MALAM SERIBU BULAN

>> Friday, September 3, 2010



Sudah hampir sebulan ramadhan datang mengunjungi kita.Tetamu mulia ini sentiasa dirindui akan kehadirannya.Hembusan bayu ramadhan datang menyapa diri dan mendamaikan jiwa-jiwa mukmin.Para penghuni syurga terpinga-pinga dengan hembusan ‘muthirah’ yang menerpa ke pintu syurga yang kini dibuka seluas-luasnya.

Manakala dibumi pula,suasana keimanan mewarnai iman para mukmin dan mukminat.Kemanisan iman begitu mudah dirasai dan suara merdu para imam mudah sekali menyentuh jiwa.Allah yang maha Rahman semakin mewah melimpahkan rahmat dan ihsanNya.

Ibn Abbas r.a berkata,bahwa beliau mendengar Rasulallah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadhan.Apabila tiba malam pertama dari bulan ramadhan ,akan ada satu angin yang akan berhembus dari bawah Arasy yang dinamakan ‘muthirah’.Lalu bergeseranlah daun-daun pepohon syurga.Maka akan kedengaranlah suatu bunyi yang amat merdu sekali yang tidak pernah didengari bunyi yang semerdu itu daripada sebelumnya.Kemudian muncullah bidadari-bidadari syurga sehingga mereka berhenti di anjung syurga.Mereka kemudian menyeru,”adakah sesiapa yang ingin meminang kami agar Allah menghawinkan dengan kami?”kemudian mereka berkata lagi,”wahai Ridhwan penjaga syurga! Malam apakah ini?”.Ridhwan menjawab,malam ini ialah malam pertama daripada ramadhan,dibukakan semua pintu-pintu syurga untuk ummat Muhammad s.a.w.”

Begitulah yang berlaku disyurga bila tibanya Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.Di alam dunia para muslim meyambutnya dengan begitu meriah sekali untuk mengambil segala kurniaan yang diberikan oleh Tuhan sekelian alam.

Ramadhan.

LEBIH BAIK DARI SERIBU BULAN

Salman r.a menceritakan bahawa Rasulallah bersabda ‘’Wahai manusia,telah datang kepadamu bulan yang agung lagi diberkati.Satu bulan yang terdapat didalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan’’.Demikianlah bagaimana Rasulallah s.a.w mengkhabarkan kepada kita para ummatnya betapa begitu istimewa dan hebatnya malam yang dijanjikan oleh Allah itu.Betapa sungguh kerugian kepada sesiapa yang mensia-siakan kesempatan kunjungan bulan mulia ini kerana bersama-samanya datang satu malam yang dinamakan Lailatulqadar .Satu malam yang penuh dengan dengan kemuliaan dan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Sungguh bertuah kepada mereka yang mendapat taufik dan menyedari akan keistimewaan dan kelebihan yang terdapat padanya dan berlumba-lumba untuk beribadah pada malam tersebut.Hanya dengan satu malam al-qadr ini keuntungannya dan fadhilatnya menyamai kebaikan selama 83 tahun 4 bulan.Fadhilat ini telah diberitahu oleh Allah,pencipta seluruh alam.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-quran) ini pada malam al-qadar dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran lailatulqadar?.Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan.Pada malam itu,turun para malaikat dan jibril dengan izin tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya ).Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar” [al-qadr 1-5]

HANYA TERISTIMEWA UNTUK UMMAT MUHAMMAD

Allah s.w.t telah mengkhususkan satu surah didalam alquran bagi menerangkan berkenaan lailatulqadar ini.Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulallah pernah bersabda yang menyatakan bahawa al-qadar ini hanyalah diberikan kepada ummat Muhammad s.a.w sahaja.Alangkah besarnya nikmat dan alangkah beruntungnya kepada sesiapa yang mencari keredhaan Allah dimalam istimewa ini.

Rasulallah s.a.w juga menyatakan bahawa kemuncak kepada kemulian yang akan diperolehi seseorang hamba yang tekun beribadah pada malam al qadr ini adalah mendapat keampunan sepenuhnya terhadap dosa yang menyebabkan seseorang itu menjadi bersih sebersihnya.
Amatlah malang jika kita diizinkan untuk bertemu Ramadhan yang penuh keberkatan ini,hanya membiarkan lailatulqadar berlalu tanpa kita mendapatkan manfaat kerohanian yang melimpah ruah.Satu kerugian yang tidak dapat dibayangkan !


IKTIKAF

Manifestasi keimanan dan ihtisab ini telah ditunjukkan oleh Rasulallah s.a.w dan para sahabat dalam kehidupan mereka,lebih-lebih lagi dalam kehidupan ramadhan mereka.Pagi dan petang ramadhan mereka,siang dan malam juga ramadhan mereka.Segalanya menunjukkan apakah yang dikatakan berpuasa pada siangnya dan mendirikan ibadah pada belah malamnya pula.Kehidupan suci murni Rasulallah dan para sahabat adalah neraca kita dalam menilai dan memadu ramadhan kita.

Bagi mendapat manfaat dan kemuliaan yang terkandung dalam Ramadhan dan lailatulqadar,maka antara sunnah yang paling utama adalah beriktikaf di masjid.Rasulallah pernah beriktikaf dimasjid sebulan penuh dalam bulan ramadhan.Baginda juga beriktikaf selama 20 hari dan adakalanya juga baginda akan beriktikaf selama 10 hari terakhir di bulan ramadhan untuk mendapat ganjaran lailatulqadar yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Alangkah malangnya umat ini,amalan pada akhir 10 Ramadhan inilah yang paling kita abaikan di tanah air kita Malaysia.Kalau begitu keadaan, bagaimana kita akan beroleh malam yang istimewa,lailatulqadar.Jadi marilah sama kita berusaha dengan beribadah dengan seikhlas hati dan sebanyak mungkin pada malam-malam Ramadhan yang masih berbaki ini.Moga-moga kita tergolong dalam golongan kolompok yang mendapat kebaikan seribu bulan itu yang akan diberikan oleh Allah s.w.t kepada hamba yang mencarinya.

Insya’allah ta’ala.

‘Lailatul qadri khairum min alfi syah’

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP