TAWAKKAL SI SEMUT

>> Friday, May 14, 2010



Malam itu terasa amat hening sekali dari kesibukan dan kebingitan bunyi enjin dan hon kereta yang melintas.Apatah lagi bila ada konvoi kereta arab yang meraikan pernikahan mereka sambil memasang lagu dan bertepuk beramai-ramai,amat membisingkan dan menyerabutkan.Waktu sebegini pastinya semua manusia sudah nyenyak dibuai mimpi nan indah.

Mungkin ada yang sedang terbayang bertemu dengan kekasih hati di tanah air,mungkin juga ada yang sedang berkhayal sampai ke bulan,tidak mustahil juga ada yang bermimpi sedang berjihad dimedan perang untuk mempertahankan agama allah taala dari musuh.Itulah mainan tidur yang menemani manusia bila memajamkan mata di malam hari.

Tapi malam itu sukar pula untuk saya tidur.Terasa mengantuk pun tiada apatah lagi untuk tidur dengan nyenyak seperti selalu.Entah apa yang sedang saya fikirkan pun tidak pasti kerana tiada benda yang berlegar dalam otak ini kecuali untuk persediaan kelas esok hari.

Oleh kerana mata masih tidak mampu untuk dipejamkan,sengaja saya membuka cermin tingkap di sebelah katil untuk mengambil angin malam yang berderu sepoi-sepoi bahasa.Saya melemparkan pandangan ke luar tingkap sambil memerhatikan keadaan malam yang gelita.Didongakkan kepala ke dada langit kelihatan bintang bertaburan di atas sana.Tidak kurang pula indahnya sang bulan yang bersinar terang.Seungkap tahmid terkeluar secara spontan dek taajub dengan keindahan malam yang sungguh cantik dihiasi makhluk ciptaan allah itu.

Pandangan dilemparkan jauh ke luar tingkap dengan sejuta penuh kedamaian.Angin yang masuk melalui tingkap terasa amat dingin sekali bagaikan bayu dipantai.mungkin disebabkan kedudukan rumah di bahagian tingkat atas dan faktor musim yang sememang anginnya sedikit sejuk membuatkan terasa sebegitu.Lampu yang menerangi di sekitar kawasan perumahan terpancar di segenap pelusuk tempat hingga ke hujung sana.Ianya berkelip-kelip seakan sedang bertasbih kepada allah dan memuji kebesaran ciptaan ilahi yang menjadikan bulan menemani manusia dikala malam.

Saya berdiri sendirian ditepi tingkap sambil memerhatikan seluruh kawasan dari tingkat atas.Sesekali disapa angin yang dingin,amat menenangkan diri.

’’mungkin cahaya di hujung sana adalah sinaran lampu di sebelah iraq’’.Sengaja saya menduga begitu dan mungkin ianya betul kerana Jordan adalah berjiran dengan negara Iraq.Apabila duduk ditingkat atas pada bangunan yang kebanyakan pelajar melayu mendiaminya ini,ianya mampu untuk melihat kawasan sempadan Iraq diwaktu malam kerana cahaya yang menerangi kegelapan malam.

Sedang leka menikmati ketenangan malam yang damai itu,tiba-tiba terlihat seekor binatang sedang merayap di atas jeriji tingkap.Saya mendekatkan pandangan kearah binatang tersebut,rupa-rupanya ia adalah seekor semut kecil.

Jarang sekali untuk melihat semut di bumi yang mempunyai empat musim ini.Kalau di Malaysia,jika dibiarkan gula atau makanan manis diatas meja tanpa ditutup rapat,pasti akan dihurungi oleh sekumpulan semut yang ramai,tapi sebaliknya pula di negara ini.Jika sekalipun bekas yang berisi gula penuh tidak ditutup ,tiada seekor semut yang datang untuk mengusiknya.

Bukan disebabkan semut disini pemalu atau tidak suka kepada benda yang manis,tetapi mungkin faktor cuaca dan geografi negara Jordan yang menyebabkan binatang kecil ini jarang didapati.

Hendak sahaja saya menjentik semut yang sedang menyusur jeriji di hadapan ini ,tapi tiada sebab pula untuk saya menginayakannya sebegitu rupa.Bukan ia menggigit atau merosakkan makanan pun,sekadar melintas sahaja.

‘’Jalan lah semut,aku tak usik kau pun’’.

Sengaja berbicara dengannya walaupun tahu ianya bukan manusia.Mungkin ia faham dan mungkin juga tidak.Tidak pula saya dapat berbicara dengannya kerana diri ini tidaklah sehebat ilmu pengetahuan yang dianugerahkan kepada nabi Allah Sulaiman.Seorang nabi memiliki kebijaksanaan dan kerajaan yang besar.Tidak hairanlah jika baginda sulaiman mampu untuk berbicara dengan makhluk allah ini.

Pernah dikisahkan dizaman pemerintahan Nabi Sulaiman alaihisalam sebuah kisah diantara baginda dan seekor semut .Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun. Apa akan terjadi kepadaku?

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat iaitu dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu untuk bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Saya termenung panjang disebelah tingkap ketika terkenang kisah ini. Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengajarannya sangat luar biasa. Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah.Ramai manusia lebih meyakini kata manusia yang terkeluar dari mulut mereka daripada janji allah dalam al quran yang pastinya tiada dusta.Kalaulah dibandingkan dengan sifat tawakkal dan yakin manusia dengan seekor semut,nescaya akan malulah kelompok manusia yang berkejar dengan berpenat lelah untuk mencukupi kehendak mereka dengan seekor semut sahaja.

MANUSIA YANG TIDAK PERNAH MERASA KECUKUPAN

Dunia sekarang menyaksikan berbagai penipuan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia kerana berlumba-lumba untuk mengumpul sebanyak mana harta yang termampu bagi menghadapi hari tua.Tidak kiralah samada mengambil atau menipu harta dan hak milik orang lain dalam memenuhi kehendaknya.Makhluk tuhan yang bersifat tamak ini dari hari ke hari akan berusaha untuk memenuhi gudang harta masing-masing demi untuk meneruskan hidup yang sekejap.

Sedikit pun tidak rasa bersalah apatah lagi merasakan dosa yang ditanggung.Sebaik mentari terbit tanda hari baru bermula,perkara yang difikirkannya adalah berapa banyak income yang akan didapatinya untuk hari ini.Bagaimanakah pula untukku hidup jika aset dan wang tidak cukup dalam bank?Bagaiamanakah pula untuk menyara kehidupan keluarga kalau harta tidak banyak ?

Begitulah delima ketamakan manusia yang sentiasa tidak akan pernah berasa cukup dengan rezeki dan kurniaan Allah kepada mereka.Sungguhpun cukup untuk meneruskan kehidupan harian,tapi dikejarnya lagi supaya harta dan kekayaan makin bertambah.Bukankah Allah sudah menetapkan dari azali lagi sebanyak mana harta dan rezeki yang bakal kamu perolehi di dunia ini?

Sabda Rasulallah s.a.w :

عن أنس بن مالك قال الرسول الله صلى الله عليه وسلم:لو كان لابن آدم واديان من مال لابتغى واديا ثالثا ، ولا يملأ جوف ابن آدم إلا التراب ، ويتوب الله على من تاب

Dari anas bin malik,bahawa rasulallah telah bersabda:

“Jika pada anak Adam itu terdapat dua wadi harta,maka akan dikejarnya lagi wadi harta yang ketiga.Dan tidak akan merasa cukup oleh mereka sehinggalah mereka kembali menjadi tanah semula.Dan Allah maha mengampuni kepada sesiapa yang bertaubat”.

Disebabkan ketamakan harta dan terpedaya,manusia sanggup menipu,mencuri,menzalimi manusia dan tidak kurang pula yang sanggup memutuskan silaturahim hanya kerana secubit harta sahaja.

Bukan tidak boleh untuk mengejar harta dan kesenangan dunia yang memang dilimpahkan Allah,bahkan itulah yang dituntut oleh syariat supaya manusia berusaha untuk mencari harta dan rezeki kurnianNYA.Akan tetapi jangan menjadi seorang yang ‘’mengejar dan terus mengejar harta kedunian’’ kerana sifat sebegini akan memenatkan dan melelahkan diri sendiri akhirnya.Bagai mengejar fatamorgana di padang pasir walaupun dikejar kesana tetapi hanya bayangan yang menipu sahaja.


KERANA DISITU JUGA AKHIR DESTINASI HIDUP

Berpada dan selalu bersyukur diatas segala kurniaannya kerana tidak akan kemana jua mereka yang terlalu mengejar harta dunia bila sampai ajal di hujung halkum.Disimpan wang berjuta banyaknya sekalipun ,pabila ajal menjelma kafan putih juga yang akan membaluti tubuh walaupun mampu untuk membeli sutera yang terbaik untuk dijadikan kafan dalam kubur nanti.

Memiliki aset tanah berbidang banyaknya pun tidak membawa erti kerana hanya dua kaki sahaja keluasan kubur yang akan digali untuk meletakkan mayat pabila jasad ditinggalkan ruh walaupun tanah yang dimiliki itu mampu dibinakan sebuah istana besar seperti mahligai si raja untuk menguburkan jasad disitu.

Kereta model termahal seperti Ferarri dan Mercedes Benz tidak digunakan untuk mengusung mayat walau itulah kenderaan yang digunakan untuk memandu sewaktu hidup dahulu.Hanya sebentuk besi yang diberi nama keranda yang akan menjadi tunggangan kelak bila melewati rumah yang diberi nama kubur bertemankan nisan dan kafan.

Bila mati seseorang anak adam,maka terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara:

1-Ilmu yang bermanfaat

2-sedekah jariah

3-Anak yang soleh

Bentuklah diri untuk sentiasa bersifat qanaah dan tahu erti bersyukur kepada setiap rezeki allah walaupun ianya hanya sebutir nasi.Kerana disitulah dapat mengerti maksud ’syukur’.

Rupanya mata yang tidak dapat terpejam pada malam itu adalah aturan ilahi yang merancang pertemuan dengan seekor semut yang mengajarkan maksud kecukupan. Saya mendongak kearah langit sambil melihat bintang yang berkedip cerah.

‘’Berapa banyakkah nikmatmu yang sudah ku lupai tuhan’’.Kelu memikirkan diri yang selalu mendustai akan nikmatnya

Malam itu mengajarkan pada saya erti cukup dan tidak melampau dalam mengejar dunia.Begitulah diri manusia yang sentiasa lupa untuk mengucap Alhamdulillah di setiap hembusan nafas,dan walauapun sesuap nasi ke mulut.

Subuh itu,saya bersujud dengan penuh sarat rasa kehambaan bersama jemaah lain.subhanarabbiyal a’la wabihamdih.Maha besar engkau wahai Allah.

Oh semut,kau mengajarkan ku erti iman dan malu. Engkau lebih beriman dan diriku makin bertambah malu!!

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP