PERMATA JASAD

>> Monday, July 26, 2010



“Assalamualaikum warahmatullah……” imam memberi salam tanda solat telah selesai.

Saya masih disaf belakang bersama dengan dua pemuda yang turut sama bersolat.Kami diantara yang agak kelewatan untuk solat bersama jemaah pertama.Sebaik saja melangkah kedalam ruangan masjid,jemaah awal sudah dipengakhiran solat.Kami yang terlewat sampai terpaksalah mendirikan jemaah ke dua.Biasalah,siapa lambat dia yang kerugian.

Usai solat dan berdoa,saya terus melangkah keluar masjid dan terus menuju ke tempat letak kereta.Belum sempat lagi untuk masuk ketempat pemandu,bahu saya dicuit dari belakang.

“Assalamualaikum”.Salam diberi bersama huluran tangan untuk berjabat.

Saya menyambutnya dengan membalas salam.

Dihadapan saya berdiri seorang pemuda yang memakai baju kurta berwarna gelap dan juga berkopiah.Tanpa melengahkan masa,mahu sahaja untuk saya terus menghulurkan wang kepadanya kerana waktu pada ketika itu sudah lewat sedangkan banyak lagi urusan kerja yang perlu diselsaikan.Tapi,terdetik pula dihati kalau-kalau dia bukanlah peminta sedekah seperti yang disangkakan.Entah bagaimana pula untuk melarikan diri daripada malu nanti.

Tanpa dipinta dia menghulurkan fail yang dipegangnya kepada saya untuk dibaca.Hanya ada sehelai kertas yang menyatakan bahawa tujuannya adalah untuk memohon sumbangan ikhlas kewangan bagi membantu dirinya yang kemiskinan.

“Owh,memang minta sedekah rupanya”.Tidak salah tekaan saya.

“Dari mana?” saya bertanya.

Pemuda itu hanya menggelengkan kepalanya.

“Datang dari mana”.saya bertanya untuk kali kedua.

Sekali lagi dia meggelengkan kepala sambil jarinya ditunjuk kepada kertas yang berada ditangan saya.Saya membaca sepintas lalu tulisan yang ada dikertas tersebut.

‘’Orang Pakistan rupanya”.Maklumat peribadinya dan negara asal memang sudah tertulis dalam helaian kertas yang diberikan tadi.

“Patutlah tak boleh bercakap,tak tahu bahasa Malaysia”.Saya berbisik dalam hati sendirian.

Tanpa membuang masa,sedikit sumbangan ikhlas dihulurkan kepadanya.Moga dapat membantu dirinya.Yang penting sekali dapat membantu sesama muslim.Pada hari ini dia memerlukan bantuan,esok ataupun lusa mungkin diri ini pula yang memerlukan pertolongan.

Saya memohon untuk mengundur diri dan masuk kedalam kereta dengan memberi isyarat ke tempat duduk pemandu.Sebelum pergi,sempat kami bersalaman walaupun dalam keadaan saya yang agak sedikit kalut.Berlegar dikepala saya beberapa urusan penting yang masih lagi belum selesai untuk hari ini.

Saya melihat pemuda tadi berlalu pergi dari cermin sisi kanan.Kesian jugak bila melihat dirinya.Terbias muka kepenatan pada wajahnya.Ada sedikit titik peluh didahinya kelihatan ketika saya berhadapan dengannya tadi.Beliau berlalu pergi dibawah pancaran sinar mentari yang panas pada tengah hari itu.

“Terkadang golongan mereka lebih gembira dan tenang daripada orang”.Saya berfikir sendirian setelah berada didalam kereta.

Kebanyakan manusia mempunyai darjat dan harta.Tapi permata yang ada didalam jasad tidaklah sehebat yang tergambar diluaran.Memiliki kereta mewah,rumah yang bertingkat,harta yang bertimbun dan segala kemewahan lain lagi.Semua metirial ini tidak melambangkan bahawa permata diri yang letaknya iman disitu gah atau kukuh seperti segala harta apa yang dimiliki.Semuanya tidak menjaminkan permata jasad itu boleh memberi ketenangan diri sepertimana yang dikejar oleh golongan yang hatinya suci dan bersih dari titik hitam dunia.

Hati itu permata diri.jika baiknya ia maka baiklah seluruh jasad.Jika buruknya ia,maka buruklah seluruh jasad.Begitulah perumpamaan yang diberikan oleh junjungan besar nabi Muhammad SWA.

Kereta yang dipandu terus meluncur laju ke destinasi yang hendak dituju.Akan tetapi Tapi hati ini entah sudah ada tempat tujunya atau belum.Hati yang kadang bersemangat untuk beribadah kepada Allah ,tapi hati ini juga tergelincir dan hanyut bila dilambung ujian duniawi.

“wahai tuhan yang mebolak-balikkan hati,tetapkanlah hatiku diatas ugamamu dan ketaatan kepadamu.”Doa dipohon mengharap bantuan dari yang memiliki hati yang lemah ini.

Jika dilihat pada permata asli ia adalah sesuatu yang amat bernilai dan mahal harganya. Ia adalah hasil tekanan yang tinggi dikenakan pada karbon. Tekanan yang tinggi itu akhirnya menghasilkan permata yang berkilau dan cantik.

Siapa yang tidak mahu memiliki permata? Seorang wanita pasti mengidamkan dirinya dihiasi oleh permata yang berkilauan. Seorang lelaki pasti bercita-cita menghadiahkan sebentuk permata kepada seseorang yang dikasihinya.

Dalam diri manusia juga terdapat satu benda yang nilaiannya seperti permata. Iaitu hati. Kerana seorang yang hatinya tenang, cekal dan kuat merupakan individu yang telah diuji melalui pelbagai ujian yang menekan sehingga hatinya berkilau umpama permata yang bergemerlapan.

Hati yang tenang ini adalah umpama permata yang berkilau dalam diri manusia. Ia bukan sahaja membahagiakan si pemiliknya, malahan orang lain juga akan kagum kepadannya.

Saidina Abu Bakar AsSiddiq adalah insan yang memiliki ketenangan yang tiada tolak bandingnya. Ketenangan dan ketulusan hatinya telah terbukti sepanjang hidupnya dengan Baginda junjungan saw. Beliau masih mampu bertenang di saat wafatnya Baginda saw malah berupaya untuk menenangkan orang lain agar menerima hakikat sesungguhnya Baginda saw telah pergi menemui Allah swt.

Hari ini ramai manusia telah kehilangan permata didalam dirinya. Manusia akhir zaman sudah kehilangan apa yang dinamakan ketenangan hati. Ketenangan hati ini adalah antara nikmat Allah swt yang diberikan kepada hambaNya yang soleh.

Seorang yang sakit bahagian badan akan merasa nikmatnya selepas sembuh dari sakit tersebut.

Seorang yang sakit gigi, nikmatnya adalah selepas gigi yang rosak itu dicabut atau ditampal.

HATI YANG MATI

Ramai manusia bergelar bilionaire. Bergelar jutawan. Bergelar pemimpin agung. Bergelar intelektual. Bergelar cendekiawan. Bergelar negarawan dan pelbagai lagi gelaran-gelaran duniawi. Tetapi berapa ramai yang mempunyai gelaran-gelaran ini mempunyai ketenangan hati?

Leslie Cheung, seorang artis yang sudah terkenal, mati bunuh diri. Bob Marley, juga mengakhiri hidup yang penuh populariti dengan kematian yang tragis. Mariah Carey, dilaporkan sudah beberapa kali mengunjungi klinik psikiatri. Maradona, hancur karier bola sepaknya kerana dadah. Hitler, juga mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri. Ini adalah sebahagian contoh kehidupan yang ramai diantara manusia kejar dan impikan. Populariti, kekayaan dan kuasa.

Cat Stevens atau Yusuf Islam, sebelum menerima hidayah dari Allah yang mana beliau menemui ketenangan, juga hidup dalam keadaan yang tertekan dengan ketagihan alkohol. Namun, dengan jiwa barunya, dihiasi dengan ketenangan iman, beliau telah memulakan hidup baru sebagai seorang pendakwah.

Mari kita fikirkan kembali adakah kita ini sudah memiliki permata itu? Sudahkah kita menjadi insan yang masih mampu tersenyum tatkala 1001 kesusahan melanda kehidupan diri kita?

Atau adakah kita ini masih tergolong didalam golongan yang dikurniakan populariti, kedudukan dan harta, tetapi masih berterusan hidup dalam tekanan?

Kita barangkali pernah melihat seseorang yang berkuasa dan kaya raya, mempunyai mahligai yang besar, tetapi sering menghabiskan masa malam mereka di kelab-kelab malam, memabukkan diri demi untuk mencari satu benda yang dinamakan ketenangan diri.

UBAT HATI

Allah berfirman,

"Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

Apakah yang dikatakan zikruLlah (mengingati Allah) itu? Tuan Guru Nik Ab Aziz mengatakan zikir terbaik itu adalah al-Quran. Maka berdampinglah dengan al-Quran kerana ia sudah pasti akan memberikan ketenangan jiwa.

Al-Quran yang dibaca, akan membawa ketenangan kepada pembacanya. Tetapi al-Quran yang diamalkan isinya, ia akan membawa ketenangan ke seluruh alam. Tetapi umat Islam sendiri hari ini tidak mengamalkan isi al-Quran menyebabkan umat Islam seluruhnya telah kehilangan ketenangan dalam hidup seharian.

Malah, ada banyak lagi cara untuk menenangkan hati. Prinsip asasnya mudah. Setiap sesuatu itu mesti menjurus ke arah mengingati Allah. Umpamanya melihat mentari yang bersinar,bintang yang berkelipan, , aliran sungai,tumbuhan menghijau langit yang biru, burung-burung berterbangan dan sebagainya yang mana itu semua menunjukkan kehebatan Allah swt.

Kaedah ini juga diguna pakai oleh ahli psikologi bagi memudahkan seseorang tidur. Dengan memberikan panduan agar mereka yang menderita imsonia itu melelapkan mata sambil membayangkan taman yang indah, ada rama-rama yang berterbangan, bunga-bunga yang menyegarkan kerana perkara-perkara yang menunjukkan kebesaran Allah itu semuanya menjurus kepada ketenangan hati.

Allah berfirman,

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati(dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau ke dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaKu. (al-Fajr, 27-30)

Manusia yang mempunyai jiwa yang tenang maka syurga adalah tempat mereka. Dan pra-syarat mereka yang ingin mempunyai jiwa yang tenang ini adalah iman serta amal soleh mereka.

Ketenangan hati inilah yang sudah tiada dalam kebanyakan manusia. Kita sering menyangka kekayaan, kuasa dan populariti itu lah yang bakal membahagiakan hidup kita didunia. Tetapi, jangankan akhirat, sejak didunia lagi, kekayaan dan kuasa itulah yang telah menghilangkan rasa bahagia kita sekiranya ia tidak didasari dengan dasar iman dan taqwa.

Maka ingatlah, seseorang yang telah dikurniakan hati yang tenang pasti menerima segala takdir baik dan buruk yang ditimpakan keatasnya, kerana mereka yakin dan percaya akan firman Allah,

"Oleh itu, maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada kemudahan dan sesungguhnya setiap kemudahan itu ada kesusahan." (al-Insyirah: 5-6)

Sayangilah permata anda.jangan biarkan ia dipenuhi titik hitam dosa kerana ia akan menjadi penghijab diri.


Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP