BUKAN UNTUKMU SEORANG

>> Monday, April 26, 2010



Saya baru sahaja tiba kerumah dari universiti.Hari ini agak lambat sedikit pulang dari hari-hari biasa kerana pergi menjenguk sahabat. Sudah lama rasanya tidak menziarahi mereka yang tinggal di dalam penempatan yang disediakan oleh pihak universiti atau lebih dikenali dengan panggilan ‘sakan’.Mahu tidak lambat pulang hingga ke lewat senja begini,dijamu makan dengan pelbagai makanan,bersembang tentang kehidupan harian hinggalah kepada bab pelajaran.

Ada yang mengadu tentang mata pelajaran yang susah,pensyarah yang ‘syadid’ dengan kehadiran dan pengiraan markah peperiksaan dan ada juga yang bertanyakan kaedah belajar yang berkesan.

Begitulah aturan pembelajaran kami disini.kalau nasib tidak menyebelahi,pensyarah yang sepatutnya mengajar mata pelajaran yang diambil tiba-tiba bertukar dengan pensyarah yang lain,amatlah mengecewakan. kalau toleransinya boleh dibawa berbincang tidak menjadi masalah.Tapi,jika terkena dengan yang ‘syadid’ alamatnya susahlah sedikit untuk score subjek tersebut.Pertukaran pensyarah seperti ini biasanya disebabkan oleh perubahan mata pelajaran dan jadual setiap doktor yang mengajar.

“Macam mana ye nak dapat markah tinggi ? “. Tanya seorang sahabat kepada saya ketika sedang minum air teh panas dalam biliknya

“macam mana?...hurmm..kena study rajin-rajin lah.Buat nota ringkas untuk subjek yang susah.Boleh diletakkan dalam poket baju.Senang untuk dibawa kemana-mana.Bila ada masa terluang boleh bukak dan hafal terus,tak perlu bawak buku yang tebal..kan senang..Usaha tu penting !”.Jawab saya ringkas dalam memberi pesanan kepadanya.

“ha,lagi satu..kalau nak senang belajar dan mudah ingat semua point buku ni..lazimkan diri baca al quran selalu”.Tambah saya lagi kepadanya yang sedang khusyuk mendengar.

“betul-betul,sebab tu ana nak jadi rajin macam anta”.Katanya dalam nada gurauan.

“Rajin macam ana??..ana ni tak lah rajin.Ana yang sepatutnya perlu ikut kerajinan anta”.Jawab saya sambil menepuk bahunya dan diiringi oleh tawa kami berdua.

Begitulah sifat kemesraan yang ada oleh para sahabat yang tinggal di sakan.Bagai satu keluarga walaupun dari berlainan tempat asalnya.Bila bertandang kesana,rasa malas pula untuk balik ke rumah sendiri.sifat kemesraan,ramah dan happy selalu yang ada pada mereka itulah yang membuatkan saya selalu pulang di lewat petang kerumah setiap kali bila pergi kesana.

Senja kian melabuhkan sinarnya.Matahari pun sudah makin menghilang tanda waktu maghrib tiba.Masih ada lagi segelintir manusia yang mengahabiskan urusan kerjanya untuk hari ini.

Teksi yang saya naiki terus bergerak melewati bangunan ditepian jalan.Saya mengarahkan kepada pemandunya untuk berhenti dihadapan bangunan rumah yang didiami dan terus melintas untuk menyeberangi jalan.

Ayat-ayat suci al quran kedengaran jelas dari atas menara masjid umar.Sungguh merdu sekali suara imam mengalunkan kalamullah.Kepada siapa yang memahami maksudnya pasti akan terdiam seketika.Itulah mu’jizat al-quran dari allah.Itulah juga kitab yang tiada keraguan kepadanya dan menjadi petunjuk kepada mereka-mereka yang bertaqwa.

Selepas meletakkan buku pelajaran dan menukar pakaian ,saya terus bergegas keluar menuruni anak tangga.Langkahan diatur secepat mungkin.Kadang-kadang berlari anak untuk mengejar jemaah yang masih lagi bersolat agar tidak terlambat.

"Samiallahuliman hamidah..Allahuu akbar…"

Kedengaran suara imam menandakan para jemaah akan sujud.

“Alamak,dah nak abis solat ni..”. Saya berbisik didalam hati.Risau kalau sampai kemasjid ketika orang sudah habis sembahyang.

Sesampai ke pintu masjid,baru teringat yang masih lagi belum berwhuduk.“Nampaknya solat sendiri la aku lepas ni”.Begitulah kalau terlewat sampai untuk berjemaah.

Usai berwhuduk,saya terus melangkah keruangan solat.Kelihatan ada yang sedang duduk berzikir,bertafakkur mengingati allah dan ada juga yang sedang solat sunat.Tiba-tiba..

“Sollaita..?”.saya ditegur oleh seorang pemuda arab

“Laa’,ma sollaitu” jawab saya ringkas.

“Taal huna,nusolli jamaah”.Rupanya dia sendiri pun masih belum bersolat lagi.Dia mengundur sedikit kebelakang bersama dua orang pakcik arab yang ingin turut sama bersolat.

“Tafaddhol ya akh’’ dia bersuara sambil menunjukkan isyarat dengan tangannya supaya saya kehadapan untuk mengimami solat.Namun saya masih berdiri disitu tanpa menunjukkan sebarang riaksi untuk kedepan.

Tiba-tiba dia menolak badan saya membuatkan kaki melangkah kehadapan sedikit.

“Asif…,anta ahsan ya akhi” .Saya berkata kepadanya sambil menoleh kebelakang.

“laa’, Anta ahsan” Tanpa banyak bicara,dia terus melaungkan iqamah untuk solat.Saya hanya mengikut katanya untuk mengimami solat.Jika masih melengahkan dengan saling suruh menyuruh untuk menjadi imam,akan terlambat pula nanti solat maghrib .Segerakan solat itu yang lebih penting dari saling berharap.

Selesai pemuda tadi memberi iqamah,terdengar pula satu suara dari belakang

“Huwa maliziy,anta aula lil imam.”kata seorang pakcik arab yang kelihatan memakai kot hitam kepada pemuda yang melaungkan iqamah tadi..Beliau berdiri sama dalam saf di belakang saya untuk bersolat.

“Laa’,kholas..ma fi mushkilah ya sayyid.huwal imam”.katanya kepada pakcik yang kelihatan tidak berpuas hati melihat saya selaku orang asing menjadi imam kepada golongan arab padahal perkara seperti ini sudah menjadi kebiasaan di masjid umar yang menjadi tumpuan para pelajar malaysia untuk solat kerana berdekatan dengan tempat penginapan.Bahkan,ada jugak pelajar malaysia yang menjadi muazzin jemputan untuk solat jumaat .

“Mungkin pakcik ni tidak pernah lihat orang malaysia jadi imam...Orang baru kot”. Saya bersangka begitu didalam hati.

Tanpa membuang masa.Saya memberi isyarat supaya memperbetulkan saf..lalu mengangkat takbir..

Allahuakbar..!!

"Sesungguhnya solatku,amalanku,hidupku dan matiku hanyalah kerana allah tuhan sekelian alam.Dan aku hadapkan mukaku kepada dzat yang menciptakan langit dan bumi………."

Semua sedang berhadapan dengan allah dalam solat tersebut.Tiada yang lebih diantara mereka kecuali yang khusyuk berdiri sebagai hamba dihapan Allah tuhan yang berhak disembah.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang...

"Apabila langit terbelah - Dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan - Dan apabila lautan dijadikan meluap - Dan apabila kubur dibongkar - Maka tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan apa yang telah dilalaikan – Hai manusia,apakah yang memperdayakan kamu(derhaka) terhadap tuhanmu yang maha pemurah – Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadian dan menjadikan (susunan tubuhmu seimbang) – Dalam bentuk apa sahaja yang dia kehendaki dia menyusun tubuhmu – Bukan hanya derhaka sahaja tapi kamu mendustakan hari pembalasan – Padahal sesungguhnya bagi kamu ada malaikat yang mengawasi – Yang mulia disisi allah dan yang mencatat pekerjaanmu – Mereka mengetahui kerjamu" - ( al-infithaar 1-12 )

Setelah usai mengimami solat tadi,saya bangun dan melangkah kebelakang tanpa berwirid atau berdoa bersama-sama dengan jemaah lain kerana amalan seperti itu memang tidak dipraktikkan oleh kebanyakan negara arab yang berpegang kepada mazhab Hanafi dalam ibadah mereka.Berbeza dengan apa yang diamalkan oleh rakyat Malaysia selepas solat fardhu.

Ketika saya melangkah keluar untuk menuju kepintu masjid,terasa seakan bahu saya dipegang dari arah belakang.Rupanya dia adalah pak cik yang menegur saya dari menjadi imam ketika hendak memulakan solat sebentar tadi.

“Apa khabar” , dia memulakan bicara sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

“Alhamdulillah,baik.kamu bagaimana ? “ jawab saya dengan menyambut huluran tangan darinya.

"Dalam keadaan baik juga.kamu asal dari mana ?bekerja disini ? " tanya beliau untuk mendapat kepastian.

“Dari Malaysia. Aku masih belajar,belum lagi bekerja .Sedang menuntut di universiti al bayt”. Terang saya secara ringkas keapadanya.

“Ooo…Macam tu,aku fikir kamu bekerja disini.Kamu boleh baca quran ya?aku ingatkan kamu tak boleh bacanya dengan baik,sebab itu aku tidak yakin tadi untuk kamu menjadi imam solat.Kamu belajar quran dimana??”Tanya beliau kehairanan.

Agak lucu bila ditanya sebegitu rupa.Mungkin pada pandangannya selain kaum arab tidak mampu untuk membaca mukjizat yang diturunkan kepada rasulullah ini.Mungkin juga padanya bila bangsa lain yang membacanya bunyi setiap kalimah jauh berbeza dan menyempang dengan sebutan kalimah bahasa arab yang betul.Hampir tergelak diri saya dengan soalan pak cik ini.

“Aku belajar dari Malaysia lagi dan disini pun aku belajar juga bila ada kesempatan.”.Terang saya kepadanya.

"Suara kamu sedap bila baca quran tadi ! " Guraunya sambil menganggukkan kepala.

“Tidak,suara kamu lagi sedap dari suara aku” .Gurau saya kembali kepadanya sambil mengukir senyuman.

Sebelum melangkah keluar,sempat saya membacakan sepotong ayat kepadanya dari surah al-anbiya’

“Dan sesungguhnya kami mengutuskan kamu wahai Muhammad adalah sebagai menjadi rahmat keseluruh alam”.

“Nabi Muhammad diutuskan untuk sekelian makhluk.Begitu juga al quran yang dibawa olehnya.Juga untuk sekelian makhluk,bukan sekadar untuk kaum tertentu sahaja”.Terang saya kepadanya dalam antonasi suara yang lembut supaya beliau tidak terasa seakan diperli dan jauh sekali niat seperti itu dihati.

“Betul !!” . Beliau menyokong kata-kata saya dengan nada yang begitu yakin.

“Alhamdulillah lega dihati !! ” Bisik hati-syukur.

Mujurlah dia memahami dan tidak menyalah ertikan maksud kata-kata saya kepadanya.Tambahan pula yang dihadapan saya ini adalah seorang pakcik yang jauh lebih tua umurnya.Lebih lagi lah perlu dijaga tutur dan kata yang keluar dari mulut agar tidak berkelakuan tidak sopan dihadapannya.

Saya meminta diri untuk beransur pulang setelah lama berbual..Sempat juga berkenalan dengannya walaupun hanya sekadar bersembang dipintu masjid seketika.

Sebelum berpisah,sempat saya hadiahkan sekuntum senyuman tanda perkenalan dan tanda hormat kepadanya.

“Sampai jumpa lagi”.Laung saya dari jauh sambil melambaikan tangan kepadanya.

"Al-quran bukan untukmu sahaja kaum wahai arab. Ia juga untuk kaumku.Begitulah hakikatnya.Tapi,berapa ramaikah yang mengambil iktibar darinya?" Terdetik perkara ini dalam hati saya ketika melangkah pulang ke rumah.

Bila bercakap tentang al quran saya teringat satu peristiwa yang berlaku ketika sedang bercuti di mesir dua tahun lepas.Itupun kebetulan terfikir untuk bercuti kesana.Jadi dengan izin allah terbanglah saya kesana walaupun dalam jangka masa yang tidak lama.Hanya sekitar dalam dua minggu.Ingin saja duduk lebih lama di sana,tapi tiket penerbangan untuk pulang ke Jordan sudah pun dibeli.

Terpaksalah pulang juga ke ardhu syam ini.Kalau belum ada tiket pulang, kemungkinan akan kekal sebulan disana.’Ummu dunya’ la katakan…semua benda ada.Tempat pelancongan dan ziarah pun banyak yang menarik.Itu belum bercakap tentang makanan lagi.Mahu tidak terikat untuk duduk lebih lama disana.Tapi apakan daya,masa dan keadaan membatasi segalanya.

Ketika saya menaiki bas bersama kawan untuk pergi ke suatu tempat yang bernama ‘asfour’.Satu kedai besar yang menjual barangan perhiasan Kristal di Mesir.Katanya,kalau dah sampai ke mesir,wajib pergi ke sana.Kalau tak,sia-sia saja datang kesini.

Saya dengan Zulatfi mengambil kerusi paling belakang. Kerusinya sedikit tinggi dan mampu memandang keseluruhan bas panjang dua pintu itu. Di hadapan saya seorang wanita separuh umur bersama anaknya bertenggek.Keadaan dalam bas sedikit padat dan sesak.Tapi mencabar.

“Kenapa tak tinggal lama lagi kat sini azfar?Lusa dah nak balik Jordan.Cepat sangat”...Katanya. .

“Tiket flight dah beli atfi.kalau tak beli lagi hajatnya nak stay lama lagi kat sini.Lagipun kelas dah nak mula” Jawab saya.

“Anta la mari Jordan pula,nanti ana belanja.Tempat tinggal,makanan dan transport jangan risau.Ditanggung beress”.Pancing saya kepadanya untuk datang ke Jordan.

“Ia ke anta ni nak support semua.Ana datang betul kan baru tahu.Tengok-tengok anta letak ana kat tepi beranda masjid je.Kesian pulak kat ana".Guraunya yang mengundang gelak kami berdua.Maklumlah kawan lama yang sudah bertahun tidak bersua muka.Banyak kisah untuk dicerita dan dikongsi bersama.

Kami berpindah dari satu topik ke topik yang lain, tanpa menghiraukan arab yang memandang.

Sebelah saya ada bangku kosong. Lalu wanita yang berada dihadapan saya bangkit untuk duduk disebelah. Saya mengesot sedikit ke arah atfi.

“Musyhaf keda bikam?” Tanya mak cik itu.

Saya terpinga-terpinga.

“Dia tanya, quran tafsir ini harganya berapa?” Sambung atfi mengulangi pertanyaan mak cik itu.Mushaf al quran yang sempat dibeli oleh saya sebelum menaiki bas.

“Oh, khamsin genih. (LE50)” Saya cuba bercakap dengan pertutran lahjah arab mesir walaupun tidak berapa fasih untuk bertutur dalam lahjah itu. Agak berbeza sedikit lahjahnya dengan lahjah jordan.Kalau nak membeli pun perlu kepada bantuan juru bahasa.

“Boleh saya lihat mashaf itu?” Pintanya sambil memangku anak perempuan kecil.

Saya terus menghulurkan kepadanya. Dia mengambil dan mengucup mashaf itu. Saya hanya tersenyum melihat kelakuannya. Mashaf itu dibelek-belek isi, lalu mak cik itu cuba berkata sesuatu kepada anak gadisnya.

“Dia pun hafaz quran.” Mak cik itu kembali bersuara sambil menjuihkan mulut ke arah anaknya. Anaknya tersenyum tanpa suara.

“Berapa juz dia hafaz?” Saya cuba memberanikan diri menyoal.

“Hafal berapa juz?” Soal mak cik itu kepada anaknya. Anaknya bersuara perlahan. Matanya memandang ke kiri saya tanpa menoleh kepada kami berdua. Comel.

“Ihda asyar (11 juz).” Jawab ibu itu menguatkan kata-kata anaknya.

Saya hampir terpelangah! Saya dan atfi berpandangan sesama sendiri. Senyum kami sedikit tawar bercampur rasa malu.

“Allah, kecil begini dah hafal berbelas juzu’.” Bisik hati – ketakjuban.

“Umurnya 4 tahun.” Mak cik itu kembali bersuara. Saya bagai terasa malu untuk memandang wajah anak kecil yang berkulit itu. Sedikit debu membedaki wajahnya. Seperti jauh bermusafir merempuh waktu.

Bas berhenti di sebuah persimpangan jalan.Atfi memberi isyarat kepada saya untuk turun. Kami segera menuruni bas dan meninggalkan mak cik itu dengan salam.

“Agaknya kalau budak umur 4 tahun di Malaysia mesti dah masuk majalah.. Di sini bercambah, dah biasa.” Atfi kembali membuka cerita sambil mempercepatkan hayunan kaki melangkah.

“Bukan kita nak kata,tapi memang realiti.” Saya memberi konklusi.

Sebenarnya kita juga boleh. Kita juga berupaya untuk menjadi seperti mereka. Tidak mustahil anak cucu kita sudah mampu menghafaz al-Quran sedari umur 4 atau 5 tahun. Pembudayaan al-Quran di dalam kehidupan harian wajar diterapkan, tanpa sedikit pun rasa keraguan.

Kerana al-Quran diturunkan bukan untuk disempadankan, tetapi ianya adalah untuk semua. Seluruh umat Islam berhak bersamanya.

KALAMULLAH DI SEGENAP PENJURU

Bermula awal pagi lagi sudah kedengaran alunan bacaan al-Quran melalui corong-corong radio. Bacaan al-Quran yang dialunkan oleh Qari, menerobos di celahan dedaun tingkap rumah. Tenang dan mendamaikan.

Apabila kaki melangkah masuk ke dalam pengangkutan awam seperti teksi, pasti mereka akan memasang ayat suci al-Quran jika tidak ada lagu diputarkan. Mashaf al-Quran turut diletakkan bersama di hadapan (berdekatan stereng). Meskipun di dalam pengangkutan awam seperti teksi, mashaf tidak lekang berada di sisi pemandu.

Bahkan kedai-kedai yang berjujut di sepanjang jalan tidak ketinggalan mengalunkan kalamullah. Masuk saja ke dalam kedai, pasti kedengaran ayat al-Quran di putarkan, samaada melalui siaran tv ataupun radio. Bermula sekecil-kecil gerai seperti gerai menjual buah-buahan sehinggalah ke gedung-gedung besar, senantiasa masyarakat jordan setia bersama al-Quran yakni mendengar ataupun membacanya jika waktu terluang.

Konklusinya, setiap tempat samaada di dalam pengangkutan awam, bas, teksi, kereta,, kedai, tepi jalan atau di mana-mana saja pasti kedengaran kalamullah dialunkan. Allahu Rabi.. Sungguh luar biasa mukjizat-MU kepada Rasulullah SAW ini!

PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN

“Setiap kisah di dalam al-Quran ada pengajaran dan ada bukti.” Jelas doktor nimir seorang pensyarah ketika memberi penerangan kepada para pelajar dalam kuliahnya.ketika itu beliau membaca dan menafsirkan ayat 248 daripada surah al-Baqarah.

“Al-Quran mengandungi suruhan, hiburan dan khabar..” Sambung doctor nimir lagi sambil menunjukkan isyarat tangan.

Benarlah, al-Quran itu adalah lembaran ayat-ayat Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW lengkap dan sempurna. Kesyumulannya mencakupi segenap lapangan manusia. Bertautlah dengan al-Quran selama-lamanya. Tidak rugi dan merugikan kita.

“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak).” (An-Nisa’: 174)

Al-Quran adalah cahaya (نور). Cahaya yang diturunkan Allah buat keseluruhan umatnya. Lengkap membatasi antara perkara halal dan haram.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya.” (Al-Maidah: 15)

Al-Quran mengandungi penjelasan (مبين). Iaitu penjelasan yang menzahirkan kebenaran dan kebathilan.

“Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Isra’: 82)

Al-Quran ialah penawar (شفاء). Penawar yang mengubati keseluruhan samaada letaknya pada hati ataupun pada tubuh badan manusia.

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;” (Al-Baqarah: 2)

Al-Quran merupakan petunjuk (هدى). Sesungguhnya petunjuk ini merupakan dalil kepada sebuah kebenaran.

Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah kami; (Asy-Syura’: 52)

Al-Quran juga adalah roh (روح). Roh yang letaknya di dalam hati dan pada diri manusia itu sendiri. Sesungguhnya, kesemua nama-nama atau sifat yang disebutkan adalah disandarkan pada makna daripada makna-makna al-Quran itu.

IA SEMAKIN MENJAUH

Kesibukkan hidup seharian terkadang melekakan kita dari terus bersama dan menyintai al-Quran. Hatta para huffaz sendiri pun andai ghaflah pada al-Quran beberapa ketika, tentu saja ianya lari menjauh. Menjauh hingga tiada berbekas di dada, kecuali ianya digenggam dan dipengangi kembali sekuat mungkin.

Teringat saya pada khutbah terakhir Rasulullah SAW. Khutbah yang mampu menitiskan airmata, biarpun berkali-kali ianya dibaca. Baginda SAW dengan jelas mengingatkan kita sekalian umatnya (ketika itu sehingga kiamat) bahawa jika al-Quran dan as-Sunnah itu ditinggalkan, nescaya mudahlah untuk terjerumus ke lembah kesesatan. Kesesatan yang mengundang duka dan nestapa selama-lamanya. Nauzubillahhi minzalik.

Ya, saudara-saudaraku, tidak akan ada Nabi atau Rasul sesudahku dan tidak akan ada agama lain yang lahir. Oleh itu dengarlah baik-baik ya Saudaraku, dan pahamilah kata-kata yang kusampaikan kepadamu, bahwa aku meninggalkan dua pusaka, Al-Qur’an dan contoh-contohku sebagai As-Sunnah dan bila kalian mengikutinya tidak mungkin akan tersesat. (Khutbah Wida’)

Ya Allah, Ya Rabbi. Engkau berilah kehormatan tertinggi padanya – kekasih-MU. Kerana kelak, dialah penghulu kami. Bersamanya juga ada syafaat yang menghindarkan kami daripada api neraka-MU Ya Allah. Allahumma solli ala Saidina Muhammad, wa’ala alihi wasohbihi ajmain.

Justeru, tebarkanlah al-Quran ke serata alam sebelum hari pengakhiran menjelma kelak. Maka bacalah, tadabburlah, hayatilah dan beramallah. Tidak memadai hafalan tiga puluh juzu’ tanpa amalan. Amalan itu pula biarlah selari dengan apa yang diajarkan, yakni ilmu yang sahih lagi benar.

Kerana al-Quran selain dijadikan bacaan dan hafalan, ianya diturunkan untuk menunjuki jalan. Selama-lamanya. Berbahagialah bagi mereka yang mengetahuinya.

______________________________


p/s: Jika anda dalam keadaan serabut ataupun tidak mendapat ketenangan,maka dekatilah kalam allah ini.Dan ialah sebagai pengubat dikala duka.Bukan membaca ayat-ayatnya dengan hanya sekadar meniti dibibir mulut sahaja,bacalah ia dengan sepenuh hati dan menghayati.Pasti kamu menemui ketenangan darinya.

Disamping itu saya cadangkan,kalau nak mendengar halwa telinga sebagai penghibur dikala tension,cubalah dengar sebuah nasyid dari kumpulan raihan,tajuk nya "rayuan rindu".Saya selalu mendengar nasyid ini yang dikirim oleh seorang kawan melalui email.Mendamaikan...

Selamat mencuba !!.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP