SUJUD MALAIKAT PADA MANUSIA

>> Thursday, May 6, 2010



Satu perkhabaran dari Allah :

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada sekelian malaikat “Sesungguhnya aku ingin ciptakan seorang khalifah di muka bumi”

Para malaikat bertanya :

Mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu makhluk yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah? padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan kamu”

Allah menjawab :

Sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu tidak tahu

Lalu..:

Dan Allah mengajarkan kepada Adam nama benda seluruhnya kemudian dihadapkan kepada para malaikat lalu berfirman : “Sebutkanlah kepadaku nama benda itu jika kamu dari orang yang benar”

Reaksi malaikat :

( Dalam taa’jub )

Mereka menjawab : Maha suci engkau,tiada yang kami ketahui selain dari apa yang telah engkau ajarkan kepada kami.Sesungguhnya Engkaulah yang maha mengetahui dan maha bijak sana”(Al -baqarah :32)

Maka Allah perintahkan kepada sekelian malaikat agar sujud kepada Adam kerana kehebatan ilmu dan kemampuan yang dimilikinya.

Satu ketika dahulu di syurga, keturunan makhluk yang bernama manusia pernah disujud oleh malaikat dihadapan Allah sebagai bukti kehebatan dan kebijaksanaannya yang dianugerahkan oleh Tuhan pencipta segala makhluk.

Begitu izzahnya manusia pada mata malaikat sewaktu itu kerana kemampuan akal dan kehebatan yang ada padanya.

Maka dengan ketentuan ilahi,keturunan yang pernah disujud oleh seluruh makhluk langit ini berkembang di bumi dan makin bertambah dari zaman ke zaman.



MISI MEREKA DIBUMI

Manusia dibumi adalah untuk menjadi khalifah yang menjaga bumi.Mengikut penafsiran para ulama’ maksud ‘khalifah’ itu adalah :


" اقامة الدين وسياسة الدنيا "

“mendirikan agama dan mentadbir dunia”.

Itulah hakikat sebenarnya kejadian kita sebagai makhluk di dunia.Diberikan tanggung jawab sebagai hamba untuk menyebarkan agama allah dan mentadbir alam bumi ini dengan sebaik mungkin.

Sebagai seorang hamba yang diberikan tanggungjawab yang banyak memang akan merasakan bebanan dan kerja yang bertindih kerana keterbatasan kemampuan mereka dan sifat dhaifnya sebagai hamba.Tetapi ianya bukanlah sebagai satu alasan yang boleh kita berikan dari mengelak tanggungjawab kerana allah telah memberi kepercayaan yang tinggi kepada manusia untuk memikulnya dan mereka pasti dapat melaksanakan.

Yakin Allah kepadamu duhai manusia !

Jika kita melihat dari sudut fizikal dan kekuatan,bandingkan kita makhluk yang bernama manusia dengan para malaikat,gunung ganang,bukit bukau,angin kuat dan lautan luas lagi dalam yang semuanya ini juga makhluk allah,siapakah diantara seluruh makhluk ini yang lebih kuat dan hebat?

Akan tetapi,yang menjadi pilihan pada pandangan Allah adalah manusia jua berbanding dari makhluk yang lain walaupun mereka lebih layak untuk memikul tanggungjawab di dunia.Ini kerana manusia di bekalkan dengan satu anugerah yang tidak ada pada makhluk lain iaitu ‘akal fikiran’.Kerana itulah manusia ditaklifkan dengan pelbagai urusan kerja yang bermacam macam agar dapat menyebarkan islam dan mentadbir dunia dengan sempurna.



TIDAK MENANG TANGAN

“Aduh…buku belum habis baca lagi.Exam berderet deret plak.Urusan lain bertimbun menanti.Banyaknye kerja nak buat”.Fikirnya ketika dihujani dengan pelbagai urusan yang perlu diselsaikan.Terkadang rasa mahu sahaja dibiarkan.

“Aduh, susahla macam ni.Semua senior dah balik.Tahun ni tak ada orang nak tolong ajarkan lagi.. Macammana nak faham?”

“Nak baca buku sendiri susahla.” Rungut individu lain pula.

“Banyaknya kerja yang perlu dibuat,mana la sempat untuk dibereskan semua ni”.Katanya pada diri.

Perkara ini seolah-olah menjadi tradisi. Andaikan diberi buku dan disuruh baca sendirian, pasti ada yang menggelabah.Begitu juga jika diberikan tugasan yang banyak,bagai tidak cukup masa untuk diselesaikan.

Dikala dibebani dengan pelbagai urusan kerja yang banyak,jangan cepat untuk mengeluh dan berasa tertekan dengan pelbagai kerja.Apatah lagi jika dalam masa yang sama kita adalah seorang pelajar yang perlu memberikan penumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran dan dalam masa yang sama komitmen lain pun juga perlu difikirkan seperti persatuan dan sebagainya.Ini pada hakikat secara tanpa kita sedari menjadi satu motivasi kepada diri dan sebenarnya membuatkan kita lebih cekap dalam menguruskan masa dan jadual hidup.

Kita memang tidak mampu untuk lari dari tanggungjawab kerana memang itu tujuan penciptaan kita didunia.Sama seperti tanggungjawab belajar,persatuan,pekerjaan dan lain lagi. Ianya tetap berkait dengan maksud penciptaan manusia di dunia.Sedar atau tidak sahaja setiap individu tersebut.

Jika sekiranya kita sedar akan hakikat ini,maka setiap apa jua taklifan yang diberi mesti akan diuruskan dengan sebaik mungkin dan sempurna.

Kekangan masa dan tenaga sememangnya tidak cukup untuk dibahagikan jika kita tidak pandai dalam membahagikannya.Sebiji roti boleh dikongsikan dengan lima sekawan jika dibahagikan dengan cermat dan adil walaupun dengan hanya kuantiti yang sedikit.Sebaliknya juga dengan sepinggan nasi yang penuh.Ianya tetap tidak akan cukup untuk dimakan oleh seorang jika tidak pandai dibahagikan dengan baik.

Begitulah jua dengan masa dan tanggungjawab.Ianya perlu dibahagikan dan diatur dengan cermat supaya kerja yang banyak dapat dilaksanakan dan tidak menyerabutkan.Umat islam mampu untuk menguruskan segala kerja walaupun banyak dengan sempurna dan berjaya kerana kita sememangnya dilatih untuk kearah itu dalam seharian.Cumanya perlu kepada usaha dari diri sendiri dan kesungguhan dalam dalam mencipta kejayaan.

Istilah “tidak menang tangan” ini perlulah digantikan dengan “aku mesti menang dalam segala hal !!”



MENDAKI GUNUNG KEJAYAAN

Cuba kita lihat sebuah gunung. Tidak kiralah gunung itu bernama gunung Jerai, gunung everest, gunung Kinabalu, atau apa jua gunung.Nun jauh di sana, sayup mata memandang dari kejauhan – terkelihatan puncaknya.

Lalu kita punya dua andaian ketika berada di kaki gunung itu. Pertamanya, ialah misi menawan gunung untuk menuju ke puncaknya. Kedua, hanya duduk memerhati dari bawah dan menyimpan angan-angan ke sana tanpa usaha. Pada hemat kita, tentu akan menilai bahawa mereka yang sampai ke kemuncak gunung itulah adalah individu yang cemerlang dan berjaya.

Sebaliknya, yang mendongak sambil menyimpan angan-angan kosong itu tidak dapat tidak manusia akan melabelnya sebagai individu kalah. Kalah dengan jiwa sendiri. Selagi mana dia tidak bangkit untuk mencabar dirinya, dia tetap terbelenggu dengan kekalahan dalaman yang berpanjangan.

Justeru, nisbahkan saja gunung itu adalah matlamat dan cita-cita kita. Andainya kita rebah dan kalah diperingkat awal, hanya kerana takut mencuba dan mencabar diri sendiri untuk mendepani matlamat, nescaya selamanya kejayaan itu tidak akan memeluknya. Bahkan kalaupun dia berjaya, kepuasan sebenar mengecapinya tidak tercapai pada tahap maksimum. Kenapa?

Kerana pahit maung tidak ditelan, tetapi hanya kemanisan saja dikemamnya. Takut untuk menelan ubat pahit dan takut untuk mara kehadapan. Lalu bicaranya tidak selengkap manusia yang merasai keseluruhan rasa.

Ingat, manusia yang tidak pernah gagal atau merasai kesukaran, susah untuk menggambarkan kegagalan sebenar kepada insan lain.Faktanya, pengalaman menempuh GAGAL dan BERJAYA adalah intipati lazat untuk merentasi perjalanan yang panjang dihadapan.

Kata orang dulu-dulu, “Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

“Belakang parang, kalau diasah selalu akan tajam juga akhirnya.”

Mari berusaha untuk mendaki, sudah berjaya jangan pula dilupa asal usulnya kita!



MOTIVASI DARI SERANGGA

Mari kita lihat pula cerminan yang ditonjolkan sang labah-labah (al-ankabut). Labah-labahnya ini sebelum mendapat hasil, ia membuat sarangnya berbentuk jaringan. Usaha ini dilakukannya siang dan malam sehinggalah selesai. Apabila siap lingkaran jaringan itu, barulah ia dapat merasai nikmatnya hasil usaha selama ini.

Semut; serangga yang tak pernah mengenal erti penat dan lelah. Senantiasa mengumpulkan makanan untuk hari depannya, malah saling bekerjasama pula untuk mendapatkan kejayaan. Usaha yang dilakukan bukan sedetik, atau sehari tetapi berhari-hari.

Lebah; juga sejenis makhluk Allah SWT yang disebutkan di dalam al-Quran, mempunyai displin dan semangat tinggi bersama usaha yang tidak putus-putus. Bahkan, atas usahanya itu ia mampu menebarkan kebaikan kepada seluruh umat manusia pula. Firman Allah SWT:

"Dan Rabbmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia". (An-Nahl, 16:68)

"Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, didalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang-orang yang memikirkan". (An-Nahl, 16: 69)



MUSLIM YANG BERJAYA

“Eh, kenapa orang non-muslim berjaya, padahal dia tak beribadat pun pada Allah? Tak beriman pun?” Seorang manusia bersungut dengan nada putus asa.

Luahan berbaur aura kesamaran hasil bisikan syaitan ini pasti akan bermain di minda kita jika lemah imannya pada Allah SWT. Sebenarnya, inilah tanda Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada makhluk-Nya. Di awal lembaran al-Quran lagi Allah telah memulakan firman bersama serangkap kalimah “Bismillahhir Rahmannir Rahim.”

Bersama sifat ar-Rahman, Allah SWT mengasihi semua makhluk-Nya dengan menurunkan rezeki dan kurniaan yang melimpah ruah. Lanjutan dari sifat ar-Rahman, Allah SWT khususkan rasa penyayangnya kepada hamba-hamba yang mentaati perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Allahul Azim! Tidakkah beruntung bagi sesiapa yang tunduk menyerah dengan rasa kehambaan pada-Nya? Orang muslim itu kejayaannya bukan saja diganjari Allah SWT semata-mata di dunia sahaja, tetapi dilanjutkan hingga ke akhirat – yakni syurga Allah SWT. Berusahalah untuk memperolehi dua kejayaan itu.

Oleh kerana itu selaku muslim, kita perlu memiliki jati diri yang kuat seiring usaha yang gigih untuk dibuktikan kepada allah bahawa kita mampu untuk menjadi makhluk yang dapat memikul tanggungjawab dengan baik.Tanamkan cita untuk menjadi mukmin yang hebat walaupun dihujani dengan pelbagai urusan kerja dunia.

Cukuplah dengan bekalan akal dan sejarah kisah sujudnya malaikat kepada keturunan kita sewaktu dahulu menjadi kekuatan untuk kita buktikan kehebatan dan kemampuan dalam memikul tanggungjawab kepada makhluk lain.Muslim mampu untuk melakukan apa jua kerja kerana itulah kehebatan yang ada pada mereka.fleksibel.

Kerana allah yakin kepada kemampuan dirimu !

______________________________________


p/s : Pesan saya kepada para pelajar yang mempunyai banyak komitmen kerja seperti persatuan amatlah perlu dibahagikan masa dan waktu anda dengan sebaik mungkin agar kedua urusan yang penting ini dapat dihadapi dengan tersusun.Tidak mengabaikan pelajaran yang penting dan dalam masa yang sama tidak juga melengahkan kerja dalam persatuan.

Jangan jadi pelajar yang ‘ BEKU ’ dalam pembelajarannya tapi ‘ LAJU ‘ pula dalam persatuannya

Jadilah..

Pelajar yang ‘ MAJU ‘ dalam pelajarannya dan juga ‘ LAJU ‘ dalam persatuannya.

Umat islam perlu cemerlang hari ini dan selamanya.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP