yakin Allah kepadamu duhai manusia !

Jika kita melihat dari sudut fizikal dan kekuatan,bandingkan kita makhluk yang bernama manusia dengan para malaikat,gunung ganang,bukit bukau,angin kuat dan lautan luas lagi dalam yang semuanya ini juga makhluk allah,siapakah diantara seluruh makhluk ini yang lebih kuat dan hebat?

Akan tetapi,yang menjadi pilihan pada pandangan Allah adalah manusia jua berbanding dari makhluk yang lain walaupun mereka lebih layak untuk memikul tanggungjawab di dunia.Ini kerana manusia di bekalkan dengan satu anugerah yang tidak ada pada makhluk lain iaitu ‘akal fikiran’.Kerana itulah manusia ditaklifkan dengan pelbagai urusan kerja yang bermacam macam agar dapat menyebarkan islam dan mentadbir dunia dengan sempurna.



TIDAK MENANG TANGAN

“Aduh…buku belum habis baca lagi.Exam berderet deret plak.Urusan lain bertimbun menanti.Banyaknye kerja nak buat”.Fikirnya ketika dihujani dengan pelbagai urusan yang perlu diselsaikan.Terkadang rasa mahu sahaja dibiarkan.

“Aduh, susahla macam ni.Semua senior dah balik.Tahun ni tak ada orang nak tolong ajarkan lagi.. Macammana nak faham?”

“Nak baca buku sendiri susahla.” Rungut individu lain pula.

“Banyaknya kerja yang perlu dibuat,mana la sempat untuk dibereskan semua ni”.Katanya pada diri.

Perkara ini seolah-olah menjadi tradisi. Andaikan diberi buku dan disuruh baca sendirian, pasti ada yang menggelabah.Begitu juga jika diberikan tugasan yang banyak,bagai tidak cukup masa untuk diselesaikan.

Dikala dibebani dengan pelbagai urusan kerja yang banyak,jangan cepat untuk mengeluh dan berasa tertekan dengan pelbagai kerja.Apatah lagi jika dalam masa yang sama kita adalah seorang pelajar yang perlu memberikan penumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran dan dalam masa yang sama komitmen lain pun juga perlu difikirkan seperti persatuan dan sebagainya.Ini pada hakikat secara tanpa kita sedari menjadi satu motivasi kepada diri dan sebenarnya membuatkan kita lebih cekap dalam menguruskan masa dan jadual hidup.

Kita memang tidak mampu untuk lari dari tanggungjawab kerana memang itu tujuan penciptaan kita didunia.Sama seperti tanggungjawab belajar,persatuan,pekerjaan dan lain lagi. Ianya tetap berkait dengan maksud penciptaan manusia di dunia.Sedar atau tidak sahaja setiap individu tersebut.

Jika sekiranya kita sedar akan hakikat ini,maka setiap apa jua taklifan yang diberi mesti akan diuruskan dengan sebaik mungkin dan sempurna.

Kekangan masa dan tenaga sememangnya tidak cukup untuk dibahagikan jika kita tidak pandai dalam membahagikannya.Sebiji roti boleh dikongsikan dengan lima sekawan jika dibahagikan dengan cermat dan adil walaupun dengan hanya kuantiti yang sedikit.Sebaliknya juga dengan sepinggan nasi yang penuh.Ianya tetap tidak akan cukup untuk dimakan oleh seorang jika tidak pandai dibahagikan dengan baik.

Begitulah jua dengan masa dan tanggungjawab.Ianya perlu dibahagikan dan diatur dengan cermat supaya kerja yang banyak dapat dilaksanakan dan tidak menyerabutkan.Umat islam mampu untuk menguruskan segala kerja walaupun banyak dengan sempurna dan berjaya kerana kita sememangnya dilatih untuk kearah itu dalam seharian.Cumanya perlu kepada usaha dari diri sendiri dan kesungguhan dalam dalam mencipta kejayaan.

Istilah “tidak menang tangan” ini perlulah digantikan dengan “aku mesti menang dalam segala hal !!”



MENDAKI GUNUNG KEJAYAAN

Cuba kita lihat sebuah gunung. Tidak kiralah gunung itu bernama gunung Jerai, gunung everest, gunung Kinabalu, atau apa jua gunung.Nun jauh di sana, sayup mata memandang dari kejauhan – terkelihatan puncaknya.

Lalu kita punya dua andaian ketika berada di kaki gunung itu. Pertamanya, ialah misi menawan gunung untuk menuju ke puncaknya. Kedua, hanya duduk memerhati dari bawah dan menyimpan angan-angan ke sana tanpa usaha. Pada hemat kita, tentu akan menilai bahawa mereka yang sampai ke kemuncak gunung itulah adalah individu yang cemerlang dan berjaya.

Sebaliknya, yang mendongak sambil menyimpan angan-angan kosong itu tidak dapat tidak manusia akan melabelnya sebagai individu kalah. Kalah dengan jiwa sendiri. Selagi mana dia tidak bangkit untuk mencabar dirinya, dia tetap terbelenggu dengan kekalahan dalaman yang berpanjangan.

Justeru, nisbahkan saja gunung itu adalah matlamat dan cita-cita kita. Andainya kita rebah dan kalah diperingkat awal, hanya kerana takut mencuba dan mencabar diri sendiri untuk mendepani matlamat, nescaya selamanya kejayaan itu tidak akan memeluknya. Bahkan kalaupun dia berjaya, kepuasan sebenar mengecapinya tidak tercapai pada tahap maksimum. Kenapa?

Kerana pahit maung tidak ditelan, tetapi hanya kemanisan saja dikemamnya. Takut untuk menelan ubat pahit dan takut untuk mara kehadapan. Lalu bicaranya tidak selengkap manusia yang merasai keseluruhan rasa.

Ingat, manusia yang tidak pernah gagal atau merasai kesukaran, susah untuk menggambarkan kegagalan sebenar kepada insan lain.Faktanya, pengalaman menempuh GAGAL dan BERJAYA adalah intipati lazat untuk merentasi perjalanan yang panjang dihadapan.

Kata orang dulu-dulu, “Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

“Belakang parang, kalau diasah selalu akan tajam juga akhirnya.”

Mari berusaha untuk mendaki, sudah berjaya jangan pula dilupa asal usulnya kita!



MOTIVASI DARI SERANGGA

Mari kita lihat pula cerminan yang ditonjolkan sang labah-labah (al-ankabut). Labah-labahnya ini sebelum mendapat hasil, ia membuat sarangnya berbentuk jaringan. Usaha ini dilakukannya siang dan malam sehinggalah selesai. Apabila siap lingkaran jaringan itu, barulah ia dapat merasai nikmatnya hasil usaha selama ini.

Semut; serangga yang tak pernah mengenal erti penat dan lelah. Senantiasa mengumpulkan makanan untuk hari depannya, malah saling bekerjasama pula untuk mendapatkan kejayaan. Usaha yang dilakukan bukan sedetik, atau sehari tetapi berhari-hari.

Lebah; juga sejenis makhluk Allah SWT yang disebutkan di dalam al-Quran, mempunyai displin dan semangat tinggi bersama usaha yang tidak putus-putus. Bahkan, atas usahanya itu ia mampu menebarkan kebaikan kepada seluruh umat manusia pula. Firman Allah SWT:

"Dan Rabbmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia". (An-Nahl, 16:68)

"Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, didalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang-orang yang memikirkan". (An-Nahl, 16: 69)



MUSLIM YANG BERJAYA

“Eh, kenapa orang non-muslim berjaya, padahal dia tak beribadat pun pada Allah? Tak beriman pun?” Seorang manusia bersungut dengan nada putus asa.

Luahan berbaur aura kesamaran hasil bisikan syaitan ini pasti akan bermain di minda kita jika lemah imannya pada Allah SWT. Sebenarnya, inilah tanda Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada makhluk-Nya. Di awal lembaran al-Quran lagi Allah telah memulakan firman bersama serangkap kalimah “Bismillahhir Rahmannir Rahim.”

Bersama sifat ar-Rahman, Allah SWT mengasihi semua makhluk-Nya dengan menurunkan rezeki dan kurniaan yang melimpah ruah. Lanjutan dari sifat ar-Rahman, Allah SWT khususkan rasa penyayangnya kepada hamba-hamba yang mentaati perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Allahul Azim! Tidakkah beruntung bagi sesiapa yang tunduk menyerah dengan rasa kehambaan pada-Nya? Orang muslim itu kejayaannya bukan saja diganjari Allah SWT semata-mata di dunia sahaja, tetapi dilanjutkan hingga ke akhirat – yakni syurga Allah SWT. Berusahalah untuk memperolehi dua kejayaan itu.

Oleh kerana itu selaku muslim, kita perlu memiliki jati diri yang kuat seiring usaha yang gigih untuk dibuktikan kepada allah bahawa kita mampu untuk menjadi makhluk yang dapat memikul tanggungjawab dengan baik.Tanamkan cita untuk menjadi mukmin yang hebat walaupun dihujani dengan pelbagai urusan kerja dunia.

Cukuplah dengan bekalan akal dan sejarah kisah sujudnya malaikat kepada keturunan kita sewaktu dahulu menjadi kekuatan untuk kita buktikan kehebatan dan kemampuan dalam memikul tanggungjawab kepada makhluk lain.Muslim mampu untuk melakukan apa jua kerja kerana itulah kehebatan yang ada pada mereka.fleksibel.

Kerana allah yakin kepada kemampuan dirimu !

______________________________________


p/s : Pesan saya kepada para pelajar yang mempunyai banyak komitmen kerja seperti persatuan amatlah perlu dibahagikan masa dan waktu anda dengan sebaik mungkin agar kedua urusan yang penting ini dapat dihadapi dengan tersusun.Tidak mengabaikan pelajaran yang penting dan dalam masa yang sama tidak juga melengahkan kerja dalam persatuan.

Jangan jadi pelajar yang ‘ BEKU ’ dalam pembelajarannya tapi ‘ LAJU ‘ pula dalam persatuannya

Jadilah..

Pelajar yang ‘ MAJU ‘ dalam pelajarannya dan juga ‘ LAJU ‘ dalam persatuannya.

Umat islam perlu cemerlang hari ini dan selamanya.

Read more...

AGAR TAAT MEMBAWA BERKAT

>> Tuesday, May 4, 2010



Selesai solat maghrib petang itu,saya mencapai senaskhah al-quran yang dihadiahkan oleh pusat percetakan dan pengedaran al quran king Abdullah bin Abd al-Aziz yang terletak di Madinah.Tanah berkat dimana bermulanya empayar islam membina kebangkitan.Ia diberikan secara percuma ketika berkesempatan menziarahi tanah haram pada tahun lepas.Satu persatu lembaran kalamuallah itu diselak.Jelas kelihatan kalimah suci terpapar jelas dihadapan kedua mata.

Rutin harian ini mesti dibuat setelah usai solat maghrib.Bersila diatas tikar sejadah dan membaca al quran walaupun dalam apa jua kesibukan sekalipun.Apalah salahnya jika duduk berteleku sekejap diatas sejadah untuk membaca dan mengambil kekuatan dari kalam allah yang mempunyai seribu satu hikmah dan pengajaran.Sudah seharian mengejar urusan duniawi dari awal pagi sampai ke lewat senja ,semuanya dapat dilakukan atas keizinan allah.

Tiba masanya pula diri ini duduk bermunajat kepada tuhan sekelian alam diatas segala nikmat yang diberikan tanpa putus.Bukti seorang hamba menyembah tuhan sebagai tanda syukur diatas sebuah kehidupan.Sehebat mana pun kita dalam menyelsaikan urusan kehidupan seharian,ianya tidak dapat lari dari percaturan dan kawalan allah taala.Segalanya ditentukan olehnya samada berjaya anak adam itu atau sebaliknya pula.

Saya membaca kalimah suci itu dari satu baris hingga ke satu baris yang seterusnya.Dari satu muka bertukar kepada muka surat yang berikut.Helaian demi helaian diselak.Tiba pada satu ayat saya terdiam.Entah mengapa hati sayu sekali bila membaca ayat allah yang penuh tinggi dan berkat ini.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia "(yang bersopan santun). (Al-Isra’: 23)

Tidak dapat rasanya untuk saya meneruskan bacaan seterusnya,Hati mengalunkan kerinduan kepada ummi dan abah di tanah air.Wajah kedua insan yang amat disayangi ini seakan terbias pada muka surat alquran yang dibaca.

Kerinduan kepada mereka berdua ini bukanlah seperti seorang anak manja yang sedih kerana berpisah dari tempat bergantung,tapi apa yang difikirkan adalah sudah cukupkah sepanjang kehidupan yang dilalui sehingga ke saat ini dapat membahagiakan mereka berdua dengan sepenuh kebahagiaan.Mampukah agaknya dibalas segala didikan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh mereka selama ini.

Sewaktu kecil dahulu, kita meniarap dan merangkak. Kita tidak tahu apa-apa tentang dunia hatta mahu berkata-kata sekalipun. Waktu itu kita hanya tahu menangis, berteriak dan minum susu.

Bermacam ragam kita sebagai anak sewaktu belum mengenal erti kehidupan yang sebenar.Pernah saya terlihat gelagat seorang kawan diwaktu kecilnya dahulu.Ingin berenang di darat bukan di air.

“ dulu suka berenang atas lantai...x lemas ”.Tulisnya pada gambar.Kelihatan bersamanya ada sebuah pelampung hitam yang berisi udara.Tergelak kecil saya melihat gelagat lucu itu.

“Boleh berenang ke di atas darat?” .Saya tersenyum sendirian melihat aksi comelnya.

Begitu juga diri saya sewaktu dahulu.Bermacam kerenah yang dibuat.Mungkin pernah juga terfikir untuk berenang diatas udara.Begitulah lagak si anak kecil.

Apabila usia si anak meningkat,diajar supaya bertatih.Si ibu tidak pernah jemu untuk melatih supaya anaknya dapat berjalan hinggalah akhirnya mampu berlari ke sana dan kemari.Motivasi ibu ini dilakukan agar anak kecil itu mampu berdiri dan berjalan sendiri, tanpa bergantung pada bantuan orang lain.

Si anak itu bangun. Dan rebah. Acapkali mahu rebah, ibu terus memaut kemas.

Ayah pula waktu itu sibuk bekerja untuk keperluan anak dan isterinya. Pada tanggapannya sebagai ketua keluarga, dia berhak memberikan sesuatu untuk mereka walaupun mereka tidak meminta-minta.

Proses tumbesaran terus berlangsung dari hari ke hari. Hingga satu saat, anak itu mengenal alam persekolahan dan wajah guru-gurunya.

MENITI USIA REMAJA

Bulan berganti bulan begitu juga tahun turut sama bersilih ganti.Adik adik semakin membesar dengan pantas.Kami dahulu yang tahu menangis apabila mahukan sesuatu dapat berfikir menggunakan akal pabila usia menginjak ke alam kedewasaan.Sedikit demi sedikit perkara baru yang dipelajari seiring dorongan dan didikan oleh kedua ibu bapa.

Teringat sewaktu kecil dahulu apabila ummi dan abah pulang dari tempat kerja.Jika kedengaran enjin kereka memasuki garaj dihadapan rumah,kaki kami melompat-lompat tanda gembira.Semua berlumba menuju kehadapan pintu masuk untuk menyambut kepulangan dua insan yang ditunggu tunggu.

“Umi beli dok robot cop hok abe pesan takdi? “.Tanya abang sulung saya.Belum sempat lagi umi menjawab pertanyaan yang diajukan.

“Umi takdi ngah talifon ko umi tok leh bakpe ? ”.Mengadu saya pula bersama muka yang sedih.Dalam penat ummi menjawab dengan penuh kasih sayang.

Adik adik lain ada yang bertenggek di ribaan umi dan ada juga dalam pelukan abah.Penat abah belum lagi hilang sebaik pulang dari kerja,terpaksa pula melayan kerenah anak yang bermacam-macam ragam.

‘’Alif..ba..ta..tha.Baca molek molek,tengok kat depan sini”.Tegas abah dalam mengajar muqaddam kepada kami.Masing masing membacanya mengikut giliran dengan tekun.

Masih tersimpan dalam kotak ingatan sejarah silam ini.Ketika mana abah mengajar mengaji dahulu sewaktu kecil.Bermula dari sinilah saya mampu untuk membaca al quran walaupun tanpa melihat ayat dan tulisan yang termaktub di dalamnya.

Ya, itulah watak ayah dan ibu kita. Mereka tidak jemu untuk membantu, mendidik dan membesarkan kita. Andaikan mereka biarkan kita terkapai-kapai, tentu sudah menjadi kutu rayau jalanan. Atau mati kelaparan. Tetapi hukum Islam tidak mengenakan qisas jika kerana mereka kita mati.

BILA DEWASA

“Boleh tak jangan kacau saya mak?!” Tengking anak persis hikayat si Tanggang.

“Semua tak boleh, ini tak boleh itu tak boleh.” Marah anak bila hajatnya tak kesampaian.

“Mak mahukan kamu menjadi orang berguna, bukan anak derhaka.” Redup wajah ibu tetap setia menasihati. Walau kelopak matanya sudah menakung titisan penderitaan jiwa. Si anak memarahi, menengking dan mengherdik.

Apakah dia sudah lupa, ibu itulah yang mengandungkannya 9 bulan, menyusu, berjaga malam, memberi makan walau saat ibu kelaparan, mendidik dan mengajar?

Adakah dia sudah alpa, bapa itulah yang mendukungnya petang-petang, memimpin tangan ke mana saja agar tahu erti hidup di dunia, mengajarnya kalam-kalam Allah SWT dan memberinya wang saku harian?

Ah, manusia itukan mudah lupa. Hingga ibu bapa yang baik juga dianggapnya celaka. Kasihan mereka.

14. "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali" (untuk menerima balasan).

15. "Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau – Dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan". (Al-Luqman: 14-15)

Lainlah jika ibu bapa itu mengajak kepada kemungkaran. Maka tidak wajib mengikuti mereka – tetapi menasihati dengan cara baik. Ingat, menasihati bukan lesen untuk memijak kepala mereka walau tidak Islam!

Berdoa, berdoa dan berusaha agar taufiq dan hidayah Allah SWT memeluk jiwa-jiwa mereka.

TAATILAH, JIKA MEREKA TIDAK MENGKUFURKANMU

Banyak kisah mengenai ibu bapa di rakamkan di dalam hadis. Pernah suatu ketika, ada seorang lelaki datang berbai’at kepada Rasulullah SAW untuk berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT. Ia mengharapkan pahala dari Allah SWT. Baginda SAW tidak langsung menerimanya.

Akan tetapi bertanya kepadanya: “Apakah ada di antara kedua orang tuamu yang masih hidup?”

Orang itu menjawab: “Ya, bahkan keduanya.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Apakah engkau mencari pahala dari Allah SWT?”

Orang itu kembali menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Pulanglah kepada kedua orang tuamu dan berbuat baiklah dalam berbakti pada keduanya.” (Muttafaq ‘alaihi)

KISAH JURAIJ DAN IBUNYA

Kisah Juraij – seorang ahli ibadah yang taat pada perintah Allah SWT juga mengandungi iktibar untuk sama-sama kita renungi.

Suatu ketika si Juraij sedang melakukan ibadah solat. Tatkala itu, ibunya memanggil beliau. Walhal dalam hatinya masih tertanya-tanya dan taraddud.

“Wahai Tuhanku, ibuku atau solatku?” Bisik hati kecilnya pada Pencipta. Lantas ia mengambil keputusan untuk terus bersolat.

Namun, ibunya tetap saja memanggil namanya. Kali pertama, tidak menyahut, kali kedua tetap begitu dan kali ketiga juga masih membisu. Lalu ibunya berdoa buruk padanya.

“Semoga ia tidak mati hingga Allah memperlihatkan kepadanya wajah pelacur.” Berkat doa ibu, terjadi peristiwa di mana seorang pelacur berzina dengan sang pengembala kambing dan hamil.

Akibat takut pecah tembelang, sang pengembala berkata kepada pelacur itu sebagai cadangan untuk menyelesaikan masalah.

“Kalau engkau ditanya orang tetang siapa ayah bayimu, katakanlah – Juraij yang ahli ibadah.” Setelah pelacur itu membuat pengakuan begitu, orang awam menghancurkan tempat ibadahnya dan membawanya ke lapangan pengadilan.

Di pertengahan jalan, beliau teringat pada doa ibunya dan tersenyum. Ketika berhadapan dengan tiang hukuman, dia meminta agar dilepaskan seketika kerana mahu bersolat dua rakaat. Kemudian meminta bayi itu dan dia berbisik di telinganya.

“Siapa bapamu?” Soal Juraij.

“Bapaku si fulan, seorang pengembara.” Jawab bayi itu. Mendengar kata-kata bayi, orang ramai lalu bertahlil dan bertakbir.

“Kami akan bangunkan kembali rumah ibadahmu dari emas dan perak.” Kata mereka.

“Tidak, akan tetapi kembalikan lagi seperti sedia kala dari tanah.” Pinta Juraij.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Nabi SAW bersabda:

“Kalau seandainya Juraij itu mengerti fiqh, nescaya ia tahu bahawasanya ia lebih wajib memenuhi panggilan ibunya daripada terus menerus solat.” (Kisah diambil dari petikan buku Syakhsiyah al-Muslim – Keperibadian Seorang Muslim karya Muhammad Ali al-Hashimi)

Justeru, para fuqaha’ berpandangan bahawa apabila sesorang sedang solat sunat, lalu salah seorang dari kedua ibu bapanya memanggil, maka wajib berhenti dan memenuhi panggilannya.Taatilah juga mereka berdua dalam apa jua keadaan sekalipun.Jadilah kita seorang anak yang menjadi penyejuk hati mereka.

Moga ketaatan kepada mereka membawa keberkatan dalam kehidupan.


_______________________________________________


p/s : Berbuat baiklah kepada kedua orang tuamu.Jangan melukai dan menyakiti hati mereka walau dengan sekecil mana pun perbuatan.Kasih sayang yang dicurahkan sewaktu kecil belum tentu lagi dapat dibayar dengan seluruh isi dunia.Seorang ibu mampu menjaga sepuluh anak kecil,tapi sepuluh anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang Ibu bila tiba hari tuanya.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP