AGAR TAAT MEMBAWA BERKAT

>> Tuesday, May 4, 2010



Selesai solat maghrib petang itu,saya mencapai senaskhah al-quran yang dihadiahkan oleh pusat percetakan dan pengedaran al quran king Abdullah bin Abd al-Aziz yang terletak di Madinah.Tanah berkat dimana bermulanya empayar islam membina kebangkitan.Ia diberikan secara percuma ketika berkesempatan menziarahi tanah haram pada tahun lepas.Satu persatu lembaran kalamuallah itu diselak.Jelas kelihatan kalimah suci terpapar jelas dihadapan kedua mata.

Rutin harian ini mesti dibuat setelah usai solat maghrib.Bersila diatas tikar sejadah dan membaca al quran walaupun dalam apa jua kesibukan sekalipun.Apalah salahnya jika duduk berteleku sekejap diatas sejadah untuk membaca dan mengambil kekuatan dari kalam allah yang mempunyai seribu satu hikmah dan pengajaran.Sudah seharian mengejar urusan duniawi dari awal pagi sampai ke lewat senja ,semuanya dapat dilakukan atas keizinan allah.

Tiba masanya pula diri ini duduk bermunajat kepada tuhan sekelian alam diatas segala nikmat yang diberikan tanpa putus.Bukti seorang hamba menyembah tuhan sebagai tanda syukur diatas sebuah kehidupan.Sehebat mana pun kita dalam menyelsaikan urusan kehidupan seharian,ianya tidak dapat lari dari percaturan dan kawalan allah taala.Segalanya ditentukan olehnya samada berjaya anak adam itu atau sebaliknya pula.

Saya membaca kalimah suci itu dari satu baris hingga ke satu baris yang seterusnya.Dari satu muka bertukar kepada muka surat yang berikut.Helaian demi helaian diselak.Tiba pada satu ayat saya terdiam.Entah mengapa hati sayu sekali bila membaca ayat allah yang penuh tinggi dan berkat ini.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia "(yang bersopan santun). (Al-Isra’: 23)

Tidak dapat rasanya untuk saya meneruskan bacaan seterusnya,Hati mengalunkan kerinduan kepada ummi dan abah di tanah air.Wajah kedua insan yang amat disayangi ini seakan terbias pada muka surat alquran yang dibaca.

Kerinduan kepada mereka berdua ini bukanlah seperti seorang anak manja yang sedih kerana berpisah dari tempat bergantung,tapi apa yang difikirkan adalah sudah cukupkah sepanjang kehidupan yang dilalui sehingga ke saat ini dapat membahagiakan mereka berdua dengan sepenuh kebahagiaan.Mampukah agaknya dibalas segala didikan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh mereka selama ini.

Sewaktu kecil dahulu, kita meniarap dan merangkak. Kita tidak tahu apa-apa tentang dunia hatta mahu berkata-kata sekalipun. Waktu itu kita hanya tahu menangis, berteriak dan minum susu.

Bermacam ragam kita sebagai anak sewaktu belum mengenal erti kehidupan yang sebenar.Pernah saya terlihat gelagat seorang kawan diwaktu kecilnya dahulu.Ingin berenang di darat bukan di air.

“ dulu suka berenang atas lantai...x lemas ”.Tulisnya pada gambar.Kelihatan bersamanya ada sebuah pelampung hitam yang berisi udara.Tergelak kecil saya melihat gelagat lucu itu.

“Boleh berenang ke di atas darat?” .Saya tersenyum sendirian melihat aksi comelnya.

Begitu juga diri saya sewaktu dahulu.Bermacam kerenah yang dibuat.Mungkin pernah juga terfikir untuk berenang diatas udara.Begitulah lagak si anak kecil.

Apabila usia si anak meningkat,diajar supaya bertatih.Si ibu tidak pernah jemu untuk melatih supaya anaknya dapat berjalan hinggalah akhirnya mampu berlari ke sana dan kemari.Motivasi ibu ini dilakukan agar anak kecil itu mampu berdiri dan berjalan sendiri, tanpa bergantung pada bantuan orang lain.

Si anak itu bangun. Dan rebah. Acapkali mahu rebah, ibu terus memaut kemas.

Ayah pula waktu itu sibuk bekerja untuk keperluan anak dan isterinya. Pada tanggapannya sebagai ketua keluarga, dia berhak memberikan sesuatu untuk mereka walaupun mereka tidak meminta-minta.

Proses tumbesaran terus berlangsung dari hari ke hari. Hingga satu saat, anak itu mengenal alam persekolahan dan wajah guru-gurunya.

MENITI USIA REMAJA

Bulan berganti bulan begitu juga tahun turut sama bersilih ganti.Adik adik semakin membesar dengan pantas.Kami dahulu yang tahu menangis apabila mahukan sesuatu dapat berfikir menggunakan akal pabila usia menginjak ke alam kedewasaan.Sedikit demi sedikit perkara baru yang dipelajari seiring dorongan dan didikan oleh kedua ibu bapa.

Teringat sewaktu kecil dahulu apabila ummi dan abah pulang dari tempat kerja.Jika kedengaran enjin kereka memasuki garaj dihadapan rumah,kaki kami melompat-lompat tanda gembira.Semua berlumba menuju kehadapan pintu masuk untuk menyambut kepulangan dua insan yang ditunggu tunggu.

“Umi beli dok robot cop hok abe pesan takdi? “.Tanya abang sulung saya.Belum sempat lagi umi menjawab pertanyaan yang diajukan.

“Umi takdi ngah talifon ko umi tok leh bakpe ? ”.Mengadu saya pula bersama muka yang sedih.Dalam penat ummi menjawab dengan penuh kasih sayang.

Adik adik lain ada yang bertenggek di ribaan umi dan ada juga dalam pelukan abah.Penat abah belum lagi hilang sebaik pulang dari kerja,terpaksa pula melayan kerenah anak yang bermacam-macam ragam.

‘’Alif..ba..ta..tha.Baca molek molek,tengok kat depan sini”.Tegas abah dalam mengajar muqaddam kepada kami.Masing masing membacanya mengikut giliran dengan tekun.

Masih tersimpan dalam kotak ingatan sejarah silam ini.Ketika mana abah mengajar mengaji dahulu sewaktu kecil.Bermula dari sinilah saya mampu untuk membaca al quran walaupun tanpa melihat ayat dan tulisan yang termaktub di dalamnya.

Ya, itulah watak ayah dan ibu kita. Mereka tidak jemu untuk membantu, mendidik dan membesarkan kita. Andaikan mereka biarkan kita terkapai-kapai, tentu sudah menjadi kutu rayau jalanan. Atau mati kelaparan. Tetapi hukum Islam tidak mengenakan qisas jika kerana mereka kita mati.

BILA DEWASA

“Boleh tak jangan kacau saya mak?!” Tengking anak persis hikayat si Tanggang.

“Semua tak boleh, ini tak boleh itu tak boleh.” Marah anak bila hajatnya tak kesampaian.

“Mak mahukan kamu menjadi orang berguna, bukan anak derhaka.” Redup wajah ibu tetap setia menasihati. Walau kelopak matanya sudah menakung titisan penderitaan jiwa. Si anak memarahi, menengking dan mengherdik.

Apakah dia sudah lupa, ibu itulah yang mengandungkannya 9 bulan, menyusu, berjaga malam, memberi makan walau saat ibu kelaparan, mendidik dan mengajar?

Adakah dia sudah alpa, bapa itulah yang mendukungnya petang-petang, memimpin tangan ke mana saja agar tahu erti hidup di dunia, mengajarnya kalam-kalam Allah SWT dan memberinya wang saku harian?

Ah, manusia itukan mudah lupa. Hingga ibu bapa yang baik juga dianggapnya celaka. Kasihan mereka.

14. "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali" (untuk menerima balasan).

15. "Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau – Dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan". (Al-Luqman: 14-15)

Lainlah jika ibu bapa itu mengajak kepada kemungkaran. Maka tidak wajib mengikuti mereka – tetapi menasihati dengan cara baik. Ingat, menasihati bukan lesen untuk memijak kepala mereka walau tidak Islam!

Berdoa, berdoa dan berusaha agar taufiq dan hidayah Allah SWT memeluk jiwa-jiwa mereka.

TAATILAH, JIKA MEREKA TIDAK MENGKUFURKANMU

Banyak kisah mengenai ibu bapa di rakamkan di dalam hadis. Pernah suatu ketika, ada seorang lelaki datang berbai’at kepada Rasulullah SAW untuk berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT. Ia mengharapkan pahala dari Allah SWT. Baginda SAW tidak langsung menerimanya.

Akan tetapi bertanya kepadanya: “Apakah ada di antara kedua orang tuamu yang masih hidup?”

Orang itu menjawab: “Ya, bahkan keduanya.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Apakah engkau mencari pahala dari Allah SWT?”

Orang itu kembali menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Pulanglah kepada kedua orang tuamu dan berbuat baiklah dalam berbakti pada keduanya.” (Muttafaq ‘alaihi)

KISAH JURAIJ DAN IBUNYA

Kisah Juraij – seorang ahli ibadah yang taat pada perintah Allah SWT juga mengandungi iktibar untuk sama-sama kita renungi.

Suatu ketika si Juraij sedang melakukan ibadah solat. Tatkala itu, ibunya memanggil beliau. Walhal dalam hatinya masih tertanya-tanya dan taraddud.

“Wahai Tuhanku, ibuku atau solatku?” Bisik hati kecilnya pada Pencipta. Lantas ia mengambil keputusan untuk terus bersolat.

Namun, ibunya tetap saja memanggil namanya. Kali pertama, tidak menyahut, kali kedua tetap begitu dan kali ketiga juga masih membisu. Lalu ibunya berdoa buruk padanya.

“Semoga ia tidak mati hingga Allah memperlihatkan kepadanya wajah pelacur.” Berkat doa ibu, terjadi peristiwa di mana seorang pelacur berzina dengan sang pengembala kambing dan hamil.

Akibat takut pecah tembelang, sang pengembala berkata kepada pelacur itu sebagai cadangan untuk menyelesaikan masalah.

“Kalau engkau ditanya orang tetang siapa ayah bayimu, katakanlah – Juraij yang ahli ibadah.” Setelah pelacur itu membuat pengakuan begitu, orang awam menghancurkan tempat ibadahnya dan membawanya ke lapangan pengadilan.

Di pertengahan jalan, beliau teringat pada doa ibunya dan tersenyum. Ketika berhadapan dengan tiang hukuman, dia meminta agar dilepaskan seketika kerana mahu bersolat dua rakaat. Kemudian meminta bayi itu dan dia berbisik di telinganya.

“Siapa bapamu?” Soal Juraij.

“Bapaku si fulan, seorang pengembara.” Jawab bayi itu. Mendengar kata-kata bayi, orang ramai lalu bertahlil dan bertakbir.

“Kami akan bangunkan kembali rumah ibadahmu dari emas dan perak.” Kata mereka.

“Tidak, akan tetapi kembalikan lagi seperti sedia kala dari tanah.” Pinta Juraij.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Nabi SAW bersabda:

“Kalau seandainya Juraij itu mengerti fiqh, nescaya ia tahu bahawasanya ia lebih wajib memenuhi panggilan ibunya daripada terus menerus solat.” (Kisah diambil dari petikan buku Syakhsiyah al-Muslim – Keperibadian Seorang Muslim karya Muhammad Ali al-Hashimi)

Justeru, para fuqaha’ berpandangan bahawa apabila sesorang sedang solat sunat, lalu salah seorang dari kedua ibu bapanya memanggil, maka wajib berhenti dan memenuhi panggilannya.Taatilah juga mereka berdua dalam apa jua keadaan sekalipun.Jadilah kita seorang anak yang menjadi penyejuk hati mereka.

Moga ketaatan kepada mereka membawa keberkatan dalam kehidupan.


_______________________________________________


p/s : Berbuat baiklah kepada kedua orang tuamu.Jangan melukai dan menyakiti hati mereka walau dengan sekecil mana pun perbuatan.Kasih sayang yang dicurahkan sewaktu kecil belum tentu lagi dapat dibayar dengan seluruh isi dunia.Seorang ibu mampu menjaga sepuluh anak kecil,tapi sepuluh anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang Ibu bila tiba hari tuanya.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP